Taman Sejahtera lembaran baharu - Utusan Malaysia

Taman Sejahtera lembaran baharu

Taman Sejahtera yang terletak di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendidikan pasca Covid-19 dikatakan berbeza dengan pendidikan sebelumnya. Antaranya, soalan penjarakan fizikal (bukan sosial) untuk memastikan jangkitan virus berkenaan terhindar. Ini juga bermakna berkumpul dan terkongkong dalam ruang tertutup tidak digalakkan. Khususnya untuk jangka masa lama seperti waktu persekolahan – lima hingga enam jam, tidak putus-putus.

Apa lagi jika ruang agak sempit dan tidak mempunyai aliran udara yang baik dan bersih. Ruang berhawa dingin turut tidak digalakkan bukan sahaja kerana ia tertutup tetapi udara sama dikitar semula dalam ruang lingkup tersebut.

Berkebun lawan TVET

Pendidikan luar bilik darjah atau lapangan dianggap lebih sesuai dan segar, selagi penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka diamalkan dengan patuh di persekitaran sekolah. Dengan cara ini, risiko jangkitan dikatakan turut berkurangan apabila perkongsian udara lebih terbuka. Oleh itu, bersukan atau beriadah digemari kerana ia membenarkan para pelajar menikmati udara lebih segar. Demikianlah halnya dengan usaha berkebun atau bercucuk tanam di persekitaran sekolah. Perkara ini pernah menjadi kelaziman pada suatu masa dahulu.

Namun, kini tidak lagi apabila istilah kemahiran disempitkan kepada hal-hal berkaitan dengan teknologi atau teknikal semata-mata. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah gubahan terbaru dalam konteks ini. Umumnya, ia lebih menyasarkan aktiviti-aktiviti perkilangan dan perusahaan. Bercucuk tanam ataupun berkebun bukannya TVET melainkan hal-hal perkilangan dan perusahaan turut terlibat sama.

Maknanya, cara penghasilan besar-besaran atau lambakan diutamakan.

Norma diperbaharui

Apapun, wabak Covid-19 memaksa kita berfikir semula. Lembaran lama wajar diperbaharui.

Kenapa? Pertama, dari segi kesihatan seperti yang diterangkan. Bercucuk tanam atau berkebun memberi ruang pengudaraan lebih luas, segar dan baharu. Lagipun, kebergantungan kepada mana-mana sumber dan bekalan komersial tidak lagi digalakkan. Lebih-lebih lagi apabila pasaran terpaksa ditutup sebagai langkah pencegahan (lockdown) Covid-19, misalnya.

Kalau adapun, harganya melambung tinggi terutama sekali di kawasan kota di mana perebutan dan kekasaran berlaku kerana kehabisan bekalan dan sumber. Teknologi turut terbengkalai atau merosot akibat ancaman wabak luar dugaan, yakni TVET terencat.

Mahu tidak mahu, tiada pilihan lain. Di sinilah munculnya Taman Sejahtera, satu kefahaman alternatif menggantikan apa yang terhalang oleh Covid-19.

Konsep Taman Sejahtera

Taman Sejahtera lebih daripada itu, ia membawa konsep pendidikan yang mendalam. Malah menongkah ancaman koronavirus sebagai suatu aktiviti lapangan serta luar bilik darjah yang berhemah. Tidak pula bergantung sepenuhnya dengan teknologi atau mesin sekalipun. Ini membebaskan pemikiran, mecetuskan lagi kreativiti dan memecahkan kebuntuan serta kongkongan hidup. Inilah pembelajaran yang dapat memanusiakan pelajar, guru dan masyarakat, sekali gus membangunkan warga muafakat dan bersekapatan mesra pasca-Covid-19. Langkah ini boleh mematikan jangkitan virus dengan lebih berkesan. Apatah lagi istilah ‘sejahtera’ itu sendiri datangnya daripada huraian Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sejak 30 tahun lalu. Tetapi terabai – sengaja atau tidak sebagai satu cara hidup yang seimbang dan manusiawi. Pastinya ia satu kerugian besar dari perspektif pasca-Covid-19 tatkala ‘kesejahteraan diri’ menjadi satu ketrampilan utama dalam menangani persekitaran tidak menentu, termasuk dunia persekolahan malah persekitaran kerja sekalipun. Anehnya, sekolah sendiri turut terencat dan gejala ketidaksejahteraan sudah mula menular dengan cepat. Ramai terpinga-pinga mencari jalan keluar yang sistematik lagi mampan.

Jalan keluar

Bolehkan Taman Sejahtera menjadi jalan keluar? Bagaimana? Pertama sekali, ia merupakan pendekatan pendidikan yang berpusatkan ‘sejahtera’ dalam ungkapan FPK. Yakni, berasaskan nilai etika yang seimbang lagi harmonis. Mesra alam, manusia dan Tuhan, yakni berakarkan pengupayaan diri para pelajar membuat pertimbangan sendiri dalam mengasuh diri tanpa diheret ke hulu ke hilir berpaksikan guru atau arahan. Latihannya datang daripada aktiviti bercucuk tanam apabila pelajar sendiri menentukan sama ada tanamannya akan subur, layu atau mati. Kedua, ini bermakna disiplin diri mesti kuat berasaskan nilai-nilai yang mampu memakmur yang lain, bukan sahaja diri atau kelompok tertentu mengikut kaum dan budaya mahupun agama semata-mata seperti keadaannya sekarang. Ketiga, dapat berdikari apabila persekitaran mula mendesak dan tidak lagi membantu seperti halnya hari ini. Para pelajar kelak terdesak apabila terkurung di rumah atau bangunan tertentu yang membosankan. Sebaliknya mereka perlu wajar dan mampu mensejahterakan diri masing-masing.

Tiga aspek ini sahaja sudah jelas, mampu membuka jendela baharu dalam pendidikan pasca-Covid-19 ala Taman Sejahtera. Contoh terkini adalah di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu. Bermula tujuh bulan lalu, sekolah ini sudah mengakhiri fasa pertamanya, iaitu berkebun. Kini akan memasuki fasa kedua dengan menggunakan pendekatan hidroponik menegak untuk bukan sahaja meningkatkan hasil tanaman, malah melonjakkan juga ilmu serta disiplin diri warga sekolah. Fasa ini akan memperkenalkan teknologi yang sesuai untuk pelajar berdikari sebelum masuk pula kepada fasa ketiga dan seterusnya.

Internet kepelbagaian benda (IoT) dan penggunaan serangga dan haiwan kebun tertentu akan menyusul pula bergilir. Pendek kata, Taman Sejahtera bukan sahaja memperbaharui lembaran yang terabai, tetapi memperkasakannya lagi ke arah kesejahteraan diri dan masyarakat sesuai dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta pasca-Covid-19.

DzulkifliProfesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN