Belanjawan 2027: Jangan tunggu rakyat jatuh miskin

Belanjawan 2027: Jangan tunggu rakyat jatuh miskin

BELANJAWAN 2027 wajar menjadi titik mula kepada pendekatan pembasmian kemiskinan yang lebih dinamik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG pembentangan Belanjawan 2027, dasar pembasmian kemiskinan Malaysia wajar bergerak ke satu tahap yang lebih maju. 

Persoalan dasar tidak seharusnya terhad kepada berapa ramai isi rumah yang berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada sesuatu masa. Sebaliknya, kerajaan juga perlu mengetahui berapa lama seseorang berada dalam kemiskinan, berapa kerap sesebuah keluarga keluar dan masuk semula ke dalam kemiskinan, serta sejauh mana isi rumah yang tidak miskin hari ini berisiko menjadi miskin pada masa hadapan. 

Pendekatan ini dikenali sebagai pendekatan kemiskinan dinamik. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Keperluan kepada perubahan tersebut semakin jelas. Pada 2024, kadar kemiskinan mutlak Malaysia ialah 5.1 peratus dengan purata PGK sebanyak RM2,705 sebulan. 

Namun, kadar kemiskinan relatif masih berada pada 16.7 peratus. Jurang antara kedua-dua ukuran ini menunjukkan keadaan ekonomi isi rumah tidak dapat diterangkan sepenuhnya melalui satu garis pendapatan sahaja.

Lebih penting, ukuran pada satu titik masa tidak memberitahu sama ada sesebuah isi rumah miskin selama bertahun-tahun atau hanya mengalami kemerosotan pendapatan untuk beberapa bulan.

Dalam menilai kemiskinan, isi rumah boleh dibahagikan kepada beberapa kategori berdasarkan tempoh dan kekerapan mereka mengalami kemiskinan. Antaranya ialah isi rumah yang sentiasa miskin, biasanya miskin tetapi kadang-kadang berada sedikit di atas garis kemiskinan, kerap keluar masuk kemiskinan, sekali-sekala jatuh miskin serta tidak pernah miskin.

Dua kategori pertama boleh dianggap sebagai golongan miskin kronik kerana berdepan kemiskinan dalam tempoh panjang. Sebaliknya, isi rumah yang kerap keluar masuk kemiskinan atau hanya mengalami kemiskinan pada masa tertentu lebih sesuai dikategorikan sebagai miskin sementara. Perbezaan ini penting kerana punca, tahap kerentanan dan keperluan setiap kumpulan adalah tidak sama.

Bagi Malaysia, perhatian khusus perlu diberikan kepada kumpulan  isi rumah yang kerap keluar masuk kemiskinan. Mereka mungkin tidak kelihatan miskin ketika penilaian dibuat tetapi pendapatan mereka tidak stabil. Golongan ini berkemungkinan besar terdapat dalam kalangan pekerja tidak formal, bekerja sendiri dan sebahagian pekerja ekonomi gig. 

Data terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 3.28 juta orang berada dalam pekerjaan tidak formal pada  2025, bersamaan 19.8 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara. 

Lebih separuh pekerja kategori bekerja sendiri  juga berada dalam pekerjaan tidak formal. Kumpulan sebegini boleh memperoleh pendapatan yang memadai pada satu bulan tetapi mengalami kejatuhan mendadak pada bulan berikutnya.

 

KEMISKINAN TIDAK SEMESTINYA KEKAL 

Kenyataan Prabelanjawan 2027 sendiri membuka ruang yang sangat sesuai untuk pendekatan ini. Kementerian Kewangan menyatakan Belanjawan 2027 akan memberi perhatian kepada penyasaran bantuan yang lebih baik, tekanan kos sara hidup, perlindungan sosial dan usaha memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir. 

Kerajaan turut memberi keutamaan kepada peluasan perlindungan kepada pekerja gig, pekerja tidak formal dan golongan rentan. Oleh itu, Belanjawan 2027 boleh menjadi titik permulaan kepada pembentukan satu sistem pembasmian kemiskinan yang lebih dinamik.

Cadangan pertama ialah membangunkan Daftar Kemiskinan Dinamik Nasional. Sistem ini tidak seharusnya hanya merekodkan pendapatan semasa isi rumah. Sebaliknya, perlu merekodkan sejarah perubahan pendapatan, status pekerjaan, kehilangan pekerjaan, tempoh menganggur, jumlah tanggungan, tahap simpanan, komitmen asas dan kejutan yang dialami isi rumah. 

Dengan maklumat ini, kerajaan boleh membina satu trajektori kemiskinan  bagi setiap isi rumah. Sebuah keluarga yang berada di atas garis kemiskinan hari ini tetapi jatuh di bawahnya berulang kali sepanjang dua tahun akan dapat dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.

Pendekatan ini boleh diperkukuh melalui pembangunan Skor Kerentanan Kemiskinan Isi Rumah. Skor tersebut tidak seharusnya menggantikan PGK tetapi melengkapkannya. 

Selain pendapatan, skor boleh mengambil kira kestabilan pekerjaan, turun naik pendapatan, aset mudah cair, jumlah tanggungan, keadaan kesihatan, status perumahan dan sejarah penerimaan bantuan. 

Dua keluarga yang sama-sama memperoleh RM3,500 sebulan boleh mempunyai tahap risiko berbeza. Keluarga dengan pekerjaan tetap, simpanan dan rumah sendiri lebih berdaya tahan berbanding keluarga yang bergantung kepada pendapatan gig, menyewa rumah dan tidak mempunyai tabungan kecemasan.

Cadangan kedua ialah membezakan reka bentuk bantuan berdasarkan jenis kemiskinan. Golongan sentiasa miskin dan biasanya miskin memerlukan intervensi jangka panjang yang menangani punca struktur seperti pendidikan rendah, masalah kesihatan, kekurangan aset, perumahan dan akses kepada pekerjaan. 

Bantuan tunai sahaja mungkin mengurangkan kesusahan semasa tetapi tidak semestinya memutuskan perangkap kemiskinan. Golongan ini memerlukan gabungan bantuan pendapatan, pendidikan anak, kesihatan, perumahan, latihan kemahiran dan peluang menjana pendapatan.

Bagi golongan kerap keluar masuk kemiskinan, pendekatannya perlu berbeza. Mereka lebih memerlukan perlindungan terhadap kejutan berbanding bantuan tetap. Belanjawan 2027 boleh memperkenalkan satu bentuk Bantuan Pendapatan Sementara Automatik yang diaktifkan apabila pendapatan seseorang jatuh secara ketara akibat kehilangan pekerjaan, penyakit, kejatuhan permintaan atau kejutan ekonomi tertentu. 

Bantuan tersebut boleh bersifat sementara dan dikurangkan secara berperingkat apabila pendapatan pulih. Pendekatan ini lebih baik daripada memaksa isi rumah menunggu sehingga mereka secara rasmi dikategorikan miskin sebelum bantuan diterima.

Cadangan ketiga ialah memperkukuh perlindungan sosial bagi pekerja gig dan pekerja tidak formal. Ini selari dengan kenyataan Prabelanjawan 2027 yang menekankan perluasan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan  Keselamatan Sosial (Perkeso)  dan skim berkaitan kepada kumpulan tersebut. 

Caruman padanan kerajaan kepada skim perlindungan sosial boleh ditingkatkan bagi pekerja berpendapatan rendah dan tidak tetap. Apabila pendapatan meningkat, sumbangan kerajaan boleh dikurangkan secara beransur-ansur. Dengan cara ini, bantuan kerajaan tidak mewujudkan pergantungan, sebaliknya membina daya tahan isi rumah terhadap kehilangan pendapatan pada masa hadapan.

Cadangan keempat ialah menjadikan pencegahan kemiskinan sebagai sebahagian daripada ukuran prestasi program kerajaan. Pada masa ini, kejayaan dasar mudah dikaitkan dengan pengurangan bilangan penerima atau penurunan kadar kemiskinan. 

Namun, ukuran yang lebih bermakna ialah berapa ramai keluarga yang keluar daripada kemiskinan dan tidak kembali miskin selepas dua atau tiga tahun. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menekankan pendekatan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh serta penambahbaikan kaedah mengenal pasti kumpulan sasaran. 

Pendekatan dinamik dapat memberikan indikator yang lebih baik untuk menilai keberkesanan sebenar dasar tersebut.

Oleh itu, Belanjawan 2027 boleh membawa perubahan prinsip daripada dasar bantuan apabila miskin kepada dasar perlindungan sebelum jatuh miskin. Pendekatan ini tidak bermaksud memperluas bantuan tunai kepada semua orang. Sebaliknya, bermaksud menggunakan data dengan lebih bijak untuk membezakan kemiskinan kronik, kemiskinan sementara dan kerentanan terhadap kemiskinan. –UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN