MUKADIMAH
PADA 2018, MOHD. NAJWAN HALIMI, 35, antara calon muda yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dengan majoriti 17,004 undi, mengalahkan Jumaeah Masdi (Barisan Nasional) dan calon Pas, Ahmad Dusuki Abd. Rani.
Pendekatan mesra rakyat dan memahami suara anak muda membolehkannya diberi kepercayaan sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri bagi sesi 2018-2021.
Dalam kerjayanya, beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pengangkutan sebagai Penolong Setiausaha dari 2009 hingga 2011.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, SITI ROHAIZAH ZAINAL dan jurugambar SHIDIQIEN ZON, beliau berkongsi pandangan tentang masa depan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, isu-isu semasa dan sokongan anak muda terhadap gabungan parti-parti politik itu. Ikuti temu bual tersebut di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
NASIB PH
Penerimaan rakyat terhadap PH amat baik kerana sebagai kerajaan negeri, fokus utama kami adalah menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan menyantuni masyarakat, tidak kira waktu terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.
Dalam membantu masyarakat, PH terus bergerak dengan mengambil langkah drastik termasuk pelarasan ekonomi secara serius bagi membantu rakyat Selangor.Paling ditekankan adalah kita tidak bermain politik dan membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan perbezaan fahaman politik.
Kekuatan PH adalah membawa perubahan dari sudut memberi ruang dan peluang ekonomi kepada rakyat, menitik berat aspek pendidikan dan membuka peluang pekerjaan untuk golongan muda. Fokus kita adalah untuk berkhidmat, bukannya politik semata-mata dan saya yakin PH akan kekal dan terus diberi kepercayaan oleh rakyat.
Pelbagai masalah yang timbul, pentadbiran PH terus menyelesaikannya dengan mengambil tindakan terus dan segera. PH tidak boleh lalai dalam menangani permasalahan rakyat terutama berkaitan isu air kerana masyarakat mudah mendapat sebarang maklumat menerusi teknologi yang semakin canggih. Apa yang berlaku (terputus bekalan air) baru-baru ini adalah wake up call untuk kerajaan PH terus bertindak menyelesaikannya.
CALON MUDA
Sebagai persediaan menghadapi PRU-15, AMK melancarkan jentera pilihan raya pada 25 Julai lalu. Antara persiapan dilakukan ialah mengaktifkan semua cabang gerakan dengan menyantuni segenap lapisan masyarakat.
Kita telah pun mengenal pasti beberapa individu yang sesuai untuk diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang. Mungkin ada persaingan daripada lain tetapi bagi AMK, perlu ada calon muda dalam sesebuah parti.
Bagaimanapun, AMK tidak menuntut jumlah kuota daripada pucuk pimpinan kerana merasakan perkara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Sekiranya seseorang individu itu layak, maka mereka perlu diberi peluang.
Di Selangor juga mempunyai beberapa calon yang dirasakan layak dan mempunyai latar belakang dan pengalaman yang luas di peringkat komuniti. Kita akan senaraikan calon yang sesuai kepada parti dan selebihnya serahkan kepada pucuk pimpinan (buat keputusan).
PERGOLAKAN PARTI
Pergolakan yang berlaku dalam parti sama ada pemecatan mahupun penarikan diri oleh beberapa ahli adalah antara fasa perit yang perlu dilalui kerana mengakibatkan kejatuhan kerajaan.
Perkara yang berlaku secara tidak langsung memberi gambaran kepada umum bahawa wujud masalah dalam parti itu sendiri.
Situasi yang berlaku bukan sahaja ada dalam PKR tetapi juga semua parti dan akan wujud individu-individu yang tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan sedia ada. Bagaimanapun, apa yang berlaku dalam PKR agak mengecewakan kerana membabitkan pimpinan tertinggi tetapi ini sebenarnya adalah proses pendewasaan parti.
