Sejauh mana kebenaran perang genosid di Gaza berhenti?

Sejauh mana kebenaran perang genosid di Gaza berhenti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN gencatan senjata di Semenanjung Gaza pada Oktober tahun lalu merupakan satu langkah penting yang lama dinantikan rakyat Palestin.

Mereka berharap pengumuman itu menjadi penamat pembantaian genosid yang dilancarkan oleh rejim penjajah Zionis terhadap penduduk Gaza. Konflik ini meragut lebih daripada 100 nyawa tidak berdosa terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang awam pada setiap hari.

Ini tidak termasuk serangan bom menggila. Serangan itu memusnahkan segala aspek kehidupan di Semenanjung Gaza yang disekat Israel, sebuah wilayah yang sememangnya tenat sebelum genosid ini berlaku.

Perang genosid memburukkan lagi sekatan tersebut sehingga membawa pelanggaran undang-undang dan jenayah kemanusiaan, seperti memutuskan bekalan air kepada penduduk, menyekat rawatan perubatan serta makanan, menggunakan kebuluran sebagai alat perang yang keji, menyerbu hospital dan membunuh pesakit, melakukan tangkapan sewenang-wenangnya terhadap kanak-kanak dan wanita serta kes rogol di dalam penjara. Ini merupakan senarai panjang melibatkan pencabulan berat dan jenayah perang.

Gencatan senjata ini sepatutnya menjadi ruang yang dinanti-nantikan mangsa genosid di Gaza untuk memulihkan sebahagian daripada kehidupan normal mereka, berehat seketika daripada pembunuhan rawak setiap hari, merawat mangsa cedera, menjaga anak-anak yatim, mengembalikan kehidupan pendidikan untuk anak-anak mereka, membaiki khemah dan pulang ke runtuhan rumah serta tanah mereka yang dimusnahkan Israel.

PELAN DAMAI

Harapan ini dibina bersandarkan kepada pelan damai di Gaza, yang dikenali sebagai Pelan Komprehensif Presiden Donald J. Trump untuk Menamatkan Perang di Gaza.

Pelan tersebut menyatakan: “Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan ini, perang akan tamat serta-merta.”

 

GENCATAN senjata belum membawa keamanan sebenar kepada Gaza kerana pembunuhan, sekatan dan penderitaan rakyat Palestin masih berterusan. -AFP

 

JANJI TINGGAL JANJI

Antara perkara utama dalam pelan tersebut adalah pemulangan tawanan Israel, serta kata-kata “sebaik sahaja perjanjian ini dipersetujui, bantuan besar-besaran akan dihantar ke Semenanjung Gaza serta-merta.

“Sekurang-kurangnya, jumlah bantuan adalah selaras dengan apa yang termaktub dalam perjanjian 19 Januari 2025 mengenai bantuan kemanusiaan, termasuk pemulihan infrastruktur seperti air, elektrik, sanitasi, hospital serta kedai roti, selain memasukkan peralatan yang diperlukan untuk membersihkan runtuhan dan membuka jalan.”

Namun, yang berlaku di lapangan bertentangan pelan yang diraikan dan disokong oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa itu. Sebaik sahaja Israel mengambil semua tawanan, mereka menyambung semula pembantaian dan pembunuhan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dengan kadar yang semakin meningkat berlaku setiap hari.

Mereka juga tidak mematuhi komitmen untuk memasukkan bantuan kemanusiaan dan trak barangan dalam jumlah yang dipersetujui, sebaliknya jumlah masuk tidak melebihi satu per tiga.

Walaupun Israel membenarkan kemasukan bahan api dalam jumlah sangat sedikit untuk mengendalikan penjana elektrik di hospital dan beberapa kedai roti, namun mereka masih melarang beribu-ribu jenis barangan asas yang diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk daripada memasuki Gaza.

Perkara ini merumitkan lagi situasi kemanusiaan di wilayah tersebut. Bagi mendekatkan fakta ini kepada minda pembaca, antara barangan yang dilarang masuk ke Gaza termasuklah paku, skru, pemutar skru, bateri, pemetik api, kayu, kayu api yang diperlukan untuk memasak, simen, komputer, telefon bimbit, jam tangan, panel tenaga solar, minyak hitam kenderaan dan lain-lain.

Di samping itu, terdapat peluasan dan pencerobohan harian kawasan yang dikenali sebagai ‘Garisan Kuning’.

‘Garisan Kuning’ ialah garisan hipotesis yang merujuk sempadan kawasan di mana tentera Israel sepatutnya berundur di bawah perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani pada Oktober 2025.

Namun. Mereka bertindak sebaliknya. Tentera penjajah Zionis membunuh sesiapa sahaja yang cuba menghampiri rumah atau ladang mereka yang terletak di sebalik garisan ini.

Kawasan ini merangkumi 52 peratus daripada keluasan Gaza pada hari gencatan senjata diumumkan, namun hari ini telah meluas sehingga membentuk kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan keluasan Semenanjung Gaza.

Walaupun perjanjian tersebut menyatakan pengunduran secara berperingkat tentera penjajah dari kawasan kawalan tetapi yang berlaku di lapangan adalah sebaliknya.

Dalam erti kata lain, pihak penjajah kini mengurung 2.3 million manusia di dalam kawasan yang keluasannya kurang daripada 30 peratus daripada Semenanjung Gaza (kira-kira 100 kilometer persegi).

Kebanyakan mereka tinggal di dalam khemah kanvas usang, yang bertukar menjadi seperti ketuhar apabila musim panas dan menjadi kain buruk reput pada musim sejuk kerana tidak mampu menahan kesejukan mahupun air hujan.

Kembali kepada isu pembantaian harian, angka-angka ini jelas menunjukkan sehingga tarikh artikel ini ditulis, kira-kira 1,200 syuhada dibunuh Israel sejak gencatan senjata bermula.

Ini tidak termasuk ribuan mangsa yang cedera, yang menambah lagi angka lebih 130,000 mangsa yang cedera sejak bermulanya genosid.

Bayangkan kesan tragis apabila pesawat perang atau dron penjajah mengebom sebuah keluarga yang sedang berkumpul di bawah khemah daripada kain dan plastik usang atau penyasaran roket ke atas para pengiring jenazah atau seorang lelaki yang sedang dalam perjalanan pulang ke khemahnya membawa roti untuk anak-anaknya.

Penerusan sekatan, kemusnahan dan pembantaian ini adalah pengesahan kepada hakikat yang telah hilang atau sengaja dihilangkan daripada media dan berita antarabangsa iaitu genosid ini belum berhenti.

Sebaliknya, masih berterusan dengan segala kezaliman dan kekejaman seperti sebelum ini.

Gaza masih berdarah, manakala masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keamanan dan para perantara, gagal membawa keamanan walaupun untuk beberapa hari kepada penduduk yang terus dilanda musibah.

Penjajah Zionis terus mara dengan rancangan mereka untuk menghapuskan rakyat Palestin melalui genosid dan pembersihan etnik.

Tuntutan yang mendesak ketika ini adalah sangat besar dan kritikal.

Dunia perlu bangkit bersatu untuk mengembalikan nilai kemanusiaannya, membela nyawa anak-anak kecil yang gugur setiap hari dan menghentikan genosid yang sedang berterusan ini agar diamnya dunia tidak dianggap sebagai bersubahat dan mengambil bahagian dalam jenayah ini. –UTUSAN

DR. Sharif Abu Shammala ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN