Seorang bakal mahasiswi menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada saya: Maaf saya terpaksa menarik diri dari mengikuti pengajian kerana tidak bersedia menghadapi pengajian secara dalam talian dan perlu membantu keluarga.
Dia menghantar mesej itu walaupun usaha untuk membantunya baru bermula dan saya memberitahunya, terdapat banyak saluran bantuan yang ada yang boleh diterokai untuk membolehkannya mengikuti pengajian.
Saya dapat memahami kerisauannya kerana dimaklumkan ayahnya tidak bekerja, berumur 64 tahun, seorang bekas pemandu, manakala ibunya juga tidak bekerja. Anak keempat daripada empat beradik. Pada tahun lalu, kakaknya juga menolak pengajian ke universiti kerana alasan sama.
Sayangnya, dia sendiri adalah bekas pelajar diploma Kolej Kemahiran dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.65 dan ditawarkan pengajian Sarjana Muda Pengurusan yang merupakan kursus sangat kompetitif. Kisah ini tentu sahaja merisaukan kerana peluang mengikuti pengajian dalam kursus seperti ini bukan selalu datang.
Terdapat banyak cara untuk mengikuti pengajian walaupun mungkin berhadapan dengan kesulitan kewangan dalam keadaan sekarang ini. Masih terdapat pelbagai bantuan kewangan disediakan oleh pelbagai pihak. Mereka sepatutnya tidak cepat mengalah tatkala orang lain berusaha keras untuk memastikan mendapat tempat di universiti.
Daripada bantuan untuk kumpulan B40 hinggalah kepada pelbagai pinjaman dan dermasiswa yang boleh diperoleh untuk memasuki universiti.
Sesetengah kerajaan negeri menyediakan insentif khas untuk anak-anak muda melanjutkan pengajian mereka. Manakala bagi pelajar Islam, hampir semua negeri mempunyai pejabat agama zakat yang sedia memberi bantuan sewajarnya sebagai persediaan awal untuk mereka mendaftar diri.
Pada pandangan saya, sudah sampai masa pengurusan masjid sebagai institusi masyarakat turut membantu anak-anak kariah untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang sebagai sebahagian daripada tuntutan agama. Sesetengah masjid mempunyai tabung besar yang sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan ini.
Saya percaya, rumah-rumah ibadat agama lain pun mempunyai kemudahan sama. Begitu juga pelbagai pertubuhan sukarela, yayasan dan persatuan alumni universiti yang turut membantu.
Bakal siswa-siswi ini perlu berani bertanya dan tidak segan untuk meminta bantuan. Buanglah rasa malu dan segan untuk menerima hakikat bahawa kita perlukan bantuan. Akuilah, pada waktu getir ini, apa sahaja peluang perlu diambil dan jangan berhenti berusaha.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM).