Pemecatan yang berlaku dalam parti tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ideologi dan prinsip parti adalah berteraskan keadilan. Bukan soal cepat atau lambat pemecatan seseorang itu dibuat, tetapi parti perlu ada bukti sebelum melakukannya. Jika kita melakukan pemecatan tanpa usul periksa, bagaimana kita hendak menunjukkan kepada umum yang PKR merupakan parti yang memegang prinsip keadilan dan kebebasan tetapi tidak mampu berlaku adil kepada ahlinya? Namun, apabila berlaku krisis, amat penting kepada pimpinan mengambil iktibar terutama elemen sabotaj, sekali gus terus menguatkan parti.
Bagaimanapun, apabila ada kumpulan yang ingin keluar parti, perkara itu tidak memberi kesan kerana masih ada lagi yang setia bersama parti. PKR mempunyai disiplin yang tinggi dan tidak akan berkompromi kepada apa sahaja salah laku ahli.
Buat masa ini, parti semakin tenang dan stabil, malah dapat dilihat pencapaian baik dengan pertambahan ahli mencapai satu juta orang. Namun, pada masa sama PKR perlu membuat saringan individu ingin menyertai parti kerana PKR bukan tempat untuk mencari duit dan mendapatkan projek.
PARTI ORANG MUDA
Keputusan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan sebuah parti baharu melibatkan golongan muda pelbagai peringkat perlu diraikan. Tidak salah untuk mana-mana individu termasuk Syed Saddiq menubuhkan parti sekiranya mereka merasakan ada kelebihan dan keupayaan untuk mengerakkan sebuah parti.
AMK sentiasa mengalu-alukan, namun apa yang penting adalah gerakan parti tidak hanya menumpukan persoalan berkaitan kaum dan agama semata-mata tetapi perlu bertemakan kepedulian kepada rakyat.
AMK tidak ambil mudah dengan cadangan penubuhan parti baharu kerana sudah pasti akan ada yang akan tertarik. Pendekatan diambil ialah dengan menambah baik gerak kerja dan usaha-usaha untuk mendekati golongan muda.
Di peringkat AMK sendiri telah mengambil pendirian agresif dalam mendekati golongan muda kerana mereka juga akan berkelayakan untuk mengundi. Malah, anak muda juga kini mudah mendapat akses dan kebanyakan mereka berminat dengan politik.
Pendekatan yang digunakan AMK dalam mendekati anak muda adalah tidak terlalu berpolitik kerana mereka kurang senang apabila kita ‘menegur’ mereka dengan berbaju politik. Kemungkinan politik dahulu hanya menjadikan golongan muda sebagai political tools, tetapi kini berbeza dan tidak boleh meremehkan suara mereka. Sesebuah parti bukan khusus untuk sesuatu usia sebaliknya melibatkan semua peringkat umur.
MASALAH AIR
Gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor, baru-baru ini amat dikesali.Malah, kejadian itu bukan yang pertama kerana dilaporkan berlaku sebanyak lapan kali bermula Julai 2019 sehingga September lalu.
Bagi menangani masalah ini, Selangor menubuhkan satu jawatan kuasa khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor yang mana saya sendiri dilantik sebagai salah seorang ahli.
Pada Julai lalu, kita buat pembentangan dan mengesyorkan pelaku yang mengakibatkan pencemaran air sehingga berlakunya gangguan tidak berjadual dikenakan kompaun sehingga RM1 juta.
Bagaimanapun, secara peribadi, gangguan bekalan air yang sering kali berulang ini memerlukan iltizam politik di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Kedua-dua kerajaan perlu bekerjasama dalam memastikan masalah yang menimpa rakyat ini tidak berterusan. Sebarang keputusan melibatkan akta memerlukan kerjasama kedua-dua kerajaan.
Air merupakan keperluan setiap masyarakat dan seharusnya jangan dikaitkan dengan politik dan digunakan sebagai modal serta menuding jari kepada mana-mana pihak. Kedua-dua pihak perlu berganding bahu dan jangan jadikan rakyat sebagai mangsa.










