Norma baharu kampus bermula - Utusan Malaysia

Norma baharu kampus bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun bermula September, universiti tempatan biasanya dimeriahkan dengan kehadiran ramai pelajar baharu yang mendaftar untuk pengajian prasiswazah. Selaras dengan hasrat transformasi pembangunan pelajar, pelbagai program disusun bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 telah mengubah banyak tatacara kebiasaan termasuk pengalaman dan kehidupan pelajar di kampus. Tempoh pendaftaran pelajar prasiswazah dilewatkan hingga Oktober untuk disesuaikan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam konteks ini, sekurang-kurangnya tiga dimensi norma baharu operasi universiti perlu diberikan perhatian. Pertama, persediaan ekosistem kampus supaya kekal menjadi zon hijau. Asas pematuhan yang perlu diikuti adalah sebagaimana peringatan harian Kementerian Kesihatan iaitu mengelakkan 3C (crowded place, confined space, close conversation) dan mengamalkan 3W (wash, wear, warn).

Ini bermakna, mana-mana program dan aktiviti pelajar yang dilaksanakan perlu menjauhi kawasan sesak dan sempit serta mengelak sembang atau interaksi dalam jarak dekat. Hal ini memberikan cabaran kerana galakan bersemuka dan beraktiviti bersama adalah intipati kepada kehidupan dan pengalaman di kampus.

Seterusnya, prosedur mencuci tangan, memakai pelitup muka dan sentiasa memberikan peringatan kesihatan perlu menjadi amalan seharian. Dalam hal ini, universiti menyediakan prosedur operasi yang baik sebagai panduan ketika mana menerima staf kembali bekerja.

Selain itu, garis panduan yang disediakan juga membantu tadbir urus universiti ketika menerima kemasukan pelajar secara berperingkat. Bagaimanapun, pelajar yang diterima masuk ke dalam kampus masih dalam bilangan terhad.

Justeru, prosedur penguatkuasaan peraturan dan pemantauan pematuhan perlu diperkasakan secara berterusan menjelang kemasukan pelajar beramai-ramai pada Oktober ini. Risiko-risiko jangkaan perlu dikenal pasti dan prosedur mitigasi risiko perlu disediakan lebih awal.

TERADUN

Antaranya melibatkan pelaksanaan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang menjadi fokus dimensi kedua norma baharu. Sehingga kini, Kementerian Pengajian Tinggi mengeluarkan panduan untuk universiti melaksanakan PdP secara dalam talian sehingga akhir 2020.

Pengecualian khas diberikan kepada kursus yang memerlukan pertemuan bersemuka seperti amali dan kerja makmal dengan syarat mematuhi garis panduan. Terdapat juga sebilangan kursus yang dibenar untuk dilaksanakan secara teradun melibatkan gabungan secara bersemuka dan dalam talian.

Namun, saranan utamanya adalah mengekalkan pelaksanaan kelas secara dalam talian seperti mana amalan sebelumnya. Yang berbeza adalah pelajar dibenarkan berada di kampus sepenuhnya bagi memudahkan akses kepada kandungan dan penyampaian kursus.

Pasca PKP, amalan PdP secara dalam talian bukan lagi dilaksanakan secara kecemasan dan drastik. Sekurang-kurangnya pensyarah mempunyai tempoh masa persediaan dan perancangan bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran berdasarkan pengalaman pada semester sebelumnya.

Dengan itu, proses PdP secara dalam talian perlu direkabentuk dengan lebih berkesan. Malah, keberkesanan penilaian kursus juga perlu ditekuni bagi memastikan proses pentaksiran adalah autentik, dipercayai dan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Tentunya cabaran pembelajaran secara dalam talian turut dialami oleh pelajar. Justeru, pensyarah perlu bersama membantu pelajar bagi menetapkan rutin pembelajaran baharu. Hal ini termasuk menyediakan jadual waktu pembelajaran yang boleh dilakukan secara segerak (synchronous) atau tidak segerak (asynchronous) dengan lebih bersistematik.

FLEKSIBEL

Komunikasi dengan pelajar secara konsisten juga adalah penting bagi memastikan hasil pembelajaran dapat dicapai dan tindakan intervensi bersesuaian dikenal pasti. Di sini, pelaksanaan kaedah secara fleksibel dapat memastikan proses PdP berlaku secara terangkum dan tiada pelajar yang akan ketinggalan.

Harus diingat, proses PdP bukan sekadar bertujuan membangunkan pengetahuan dan kemahiran pelajar tetapi juga mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan mereka. Perihal ini menjadi dimensi ketiga cabaran pendidikan norma baharu pasca PKP.

Bagi pelajar sedia ada, universiti perlu menilai kembali latar belakang dan pengalaman pembelajaran pelajar pada semester sebelumnya bagi menyediakan bantuan semasa yang secukupnya.

Tentunya terdapat pelajar terkesan dengan keadaan keluarga mereka yang mengalami kesempitan kewangan berikutan PKP.

Setiap bebanan dan kebimbangan ibu bapa pelajar turut dikongsi bersama oleh universiti. Sebagaimana keprihatinan semasa fasa PKP, universiti dicadangkan terus menyediakan saluran bantuan yang pelbagai bagi menjaga kebajikan pelajar. Selain itu, aspek kesihatan mental pelajar juga perlu diberikan keutamaan dengan menyediakan sokongan khidmat kaunseling yang bersesuaian.

Kepulangan pelajar ke kampus tetap dinanti oleh seluruh warga universiti. Pada masa sama, universiti perlu bersedia dengan pembudayaan norma baharu bagi meneruskan amanah pendidikan dan pembangunan pelajar.

DR. Mohd. Bakri Bakar ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN