KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) di Johor mengubah semula percaturan politik negeri itu dan memberi petunjuk undi Melayu mungkin sedang mengalami penyusunan baharu.
Keputusan tersebut seolah memberi gambaran yang era penyatuan semula undi Melayu sedang bermula selepas beberapa tahun menyaksikan sokongan kaum itu berpecah kepada beberapa aliran politik.
Dalam politik Malaysia, undi Melayu sentiasa menjadi faktor penting yang menentukan arah pemerintahan. Dengan jumlah mereka sebagai kelompok terbesar pengundi, sudah pastilah perubahan kecil dalam kecenderungan politik masyarakat Melayu mampu membawa kesan besar terhadap keputusan pilihan raya.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), landskap politik negara berubah dengan ketara. Sokongan Melayu tidak lagi tertumpu kepada satu wadah politik seperti sebelumnya, sebaliknya berpecah kepada beberapa parti dan gabungan. Keadaan itu menjadikan persaingan lebih terbuka tetapi pada masa sama menyumbang ketidaktentuan politik yang berlarutan.
Kemenangan BN di Johor menunjukkan apabila sokongan Melayu kembali bergerak dalam arah yang lebih tersusun, maka kita dapat melihat kesan amat besar terhadap keputusan pilihan raya.
BN memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) hanya meraih lapan kerusi.
Jumlah itu bukan sekadar mencatat kejayaan sebuah gabungan politik tetapi sudah pastinya membawa mesej sebahagian pengundi mungkin mula mencari kestabilan selepas melalui tempoh politik yang menyaksikan perubahan kerajaan, pertembungan banyak gabungan serta persaingan sengit antara parti Melayu.
Namun, kita tidak boleh melihat daripada satu sudut pandang dengan hanya mengaitkan tentang kebangkitan semula sokongan Melayu kepada satu arah politik atau hanya dipengaruhi faktor tempatan seperti kekuatan calon, isu negeri dan kelebihan jentera pilihan raya.
Dalam politik, pengundi membuat keputusan berdasarkan pelbagai pertimbangan. Mereka melihat prestasi kerajaan, kemampuan calon, isu setempat serta keyakinan terhadap pihak yang mampu membawa kestabilan. Oleh itu, kemenangan BN di Johor perlu dibaca sebagai satu isyarat perubahan kecenderungan, bukannya formula mutlak yang boleh diterapkan di semua negeri.
Bagaimanapun, satu perkembangan yang menarik ialah perubahan pendekatan dalam kalangan sebahagian pemimpin politik Melayu. Ramai mula berkata tentang wujudnya pertimbangan baharu dalam politik Melayu apabila Pas melalui Perikatan Nasional (PN) memberi ruang penyokongnya untuk mengalihkan sokongan kepada BN di kawasan yang tidak ditanding mereka.
Pun begitu, penyatuan sokongan tidak semestinya berlaku hanya kerana faktor identiti. Pengundi hari ini semakin bijak menilai kemampuan sesebuah parti dan pemimpin berdasarkan hasil kerja. Mereka mahu melihat siapa yang menyelesaikan masalah rakyat, siapa yang hadir ketika diperlukan dan siapa yang mampu membawa perubahan nyata.

TIADA TEMPAT UNTUK RETORIK LAMA
Atas sebab itu, politik yang terlalu bergantung kepada retorik lama semakin kurang berkesan. Rakyat letih dengan kempen yang hanya mengulang serangan terhadap lawan politik tanpa menawarkan gambaran jelas mengenai masa depan.
Sebagai kerajaan, PH berdepan cabaran untuk meyakinkan rakyat melalui pencapaian pentadbiran semasa. Pengundi mahu mendengar tentang dasar yang memberi kesan kepada kehidupan mereka, langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup, peluang ekonomi serta penambahbaikan perkhidmatan awam.
Naratif politik yang terus berpaut kepada isu lama seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin masih mempunyai nilai politik tetapi berdepan cabaran untuk menarik perhatian pengundi yang mahu melihat penyelesaian terhadap masalah semasa.
Dalam konteks PRN Negeri Sembilan yang sedang berlangsung, negeri itu menjadi medan penting untuk menguji sama ada corak sokongan seperti Johor mampu berulang.
Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri dari segi demografi, sejarah politik dan pengaruh masyarakat setempat. Justeru, keputusan di Johor tidak boleh dianggap sebagai petunjuk tunggal.
Selain faktor gabungan politik, kedudukan calon juga menjadi pertimbangan besar. Perkembangan berkaitan calon tertentu di ‘negeri beradat’ itu menunjukkan khidmat kepada masyarakat mampu merentasi sempadan parti dan kaum.
Ketika semua mata tertumpu PRN Negeri Sembilan, Pemimpin Kanan DAP, Tony Pua menghangatkan suasana dengan menyeru pengundi terus menyokong PH pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan mendakwa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi perdana menteri jika gabungan politik itu berjaya merampas pentadbiran kerajaan hari ini.
Beberapa hari sebelum itu, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kota Melaka mengkritik Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berhubung isu banjir kilat. Malangnya, sebahagian masyarakat Cina menolak kenyataan tersebut dengan mempertahankan rekod kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu yang dilihat aktif membantu penduduk kawasan secara konsisten.
Jelas, situasi tersebut menggambarkan pengundi semakin menilai calon berdasarkan prestasi dan hubungan dengan rakyat.
Inilah realiti politik baharu. Sokongan rakyat tidak lagi mudah dikategorikan berdasarkan kaum atau parti secara mutlak. Mereka boleh berubah apabila melihat prestasi, pendekatan dan kemampuan seseorang pemimpin memenuhi keperluan kawasan.
UJIAN DI NEGERI SEMBILAN
PRN Negeri Sembilan menjadi ujian sama ada gelombang Johor benar-benar mencerminkan perubahan lebih besar dalam politik Melayu atau sekadar fenomena setempat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan kerjasama antara PN dan BN bagi menghadapi PRN ini sebagai melangkaui nilai sebuah ‘perkahwinan’.
Jika penyatuan sokongan Melayu terus berlaku, akan mampu mengubah percaturan politik negara menjelang PRU akan datang.
Namun, perlu diingat yang mana kejayaan jangka panjang bukan hanya bergantung kepada kemampuan mengumpulkan undi tetapi keupayaan membina kepercayaan. Pengundi Melayu mungkin kembali mencari titik persamaan tetapi mereka tetap mahu diyakinkan melalui tindakan.
Bagi pengundi slogan kosong tidak lagi bernilai, apatah lagi retorik politik yang dianggap ‘basi’.
Johor menghantar satu isyarat. Kini Negeri Sembilan menjadi medan untuk menentukan sama ada isyarat itu benar-benar membawa perubahan atau hanya gelombang sementara dalam perjalanan panjang politik Malaysia.
Ini dapat dilihat jika BN berjaya menambah bilangan kerusi berbanding PRN lalu. Sebelum ini BN memperoleh 14 kerusi sementara PH (17) dan PN (5). -UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










