Mengapa Syed Saddiq dibebaskan?

Mengapa Syed Saddiq dibebaskan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya telah mengekalkan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 13 Julai lalu.

Keputusan ini bukan sahaja menamatkan prosiding jenayah yang mendapat perhatian seluruh negara, malah turut memberikan panduan penting tentang bagaimana mahkamah menilai kesalahan pecah amanah jenayah (CBT), salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Di sebalik liputan politik dan reaksi masyarakat, persoalan yang lebih penting ialah apakah sebenarnya yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Keputusan ini bukan sekadar membebaskan seorang ahli politik tetapi memperlihatkan bagaimana mahkamah meneliti setiap elemen sesuatu kesalahan sebelum seseorang boleh disabitkan.

PERJALANAN KES

Pertuduhan pertama melibatkan dakwaan Syed Saddiq bersubahat dalam kesalahan pecah amanah jenayah yang didakwa dilakukan oleh Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung pengeluaran RM1 juta daripada akaun rasmi Armada.

Pertuduhan kedua pula berkaitan dakwaan salah guna harta melibatkan RM120,000 yang disimpan dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE). Wang tersebut merupakan hasil kutipan daripada dua majlis kutipan dana bagi membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum dipindahkan ke akaun peribadinya.

Dua lagi pertuduhan adalah berkaitan pengubahan wang haram yang didakwa berpunca daripada transaksi RM120,000 tersebut.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mensabitkan beliau atas kesemua pertuduhan. Bagaimanapun, pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan beliau, mengetepikan sabitan dan hukuman serta membebaskannya. Rayuan terakhir Pendakwa Raya kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan melalui keputusan majoriti 2-1 pada 13 Julai, lalu.

Perbezaan keputusan antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Fungsi mahkamah rayuan adalah untuk menilai sama ada hakim perbicaraan telah mentafsir undang-undang dan menilai keterangan dengan betul.

Dalam kes ini, majoriti Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan pendekatan Mahkamah Rayuan.

 

MENGAPA PERTUDUHAN CBT TIDAK DIKEKALKAN?

Ramai beranggapan isu utama hanyalah sama ada RM1 juta telah dikeluarkan daripada akaun Armada. Sebenarnya, persoalan yang diputuskan oleh mahkamah ialah sama ada tindakan tersebut memenuhi elemen kesalahan pecah amanah jenayah.

Mahkamah Tinggi berpendapat pengeluaran RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu melanggar perlembagaan parti dan memenuhi elemen kesalahan tersebut.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengambil pendekatan berbeza. Mahkamah memutuskan perkataan ‘perbelanjaan’ dalam Perlembagaan Bersatu tidak boleh disamakan dengan ‘pengeluaran’ wang daripada akaun.

Mahkamah juga mendapati tiada peruntukan melarang pengeluaran wang melebihi had tertentu tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi. Oleh itu, sesuatu pengeluaran wang tidak semestinya merupakan suatu perbelanjaan.

Lebih penting, mahkamah menegaskan pengeluaran wang semata-mata bukanlah elemen yang membentuk kesalahan pecah amanah jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut mengambil kira keterangan wang tersebut kemudiannya diagihkan bagi tujuan program dan aktiviti Armada. Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan pengeluaran RM1 juta tersebut dilakukan secara tidak jujur atau merupakan penggunaan harta yang melanggar arahan undang-undang.

Memandangkan kesalahan utama gagal dibuktikan terhadap pelaku utama, maka pertuduhan bersubahat terhadap Syed Saddiq juga tidak dapat dikekalkan. Dapatan ini kemudiannya dipersetujui oleh majoriti Mahkamah Persekutuan.
SIAPAKAH PEMILIK WANG RM120,000?

Bagi pertuduhan kedua, isu utama bukanlah pemindahan RM120,000 ke akaun peribadi tetapi sama ada wang tersebut merupakan harta milik ‘orang lain’, iaitu salah satu elemen penting bagi kesalahan salah guna harta.

Mahkamah Rayuan mendapati Mahkamah Tinggi sendiri telah memutuskan wang itu merupakan hasil kutipan daripada dua majlis makan malam yang diadakan khusus bagi membiayai kempen PRU14 Syed Saddiq.

Berdasarkan dapatan tersebut, Mahkamah Rayuan berpendapat wang berkenaan dikutip khusus bagi tujuan kempen pilihan raya dan bukannya sebagai harta milik ABBE.

Mahkamah juga mendapati tiada bukti wang itu menjadi milik ABBE hanya kerana ia dimasukkan ke dalam akaun syarikat tersebut. Akaun ABBE hanyalah medium untuk menerima sumbangan.

Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan RM120,000 itu merupakan harta milik ‘orang lain’, menyebabkan satu elemen penting kesalahan tersebut tidak berjaya dibuktikan. Dapatan ini turut dipersetujui oleh Mahkamah Persekutuan.

 

PEMBEBASAN Syed Saddiq dalam tuduhan rasuah dan pengubahan wang menunjukkan setiap elemen kesalahan mesti dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

PENANGGUHAN KEPUTUSAN DAN IMPLIKASINYA

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada asalnya dijadualkan disampaikan pada 30 Jun 2026 tetapi ditangguhkan kerana salah seorang hakim panel berada dalam cuti sakit.

Penangguhan seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Yang penting ialah alasan penghakiman kerana akan menjadi rujukan kepada mahkamah, pendakwa raya, peguam dan penyiasat dalam kes-kes yang mempunyai isu serupa.

Keputusan ini tidak mengubah prinsip undang-undang berkaitan pecah amanah jenayah atau salah guna harta.

Sebaliknya, menegaskan setiap elemen sesuatu kesalahan hendaklah dibuktikan secara berasingan berdasarkan keterangan yang dikemukakan.

Bagi kesalahan pecah amanah jenayah, pengeluaran wang semata-mata tidak mencukupi. Mahkamah tetap perlu meneliti sama ada wujud unsur ketidakjujuran dan sama ada perbuatan tersebut memenuhi elemen yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Kes ini turut menunjukkan dalam pendakwaan jenayah komersial, mahkamah akan meneliti setiap elemen undang-undang secara berasingan sebelum memutuskan sama ada sesuatu pertuduhan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Apa jua pandangan masyarakat terhadap keputusan ini, prinsip asas sistem keadilan jenayah kekal tidak berubah, iaitu seseorang hanya boleh disabitkan apabila setiap elemen kesalahan berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan melampaui keraguan munasabah.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Peguam di Law Chambers of Zander Lim, Peguam Jenayah Komersial dan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN