Buat persiapan awal tunai umrah - Utusan Malaysia

Buat persiapan awal tunai umrah

GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai menarik nafas lega mendengar pengumuman Kerajaan Arab Saudi yang akan membuka pintu sempadan negara itu pada 1 Januari 2021 selain memaklumkan perancangan membenarkan jemaah umrah tidak lama lagi.

Bagi umat Islam, ia adalah berita yang ditunggu-tunggu selepas semua perjalanan umrah dibekukan sejak Mac lalu. Seperti biasa, rakyat Malaysia adalah antara bilangan terbesar yang menunaikan umrah setiap tahun.

Statistik Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 2 Jun 2019 menunjukkan Malaysia sudah menghantar 274,066 jemaah umrah sejak tahun 2018 hingga September 2019.

Begitulah ketentuan Allah. Tiada siapa pernah menjangka suatu ibadat di dua tanah suci Mekah dan Madinah terpaksa ditangguh dan ditutup disebabkan wabak Covid-19. Bukan sahaja umrah malah ibadat haji melibatkan majoriti umat Islam yang terpilih juga terpaksa ditunda ke tahun hadapan.

Agensi pelancongan haji dan umrah berdepan risiko gulung tikar sekiranya penghantaran jemaah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu ditangguhkan lebih lama ekoran pandemik Covid-19.
Umrah dan haji ini adalah ibadat yang istimewa. Sebabnya, bukan semua orang yang ada duit atau berkemampuan dapat menunaikannya. Namapun menjadi tetamu Allah. Ini bermaksud, bukan mesti orang berada dan berkemampuan dapat menunaikannya. Bukan mustahil pula orang yang kerjanya biasa-biasa sahaja tetapi direzekikan menunaikan umrah atau haji.

Walaupun angka 274,066 jemaah umrah Malaysia itu agak besar tetapi ia masih kecil berbanding jumlah umat Islam negara kita. Populasi negara terkini dianggarkan 36 juta orang. Jika 60 peratus daripadanya adalah Muslim maka jumlahnya adalah 21.6 juta. Daripada jumlah itu, kita ambillah 50 peratus golongan dewasa maka angkanya adalah sekitar 10.8 juta orang.

Kita tolaklah jumlah ini dengan angka 10 peratus yang sekurang-kurangnya pernah sekali menunaikan umrah, bakinya adalah kira-kira 9 juta. Walaupun angka ini tidak tepat tetapi kesimpulannya masih ramai yang belum menunaikan umrah.

Oleh itu, buatlah persiapan awal dengan merancang kewangan agar kita dapat menunaikan umrah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Untuk fardu haji, memang kita kena akur dengan sistem kuota yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Umum maklum tentang hukum tunai umrah dan haji. Ia adalah fardu sebagaimana haji. Inilah pendapat al-Imam as-Syafie r.a. yang al-Azhar. Ijmak ulama mengatakan bahawa hanya wajib dilakukan sekali sepanjang hayat bagi orang yang mampu kecuali orang yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.

Dalilnya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah. (al-Baqarah 196).
Adapun hadis Nabi Muhammad SAW tentang ibadat ini adalah yang bermaksud: Daripada Aisyah r.ha, Aku berkata: Wahai Rasulullah,apakah wanita wajib berjihad?. Sabda Baginda: Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan umrah. (Riwayat Ibnu Majah)

Buat masa ini, bukan sahaja umat Islam yang rindukan Baitullah kerana larangan memasuki Arab Saudi, sejumlah 24 agensi umrah yang berdaftar di bawah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) lebih lagi terkesan.

Menceritakan hal ini, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, selain gagal memperoleh keuntungan kerana tidak membawa jemaah haji dan umrah, pengurusan syarikat masih perlu membayar gaji kakitangan dan bayaran lain termasuk premis serta utiliti.

“Bagi setiap jemaah yang mengambil pakej dilesenkan oleh Tabung Haji, syarikat atau PJH (Pengelola Jemaah Haji) mendapat keuntungan sekitar RM2,500 untuk seorang jemaah haji dan antara RM250 hingga RM300 untuk jemaah umrah.

“Buat masa sekarang, (kita lihat) gelap dan tidak nampak jalan selagi Covid-19 belum mempunyai vaksin. Syarikat berskala kecil sangat terkesan dan ada yang sudah gulung tikar,” katanya.
Mulai 9 September 2019, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah:
 Memansuhkan caj SR2000 untuk jemaah berulang.
 Mengenakan caj visa SR300 bagi setiap jemaah.
 Mengenakan caj insurans SR189 bagi setiap jemaah.
 Bagaimanapun, dijangka kos menunaikan umrah untuk tahun hadapan akan meningkat. Ini berdasarkan keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Antara yang boleh dijangka adalah selain keperluan suntikan meningococcal ACYW135 sedia ada berharga antara RM120 ke RM170, ujian swab mungkin diwajibkan ke atas setiap jemaah umrah.

Selain itu, kos pengendalian darat juga mungkin meningkat berikutan penjarakan fizikal di dalam kenderaan terutamanya bas yang menjadi pengangkutan utama jemaah. Ini tidak termasuk lain-lain keperluan individu seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan sebagainya.

Walaupun berhadapan kemungkinan tersebut, umat Islam jangan bimbang kerana setiap sen yang dibelanjakan pada jalan Allah, insya-Allah akan diganti. Ia sebagai mana doa yang dibaca untuk jemaah umrah yang antara lain bermaksud: “Ya Allah kurniakanlah umrah yang makbul, saie yang disyukuri, mendapat pengampunan, amalan yang diterima dan perbelanjaan yang digantikan”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN