SEBAGAI sebuah negara demokratik, rakyat memainkan peranan penting dalam pembentukan governan negara.
Malangnya, semakin hari semakin ramai yang memandang enteng perihal demokrasi dek kerana alpa menikmati kebebasan yang dikecapi sejak 63 tahun lalu.
Buktinya, statistik yang dikeluarkan kerajaan baru-baru ini menunjukkan terdapat 4.2 juta orang yang layak mengundi tetapi tidak berdaftar sebagai pemilih.
Membangkitkan perkara itu, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, ia menunjukkan masih ramai yang kurang peka tentang kepentingan dan hak mengundi.
Lebih merisaukannya, 46 peratus daripada 4.2 juta itu adalah anak-anak Melayu.
“Mengapa saya tekankan ini? Kerana masa hadapan ditentukan oleh governan.
“Jadi, kalau anak-anak muda kita tidak mendaftar sebagai pengundi, bagaimana dia nak menentukan hak dan pembentukan governan?” soalnya.
Beliau membangkitkan perkara itu dalam program Bicara Kenegaraan Siri 2 bertemakan Cabaran Naratif Masa Hadapan Malaysia di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya, baru-baru ini.
CELIK
Dalam hal itu, Ismail mencadangkan penubuhan sebuah institut demokrasi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan celik demokrasi dan mengundi untuk memilih kerajaan.
Penubuhan institut demokrasi itu juga merupakan antara 49 syor reformasi pilihan raya yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kepada kerajaan yang turut dianggotainya.
“Kita kena latih anak muda untuk betul-betul faham hak mereka tentang demokrasi dan pastikan mereka celik politik kerana ia penting untuk menentukan landskap politik negara pada masa akan datang,” jelasnya.
Program itu turut menampilkan dua panel iaitu Pengarah Pusat Latihan Intern dan Pengayaan Akademik, Universiti Malaya, Dr. Wendy Yee Mei Tian dan Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Azizuddin Mohd. Sani.
Sementara itu, Wendy Yee berpendapat, rakyat perlu menormakan pembudayaan naratif positif dalam kehidupan seharian mahupun dalam laman media sosial.
Menurutnya, kebanyakan anak muda pada masa kini lebih terdedah dengan naratif negatif yang ditonjolkan di media sosial sehingga membentuk mereka menjadi prejudis dan stereotaip.
Dalam pada itu, Azizuddin berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan peranan ahli akademik dalam pembentukan negara maju.
Katanya, dasar-dasar negara banyak dibentuk oleh golongan pendidik dalam era pascamerdeka.
“Macam pembentukan Rukun Negara pada 1970 apabila kerajaan menubuhkan Majlis Gerakan Negara yang di dalamnya ramai ahli akademik,” ujarnya.










