Politik bukan tempat ‘cari duit’ - Utusan Malaysia

Politik bukan tempat ‘cari duit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

LAMA tidak ketemu dengan DR. TAN SENG GIAW, 78. Sejak digugurkan sebagai calon DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018, kelibat Ahli Parlimen Kepong selama lapan penggal ini tidak kelihatan lagi dalam arena politik tanah air. Bertemu kembali dengan anak kelahiran Kota Bharu ini di sebuah kedai kek di Petaling Jaya, Jumaat lalu, hati jadi ‘sejuk’.
Mana tidaknya, nada percakapannya tenang dan tidak memburuk-burukkan orang lain. Nada dendam, kecil hati pun tidak ada. Kalau dalam kalangan orang Melayu, ibarat bercakap dengan orang agama pula lakunya.

“Saya tidak mahu menyakiti hati mana-mana pihak kerana tidak mahu ada yang tersinggung,” kata Seng Giaw. Bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, ASLINDA NASIR berserta jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI, Seng Giaw menjawab beberapa isu dan topik yang kami ajukan berikut:

‘BUNUH’KARIER POLITIK?

UTUSAN: Pada April 2018 menjelang PRU-14, nama Dr. digugurkan sebagai calon DAP di Kepong sejak 1982 dan digantikan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng. Ada dakwaan ia bertujuan ‘membunuh’karier politik Dr. yang lantang bersuara dalam isu alam sekitar dan projek pembangunan di Pulau Pinang masa itu. Sejauh mana benarnya dakwaan itu?

TAN SENG GIAW: Sebenarnya ada cara untuk tangani beberapa masalah. Ingin ‘membunuh’karier politik untuk mendapat undi itu, caranya mudah sahaja. Kita boleh bangkitkan perkara yang sensitif untuk meraih undi. Tetapi politik ini bukan sahaja untuk mendapat undi, tetapi adalah dasar bagaimana ia boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan mampu membangunkan negara.
Waktu ceramah bukan main mahu dapat undi, lepas itu bercakap pula tentang kesatuan yang sudah merosakkan perhubungan di antara kaum. Maksud saya, undi kita dapat, kemudian kita menang, tapi kita sakitkan hati orang, macam mana nak bersatu? Itu persoalannya.

Dr. kecil hatikah pada DAP kerana tidak dicalonkan di Kepong, digantikan dengan Lip Eng?

Tidak juga. Saya hanya berjuang dan bercakap benar ketika menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Jika tidak terima, terpulang. Saya sendiri tidak mahu bercakap pada perkara yang menyinggung perasaan banyak pihak.

Lip Eng yang kini Ahli Parlimen Kepong ada minta idea dan bantuan daripada Dr. untuk mengendalikan kawasan Kepong?

Tidak ada. Tetapi saya ada terserempak dengannya. Saya pun bukanlah orang yang hebat. Ketika saya menjadi wakil rakyat, saya tidak akan berjanji dengan mereka pada benda yang tak boleh saya lakukan. Cuma saya akan berusaha untuk tunaikan permintaan orang. Sebab elaun ahli Parlimen ini sedikit, sebab itu kita perlu kenal dengan ramai orang supaya bantuan dapat dihulurkan kepada mereka yang benar-benar susah.

Dr. masih berhubung dengan pemimpin DAP hari ini?

Tidak, tetapi saya sentiasa mengikuti perkembangan politik sehingga hari ini.
Krisis dingin ini telah berlaku sebelum 2018 lagi kerana mungkin mereka tidak senang dengan kenyataan saya khususnya tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

PAK TURUT

Pada 1 April 2008, Pas menyertai Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR, namun gabungan itu terlerai pada 2015. Isu utamanya mengenai hudud. Waktu itu adakah krisis DAP-Pas ini agak keterlaluan sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat berpecah?

Di negara kita ada banyak agama, banyak amalan. Kita perlu pilih perkataan yang tidak menyakitkan hati orang. Kalau tidak boleh terima sesuatu kenyataan, tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, ada cara yang kita boleh gunakan untuk membuat perundingan. Ketika perbalahan itu berlaku, saya ada berbincang dengan Presiden Pas sendiri iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Saya juga mempunyai hubungan yang baik dengan Mursyidul Amnya, arwah Datuk Nik Abdul Aziz. Saya sempat berbisik kepadanya mengenai perkara ini. Pada ketika itu pembangkang kalah teruk dan banyak perkara yang kita bincangkan bersama. Pada saya, sesuatu rundi­ngan itu perlu kerana ia meru­pakan tolak ansur dalam politik. Kalau tak ada tolak ansur, pentadbiran itu akan susah.

Adakah Dr. melihat DAP perlukan ‘pak turut’dalam parti supaya karier politik seseorang itu tidak ‘dibunuh? Ini memandangkan Dr. sebelum ini mengambil langkah sebaliknya ketika memegang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Keputusan Dr. ketika itu dikatakan banyak berpihak kepada kerajaan Barisan Nasional?

