BAHASA itu tunjang sesebuah bangsa. Hilang bahasa, lenyaplah bangsa. Sesebuah bangsa akan menjadi kuat jika bahasa ibundanya sentiasa terpelihara dan dimartabatkan oleh setiap anak bangsanya.
Hari ini, penguasaan bahasa utama dunia menjadi keperluan kerana kita hidup dalam dunia tanpa sempadan yang menuntut keupayaan bersaing di peringkat global. Pada masa sama, setiap anak bangsa tidak boleh mengabaikan kepentingan mendalami bahasa kebangsaan sebagai asas jati diri.
Bahasa menggambarkan sesuatu bangsa. Justeru, bahasa yang kita gunakan ialah cerminan diri kita yang sebenarnya dan menunjukkan dari mana asal usul kita. Maka, bahasa ibunda yang baik dan indah menggambarkan ketamadunan bangsa yang tinggi.
Kesedaran akan hal ini, disertai minat yang mendalam dalam bidang linguistik telah mendorong saya untuk bergerak aktif dalam usaha-usaha berkaitan bahasa, walaupun ia langsung tidak mempunyai kaitan dengan bidang pengajian saya di universiti.
Minggu lalu saya sekali lagi berpeluang untuk mengendalikan program, WikiKata Bulan Bahasa 2026 anjuran Wikimedia Malaysia dengan kerjasama Wikimedia Singapura. Program sehari ini diadakan di lokasi yang istimewa, iaitu Taman Warisan Melayu yang terletak di bangunan bersejarah Istana Kampong Gelam.
Acara ini diadakan bersempena sambutan Bulan Bahasa di Singapura di bawah Majlis Bahasa Melayu Singapura, yang disambut bermula dari 14 Ogos hingga 11 Oktober 2026. Tujuannya untuk menggalakkan penggunaan dan penghayatan terhadap bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan Singapura.
Dalam program kali ini, kami memberi tumpuan kepada tulisan Jawi serta seni dan budaya pantun. Ini merupakan kali keempat kami mengambil bahagian dalam kempen Bulan Bahasa di Singapura.
Seperti tahun-tahun lalu, selain mengurus program, saya turut bertanggungjawab mengendalikan bengkel ejaan Jawi. Pengalaman mengajar Jawi selama ini menunjukkan bahawa walaupun ramai dalam kalangan kita boleh membaca tulisan Jawi, namun masih ramai yang tersangkut pada aspek ejaan kerana belum menguasai piawaian ejaan Jawi.
Oleh yang demikian, Jawi dianggap susah dan mengelirukan memandangkan orang ramai umumnya merasakan seolah-olah cara mengeja dalam Jawi tidak tetap atau berubah-ubah. Namun begitu, anggapan ini sama sekali tidak benar kerana ejaan Jawi sebenarnya mempunyai piawai ejaan yang tetap.
Setelah makan tengah hari, program diteruskan dengan bengkel pantun yang dikendalikan Shahril Samri, seorang guru tadika di Singapura yang juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang menganjur Bulan Bahasa.
Budaya pantun dahulunya merupakan sebahagian teras daripada hubungan kehidupan harian masyarakat kita. Orang dahulu cakapnya disulami pantun bagi menyatakan sesuatu secara halus agar tidak memalukan dan untuk menjaga hati orang lain.
Sejarah menunjukkan pantun merupakan elemen yang amat penting dalam budaya hidup Melayu dan dapat memberi gambaran jelas tentang cara pemikiran orang Melayu secara umumnya.
Malang sekali, penggunaan pantun secara meluas dalam kehidupan sehari-hari masyarakat Melayu kini tidak lagi dipraktikkan. Dewasa ini, pantun lazimnya hanya gunakan secara formal, contohnya sebagai pembuka majlis dan dalam kesusasteraan.
Ini mengakibatkan budaya berpantun semakin lama semakin dilupakan lalu terhakis daripada kehidupan bangsa kita. Malah, budaya berpantun kini dianggap kuno dan tidak lagi relevan kepada kehidupan di zaman ini.
Oleh kerana itulah, Shahril sejak sekian lama berusaha keras mendidik kanak-kanak sejak di peringkat tadika agar membiasakan diri semula dengan budaya berpantun. Harapannya, suatu hari nanti budaya warisan ini kembali mewarnai kehidupan, dan usaha tersebut telah membolehkannya menerima Anugerah Belia Harapan serta Anugerah Guru Bahasa Ibunda Tadika Cemerlang.
WARISAN BUKAN SEKADAR NOSTALGIA
Iltizam sama mendorong saya untuk memartabatkan tulisan Jawi bukan sahaja dalam konteks sastera dan agama seperti kelaziman, tetapi juga dalam penggunaan harian sebagaimana yang diamalkan pada zaman dahulu.
Masalah ini berpunca daripada tanggapan kita bahawa budaya seperti Jawi dan pantun hanya sekadar warisan dan khazanah bangsa. Oleh itu, kita menyifatkannya sebagai sesuatu yang sekadar untuk dipelajari tetapi bukan untuk diterap dalam kehidupan harian.
Perbuatan memisahkan warisan daripada budaya kontemporari ini hanya mencairkan kekayaan budaya kita. Secara perlahan-lahan kita akan terikut dengan arus perdana dunia sahaja dan meninggalkan segala yang menjadi jati diri hanya sebagai warisan yang dikaji di muzium dan arkib.
Sebaliknya, kita patut memahami bagaimana warisan kita sebenarnya sesuai sahaja untuk wujud dalam gaya hidup moden. Walaupun ramai yang merasakan seni pantun terlalu ketat kerana mempunyai banyak peraturan, ia sebenarnya masih relevan dan boleh digunakan pada masa kini dengan perbendaharaan kata yang terus berkembang.
Sepertimana budaya pantun boleh terus hidup, begitu juga tulisan Jawi yang masih boleh digunakan dalam konteks semasa. Malah, sistem ejaan Jawi lebih baharu disemak berbanding ejaan rumi, iaitu pada 1986 berbanding 1972.
Kita bukan mahu memelihara warisan hanya untuk mencetuskan perasaan nostalgia dari masa lalu. Budaya temurun bukan sekadar untuk diimbau semula sebagai kenangan, bagaikan artifak yang dipamerkan di muzium.
Sebaliknya, kehalusan seni dan tradisi budaya bangsa penting dalam kemajuan sesebuah masyarakat kerana kearifan budaya yang terpelihara merakam perjalanan hidup sesebuah bangsa selama ratusan tahun. Dengan memahami dan menghayati budaya sendiri, kita dapat menyesuaikan tindakan mengikut nilai dan keperluan masyarakat.
Jangan kita ukur kemajuan sesebuah masyarakat berdasarkan acuan dunia pertama tanpa melihat pada kepentingan diri kita.
Tak kenal maka tak cinta. Cinta pada bahasa dan budaya tidak akan lahir jika kita tidak berusaha mengenalinya. Malah, hari ini bahasa percakapan harian pun semakin berubah dengan campuran pelbagai unsur yang boleh merosakkan nilai dan keindahan bahasa.
Dalamilah bahasa dan budaya kita agar kita sendiri kekal relevan dalam masyarakat sendiri. Jika tidak, jangankan budaya kita terkubur dalam muzium, silap-silap kita sendiri juga hanya menjadi sejarah kerana runtuhnya bangsa sendiri. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











