Sejak beberapa tahun kebelakangan khususnya di Seremban, gerai penjaja di tepi jalan tumbuh bak cendawan selepas hujan. Pada peringkat awal, mungkin ia disambut baik masyarakat, apatah lagi niat di hati mahu membantu golongan penjaja mencari wang bagi meneruskan kehidupan termasuk membesarkan anak-anak.
Ya, zaman sekarang bukan mudah. Peluang pekerjaan yang ada tidak dapat memenuhi permintaan. Bagi yang sudah memiliki pekerjaan, tiba-tiba pula diberhentikan, terus hilang sumber pendapatan.
Jadi, ramai yang mengambil keputusan untuk berniaga. Letaklah meja, payung dipacakkan, jual apa sahaja asalkan wang dapat diperoleh segera. Namun lama-kelamaan, niat baik tadi bertukar jadi rasa sakit hati pula. Seolah-olah semakin banyak penjaja baharu muncul, semakin banyak hak orang lain dirampas.
Ini kerana ramai yang menjadikan petak letak kereta sebagai tapak menjaja. Jadi, parkir semakin berkurangan. Hinggakan urusan di bank lebih cepat selesai berbanding masa diambil untuk mencari parkir.
Isu penjaja ini bukan hanya terjadi di kawasan tumpuan orang ramai, di taman-taman perumahan juga sama. Lebih teruk lagi, di hadapan rumah ada deretan gerai didirikan. Jika hanya sebuah meja dan payung untuk sementara waktu tidak mengapa. Tapi sehingga struktur tetap dibina, itu sudah melampau. Tidak langsung hormat hak orang lain. Sakit hati dan sakit mata memandangnya.
Sehubungan itu, langkah Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyusun semula penjaja ini dengan menyediakan Pusat Penjaja Setempat adalah sangat dipuji. Tindakan awal mesti diambil supaya konflik antara kepentingan orang awam dan penjaja yang mencari rezeki tidak terus berlarutan. Difahamkan, MBS mengenal pasti 41 lokasi dengan 890 petak berniaga.
Ini langkah terbaik demi kepentingan semua. Sesuai dengan imej baharu Seremban sebagai sebuah bandar raya sejak Januari lalu.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.