Bidang politik ini bukan tempat untuk mencari nafkah. Tapi sekarang ramai yang patuh dan mengikut rentak kepimpinan tertinggi. Sama ada betul atau tidak, kita perbetulkan juga. Itu tak betul hanya kerana nak menjaga kepentingan semata-mata. Kalau nak cari duit, bernia­ga, jangan masuk politik. Tapi kalau nak berpolitik, perkhidmatan itu adalah untuk negara. Jangan rosak­kannya dengan ambil projek sana, projek sini, itu tak betul.

Pada pendapat Dr., apa punca keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sempat berkuasa 22 bulan sahaja?

Mereka tak boleh buat apa yang mereka cakap kerana terlalu menjanjikan perkara yang susah untuk dicapai. Janji nak buat itu, janji nak buat ini. Mereka perlu tahu nak buat sesuatu perlu ada wang, perlu ada dasar sebab kalau cakap nak menang, memang senang. Tapi bila dah menang dan memerintah 22 bulan, tiga tahun memang tidak cukup untuk melaksanakan sesuatu perkara sehingga berjaya. Rakyat memang takkan nampak. Dan bila bertukar kerajaan, kita tak boleh menghentikan dasar yang terdahulu begitu sahaja. Ada yang perlu kekal dan kalau nak diubah pun perlu dilihat dalam semua aspek, berapa ramai yang akan terjejas, ini penting. Dasar pula perlu memberi manfaat kepada negara, bukan kira undi sahaja. Jika berlaku, itu bukan pentadbir, itu samseng, tidak bersetuju tentang suatu perkara pun. Kita perlu ingat yang kita adalah pentadbir. Kebajikan semua pihak perlu dijaga.

1,000 parti

Komen Dr. mengenai politik Malaysia hari ini?

Orang seperti Tun Mahathir akan tersinggung sebab mereka aktif. Dan kalau saya cakap apa-apa mereka akan naik berang. Sesebuah parti mengambil masa yang panjang sama ada Pas, UMNO atau DAP. Untuk parti itu dibina dan diberi perhatian, kemudian dapat amanah dari rakyat, kadang kala parti itu naik, kadang kala turun. Itu lumrah dalam dunia politik. Dan saya lihat di Malaysia ini suka tubuh parti sebab kalau dia tak setuju dengan seseorang pemimpin, dia memang akan keluar dan hendak tubuh parti dia sendiri. Kalau boleh, 1,000 parti pun boleh ditubuhkan.
Dalam politik ini juga, saya tak setuju buat sesuatu yang mementingkan diri. Kita tak kira siapa sama ada Datuk Seri Najib, Lim Guan Eng atau siapa sahaja, tunjuklah bukti dulu dan bukti itu akan disampaikan ke mahkamah. Itulah caranya. Tapi mereka hanya main politik sahaja.

Jadi, kalau nak main politik sahaja tak boleh. Kita tuduh orang dengan macam-macam tuduhan, menjijikkan. Bukan main lagi, tapi bila ada pilihan raya dia menang. Di Slim pun dia (BN) menang. Sebab itulah kalau mereka nak buat, buatlah. Saya tak buat macam itu. Nak tuduh siapa pun, kita perlu bukti. Kalau kita tak suka dengan seseorang itu, kita kata dia jahat, dosa banyak, tapi bukti tak ada. Macam mana?

JAWI WARISAN BERHARGA

Masih lagi Dr. menulis Jawi?

Jawi ini kalau kita tak tulis hari-hari, kita akan lupa. Ini adalah warisan. Kalau nak jadikan masalah, tak payahlah. Kita mesti ambil kira kalau inginkan pendidikan di Malaysia ini bertaraf antarabangsa, kita mesti mengambil kira orang di kampung juga. Contohnya, bila dia pergi ke tadika dan sebagainya dan dia pelajar dari kampung, kita mesti ambil kira bagaimana dia boleh mencapai kejayaan pada tahap yang tinggi.

Kita perlu galakkan kepada mereka yang minat. Kalau mereka minat Jawi, galakkan. Jangan kita paksa kerana kita nak dia fasih dalam rumi lagi. Kita nak tekan sangat pun macam mana? Kalau paksa pun tak boleh sebab ada pelajaran lain juga yang penting seperti Matematik, Sains, bahasa lagi.

Cuma kalau kita fasih pelbagai bahasa, kita untung. Kita kena fikirkan macam mana nak kekalkan warisan dan dalam masa yang sama tak menjejaskan masa depan murid-murid. Kita nak mereka mahir dalam rumi dan kekalkan satu warisan.

Ia perkara benar. Ada bukti sejak 800 tahun dulu batu Bersurat dijumpai di Terengganu. Bukannya tak ada bukti. Mungkin ia wujud lebih dulu lagi, cuma kita yang tak tahu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN