Beringat 6 ini di Sabah - Utusan Malaysia

Beringat 6 ini di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABTU ini 12 September ini bermulalah pertarungan sengit pilihan raya negeri Sabah yang dibuka gelanggangnya, menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan.

Seperti biasa ada ‘pm tepi’ kepada saya minta mereka yang mengetuai jentera parti masing-masing sentiasa berwaspada dengan isu-isu luar jangka yang disensasikan – sebahagian besar berpunca dari salah sendiri.

1. ‘BANTAI’ SAHAJA?
-Sebelum masuk gelanggang untuk bawa, bangkit atau perjuangkan satu-satu isu, ‘berlarilah’ dalam kepala dahulu apa yang wajar diucapkan. Bagaimana hendak diucapkan sesuatu topik itu. Orang yang bercakap biasanya ‘bantai’ sahaja apa yang terfikir. Masalahnya adalah apabila orang lain yang tulis ucapan dan orang lain pula yang membacanya, kadangkala akan timbul kejanggalan.

Bak kata Presiden Abraham Lincoln: “In view of the inability of others to fathom my style and my thinking, 1 propose to write up and utter my own speech” (Memandangkan ketidakupayaan orang lain memahami gaya dan pemikiran saya, maka saya menulis dan mengolah ucapan saya sendiri).

Soal ucapan/ungkapan adalah penting seperti pendapat pujangga Hamka, jika burung boleh dikenal dengan bunyinya, manusia dikenal dengan ungkapan/ucapannya.

2. CALON BAHARU, MUDA ATAU WARLORD?
– Sejarah biasa membuktikan, lagi lama seseorang itu berkhidmat, lagi banyak jasanya. Sementara pandangan ini mengandungi kebenaran, risikonya tetap ada. Lagi lama berada dalam sesuatu jawatan dan mengetuai satu-satu kerusi DUN, lagi banyak kesilapan dan masalah yang timbul.

Orang keliling mungkin menyanjung saban hari dengan ungkapan seperti “Datuk hebat…mesti sambung lagi (jadi calon). Namun, ada ketikanya seseorang penyandang itu berpuas hati dengan rekod “cukuplah saya telah tunaikan tanggungjawab memupuk ‘benih baharu’ supaya menjadi pokok rendang yang menaungi perjuangan.”

Ada ‘pm tepi’ saya bertanyakan, kenapa si polan tidak balas budi setelah dia menduduki kuasa? Mereka ambil iktibar daripada usaha wakil rakyat tertentu yang membantu orang lain menaiki jenjang kuasa, sedangkan individu berkenaan lupa jasa orang.

Hai! alur sungai lagikan berubah, inikan pula hati orang.

3. BILA LAWAN JADI KAWAN
-Dulu kawan, kini jadi lawan sebenarnya tema yang dialami oleh orang politik. Lantaran politik tiada Perintah Amnya seperti yang ada pada penjawat Perkhidmatan Awam kerajaan, banyak pemimpin akhirnya bertembung dengan mereka yang dulunya kawan mereka atau penyokong mereka. Dalam sejarah politik tanah air, tiada hubungan akrab yang lebih nyata selain hubungan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mula-mula dari lawan jadi kawan, kemudian dari kawan bertukar lawan, selepas itu jadi kawan semula dan sekarang…? Anwar sudahpun separuh berjaya mengetepikan junjung yang menegakkan sirih yang membawanya ke julangan tinggi. Pertembungannya dengan Dr. Mahathir akan sentiasa menjadi yang terhebat dalam kumpulan tragedi politik tanah air.

Hakikatnya, tiada yang kekal dalam politik kecuali isu dan perjuangan.

4. TELINGA TERLALU NIPIS?
-Dalam politik sebenarnya daya tahan amat penting sekali.Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur, mudah melenting.

Reaksi terhadap cakap orang atau penyampaian ‘orang kita’ perlu ditapis dan dihalusi sebelum diterjemahkan kepada tindak balas.

Seseorang yang memegang jawatan kanan perlu cermat dan hati-hati dalam serba-serbi, termasuk kenyataan kepada media atau pandangan semasa berceramah. Ada belaka padahnya yang buruk.

Hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca. Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang harus tidak dibuat kerana nanti orang akan nampak. Atau orang akan mudah bertindak balas. Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu, nanti apabila orang membaling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

5. PERSEPSI?
-Seorang penulis, Stan Moore menukilkan: “Hanya kerana kebenaran tidak kelihatan, tidak bermakna hal itu palsu. Hanya kerana kenyataan tidak dirasai, tidak bermakna perkara itu tidak wujud”.

Ini maknanya persepsi. Tetapi apa yang rakyat melihat dan mendengar itulah yang dicakapkan. Jadi, persepsi harus ditangani dengan cermat dan bijaksana oleh sesuatu pihak yang ingin menang dalam PRN Sabah nanti.

Cuma, ada sebahagian mereka yang mengetuai jentera dikhuatiri mengambil sikap tidak menjawab. Atau, menjawab dan mengambil sikap secara defensif.

Sedangkan dalam strategi politik, apa yang harus dilakukan ialah parti itu harus menyerang pihak yang menyerangnya.

Ini memang suatu ‘seni’ sehinggakan sering kali pesaing berlagak sinis dan membuat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya sendiri sehingga membuatkan orang tergelak. Mesej yang menyebabkan orang ketawa ini mudah diterima oleh sebilangan orang walaupun serangan yang begitu keterlaluan dan bertubi-tubi ini sudah banyak kali didengar oleh masyarakat.

6. BERTERUS TERANG ATAU BERKIAS?
-Sukar orang muda sekarang hendak ‘baca’ maksud tersirat. Mereka lebih suka berterus-terang.
Yang ‘pm tepi’ saya menjawab: “Peribahasa ini lebih manis, maksudnya dalam…kurang menyakitkan.”

Ya, peribahasa memberi pengajaran. Mengingatkan individu pelbagai kemungkinan yang akan datang. Tujuannya menegur, melarang membuat sesuatu.

Namun hari ini terutama dengan situasi politik yang kelam, peribahasa nampaknya sudah luput penggunaannya. Menggantikannya, troll yang beraja di laman sosial.

Troll – memberi pendapat berlawanan daripada orang lain termasuk parody atau kata lain, ‘makan dalam’.
Tapi nak troll mesti ada point. Bukannya boleh troll membuta-tuli. Mesti bersiap sedia dengan fakta yang kukuh dan berbaur sarkastik. Cuma saya masih ‘enggan berpisah’ dengan peribahasa.

Seperti mana situasi politik tanah air yang banyak membentuk pemikiran dan kehidupan kita dalam masyarakat, saya berharap parti politik tertentu tidak berperilaku bak “bagai sepuluh jong masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga” (1).

Maksudnya: Tidak mahu berubah walaupun banyak melihat pembaharuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×