Pagar jangan makan padi - Utusan Malaysia

Pagar jangan makan padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendedahan mengenai pusat judi haram di Sungai Buloh, Selangor ‘dilindungi’ pihak berkuasa bukan mengejutkan. Ini perkara biasa. Media sudah sering mendedahkan kekebalan pusat judi berbanding kuasa pihak berkuasa. Tetapi seperti biasa, selepas ribut laut pun tenang macam biasa. Sekitar 2014 hingga 2016, ketika saya menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, akhbar itu dan Utusan Malaysia kerap membuat laporan bercorak penyiasatan perihal pusat judi haram di Kuala Lumpur dan Selangor. Tetapi tidak banyak yang berubah.
Letih wartawan dibuatnya. Akhirnya mencetak berita mengenai pusat judi haram hanya membazirkan kertas. Wartawan kecewa dan pembaca pula muak membaca berita-berita yang tidak berkesudahan. Lebih baik mereka menonton drama pukul 7 malam, walaupun bosan ada juga penamat.

Perkara yang terbentang di depan kita sekarang sudah lama menjadi pemerhatian dan pengamatan generasi silam. Dengan kebijaksanaan, mereka berpesan kepada anak cucu supaya jangan menjadi seperti pagar yang makan padi. Generasi Tik Tok kena belajarlah makna perlambangan ini.

Sepatutnya pagar menjadi pelindung padi daripada diragut haiwan seperti lembu atau kerbau. Tetapi apabila pagar sendiri mendatangkan bahaya kepada yang dipagar, ada sesuatu yang tidak kena dengan pagar-pagar ini. Berdiri seperti pagar tetapi tidak memagar. Haiwan memakan pokok padi kerana itu sebahagian makanannya. Maka manusia dianugerahkan akal mencari jalan supaya padi tidak rosak dan kerbau atau lembu masih boleh dipelihara sebagai ‘saham’ apabila kesempitan wang. Terciptalah pagar yang kukuh bertujuan melindungi padi.
Nasihat dan pesan itu adalah kebijaksanaan generasi silam tidak pernah luput ditelan zaman. Malah sentiasa sesuai selagi ada yang menjadi ‘padi’ dan ‘pagar’ dalam konteks zamannya.
Kejadian-kejadian pelanggaran moral dan memijak tanggungjawab adalah krisis yang semakin tenat pada zaman moden ini.

Semakin modennya manusia dalam kehidupan, semakin tinggi pula cabaran penyakit ini. Apa lagi slogan hidup sesetengah daripada kita semakin condong pada ‘ada duit semua jadi’. Padahal hakikatnya tidak semua dapat dimiliki dengan duit, salah satunya sifat amanah. Tidak ada nilai kebendaan untuk disamakan dengan amanah.

PEMANDU TEKSI

Kita tentu pernah mendengar atau membaca kisah pemandu teksi yang hidupnya kais pagi makan pagi, memulangkan sebungkus wang penumpang yang tertinggal dalam teksinya. Dari segi kebendaan, nilai wang itu terlalu besar, boleh dibelanja daripada anak hingga kepada cucu. Bayangkanlah berapa jumlahnya. Tetapi wang sebanyak itu tidak menggugat sifat amanah yang menjadi pegangannya. Seperti maksud pantun lama, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga. Yang dikenang adalah sifatnya, bukan kebendaan miliknya.

Pagar memakan padi kerana ia tidak amanah, tambahan pula mempunyai kuasa yang mungkin memudahkan perbuatan berkenaan. Maka berhati-hatilah apabila dianugerahkan kuasa. Ini satu ujian kerana kuasa akan datang beriringan dengan godaan supaya kita curang pada sifat amanah. Bagaimana untuk menjadi manusia yang amanah? Kepada yang Muslim sudah tentu pesan tok guru atau ustaz semasa kanak-kanak, ilmu agama yang dihayati semasa dewasa boleh memimpin kita menjadi seorang yang amanah. Amanah datang dengan Islam yang dianutinya.

Islam adalah satu budaya hidup yang menjurus aman dan sejahtera, tidak kira sesama Muslim dan bukan Muslim. Bagaimanapun, kita bimbang sudah ada kecenderungan mengecilkan Islam hanya anutan dan bukan sebagai budaya hidup. Setahun lalu ada pemimpin tinggi negara kita merungut kerana subjek Pendidikan Islam di sekolah terlalu banyak. Ini didakwa telah mengambil masa pelajar untuk belajar sains dan metamatik.

LEBAI

Alangkah malangnya apabila pemimpin gagal menghayati Islam sebagai penjana nilai dalam kehidupan. Sekolah-sekolah agama dan tahfiz secara sinisnya dianggap ‘kilang’ mengeluarkan ustaz, penceramah dan ‘lebai’ sahaja. Mereka yang jenis ini tidak nampak sekolah agama ini membantu mengeluarkan insan yang mendukung nilai-nilai sejagat seperti amanah.

Sains adalah sains, bukan insan. Maka sebab itulah sains dimanfaatkan untuk mengimbanginya dengan nilai-nilai insan. Di sinilah peranan pengajian Islam di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi serta institusi tidak rasmi dalam masyarakat. Memang betul, sains dan teknologi adalah tunggak negara maju. Tetapi untuk menjadi negara maju yang sejahtera memerlukan warga yang tinggi citra moral dan keinsanannya. Sekali lagi bagi Muslim, citra moral dan keinsanan hanya boleh digali dengan mendalami Islam.

Kita tidak mahu menjadi negara maju dengan kekayaan yang tinggi menggunung, banyak billionaire tersenarai dalam majalah Forbes tetapi majoriti warganya muflis moral. Individu yang tidak amanah adalah tidak bermoral. Maka carilah di mana akar masalah pagar makan padi. Ini berlaku dalam semua lapisan masyarakat termasuk Muslim mengikut tinggi atau rendah kedudukan mereka. Yang bilis dengan cara bilis, yang jerung jangan cakaplah lincahnya. Apabila nama dan gambar disiar dalam media, kita pun tertanya-tanya, apakah lagi yang dia cari? Mereka sebenarnya mencari ‘kebendaan’ yang hingga ke hujung dunia pun tidak akan ketemu penamatnya.

Pesan saya, usah kontroversikan sangat cerita di Sungai Buloh. Itu hanya secebis daripada sekian banyak kisah yang menuntut kita sama-sama melihat peri pentingnya amanah berakar tunjang dalam diri. Islam adalah kehidupan yang sejahtera, sifat amanah terkandung dalamnya.

PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya