REFORMASI bukan sekadar soal mengubah undang-undang atau memperkenalkan dasar baharu, sebaliknya usaha besar untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap institusi negara, memperkukuh sistem semak dan imbang serta memastikan kuasa yang diamanahkan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Dalam sebuah negara yang sentiasa berdepan perubahan politik, ekonomi dan tuntutan rakyat yang semakin kompleks, pembaharuan institusi penting bagi memastikan sistem pentadbiran terus relevan, telus dan berintegriti.
Ia juga menuntut keberanian politik untuk mengubah struktur serta amalan yang sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran negara.
Atas landasan itu, agenda reformasi di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mula diterjemahkan kepada beberapa perubahan nyata membabitkan undang-undang, institusi dan tatakelola negara.
Walaupun sebahagiannya masih memerlukan masa untuk disempurnakan, langkah yang dilaksanakan menunjukkan reformasi bukan lagi sekadar gagasan, sebaliknya sedang dibentuk menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran negara.
Antara agenda yang telah dilaksanakan dan sedang diteruskan ialah pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62), Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA), Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), had penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun, pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM).
Pindaan Akta Audit 1957 membolehkan Jabatan Audit Negara (JAN) mengaudit semua 1,856 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara terhadap badan lain termasuk syarikat yang menerimajaminan kewangan.
Pendekatan baharu ‘follow the public money audit’ turut diperkenalkan bagi membolehkan risiko fraud perakaunan dikesan dan dinilai dengan lebih berkesanserta bersasar.
Sementara itu, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 memberikan Perkhidmatan Parlimen kuasa autonomi menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia selepas 33 tahun.
PSA pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992. Penggubalannya semula dilihat sebagai langkah penting untuk memastikan Parlimen berfungsi sebagai institusi yang lebih bebas dan berdaulat.
FRA pula menyediakan kerangka bagi tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam mengurus kewangan awam serta risiko fiskal, khususnya berkaitan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang, selain pelaporan dokumen belanjawan tahunan.
Dalam memperkemas penyampaian perkhidmatan awam, STAR berperanan menerajui dan menyelaras inisiatif reformasi pentadbiran, termasuk memecahkan silo antara kementerian dan agensi, memperbaiki proses kerja serta menghapuskan kerenah birokrasi.
Dalam masa sama, kerajaan bercadang meneruskan prosiding bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan seseorang Perdana Menteri kepada 10 tahun, sama ada secara berturut-turut atau tidak. Cadangan itu sebelum ini dibentangkan di Parlimen dan drafnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Kerajaan turut mengumumkan pemansuhan AUKU 1971 bagi memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa, termasuk dalam aspek kebebasan bersuara, pemikiran dan penglibatan dalam masyarakat.
Seiring langkah itu, jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi meneliti pembentukan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA).
Satu lagi pencapaian penting ialah penubuhan MMM yang mengambil masa panjang sejak idea itu beberapa kali dibangkitkan kepada kerajaan bermula 1973. Dewan Rakyat meluluskan RUU Majlis Media Malaysia 2024 pada 26 Februari 2025, sebelum diwartakan pada 13 Jun dan dikuatkuasakan sehari kemudian.
Namun, persoalannya sejauh mana reformasi benar-benar membawa perubahan kepada pentadbiran dan tadbir urus?
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mazlan Che Soh berkata, agenda reformasi kini sudah bergerak daripada wacana kepada perubahan institusi yang nyata.
Menurut beliau, pindaan Akta Audit, Akta Perkhidmatan Parlimen dan FRA mewujudkan aturan baharu mengenai bagaimana kuasa, kewangan dan pentadbiran kerajaan dipantau.
“Namun, kejayaan reformasi tidak boleh diukur melalui bilangan akta yang diluluskan sahaja. Ujian sebenar ialah sama ada teguran audit diambil tindakan, Parlimen lebih berkesan menyemak Eksekutif, birokrasi menjadi lebih telus serta rakyat merasakan urusan dengan kerajaan lebih mudah, cepat dan adil,” katanya.
Beliau berkata, meluluskan undang-undang boleh dilakukan dalam satu sidang Parlimen tetapi mengubah budaya pentadbiran mengambil masa bertahun-tahun kerana reformasi hanya benar-benar berjaya apabila perubahan itu dirasai rakyat.
Menurut Dr. Mazlan, jika diukur dari sudut semak dan imbang demokrasi, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 antara yang paling signifikan kerana memperkukuh keupayaan Parlimen berfungsi secara lebih tersendiri daripada Eksekutif.
“Namun ketiga-tiganya saling melengkapi. Akta Audit memperkukuh akauntabiliti penggunaan wang awam, FRA mendisiplinkan pengurusan fiskal, manakala Akta Perkhidmatan Parlimen memperkukuh institusi yang menyemak kerajaan.
“Dalam hal ini, audit menjaga bagaimana wang rakyat dibelanjakan, FRA mendisiplinkan kerajaan ketika berbelanja tetapi Parlimen ialah institusi yang menjaga kerajaan itusendiri,” katanya.
Mengulas pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta had penggal Perdana Menteri yang mengambil masa, beliau berkata, reformasi berkenaan menyentuh pengagihan kuasa dalam sistem kenegaraan, termasuk pelantikan, tempoh jawatan, akauntabiliti, kebebasan institusi dan pindaan Perlembagaan.
Kemahuan politik sahaja tidak mencukupi. Reformasi yang menyentuh Perlembagaan dan keseimbangan kuasa memerlukan konsensus politik serta institusi yang lebih luas. Semakin besar sesuatu reformasi menyentuh kuasa, semakin sukar ia dilaksanakan.
Reformasi pentadbiran memerlukan keputusan kerajaan sementara reformasi Perlembagaan memerlukan konsensus negara.
Justeru, kerajaan perlu memasuki fasa kedua reformasi, iaitu daripada reformasi undang-undang kepada reformasi pelaksanaan dan budaya pentadbiran.
Agenda seperti pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengukuhan Ombudsman, integriti perolehan, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan institusi penguatkuasaan perlu diteruskan.
Pada masa sama, reformasi mesti sampai ke kaunter perkhidmatan. Rakyat menilai reformasi ketika berurusan dengan hospital, pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT), imigresen atau ketika memohon lesen dan bantuan.
Maka ukuran selepas ini sepatutnya ialah masa penyelesaian, pengurangan prosedur, tindakan terhadap teguran audit, penyelesaian aduan dan pengalaman rakyat.
Fasa pertama reformasi ialah mengubah undang-undang. Fasa kedua dan jauh lebih sukar, ialah mengubah cara kerajaan bekerja. –UTUSAN
PENULIS ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia.










