Mengapa selesa dengan cawan sama?

Mengapa selesa dengan cawan sama?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kecil, saya ada satu tabiat yang mungkin dianggap aneh oleh sesetengah orang. Saya suka menggunakan pinggan atau kole yang sama untuk makan minum.

Bukan kerana pinggan itu diperbuat daripada porselin mahal atau cawan itu edisi terhad. Sebaliknya, kedua-duanya hanyalah pinggan dan mug biasa yang murah, malah boleh dibeli di mana-mana kedai serbaneka.

Namun, kedua-duanya ialah milik saya. Saya lebih selesa apabila orang lain tidak menggunakannya.

Ada orang mentafsir tabiat ini sebagai tanda saya tidak suka berkongsi. Ada pula yang menganggap saya cerewet atau sombong. Mujurlah ahli keluarga memahami.

Mereka tahu, saya tidak kisah berkongsi makanan, minuman, masa, tenaga atau buku tetapi saya lebih gemar jika pinggan dan cawan yang saya gunakan kekal sebagai milik peribadi.

Lama-kelamaan, saya mula tertanya-tanya, mengapa saya bersikap begitu? Adakah tabiat ini sekadar kebiasaan sejak kecil atau sebenarnya ada penjelasan daripada sudut psikologi dan sains tingkah laku?

Saya berpeluang membaca satu rencana di The Economic Times (18 Julai 2026) mengenai sebab ramai orang cenderung menggunakan mug yang sama setiap hari.

Rencana itu menghimpunkan beberapa penjelasan psikologi yang menarik, termasuk konsep kesan pemilikan dan lesu keputusan.

Konsep kesan pemilikan bukanlah sesuatu yang baharu. Ia diperkenalkan secara sistematik oleh Dr. Daniel Kahneman, Dr. Jack L. Knetsch dan Dr. Richard H. Thaler menerusi artikel kajian saintifik di Journal of Political Economy (Disember 1990).

Dalam eksperimen terkenal mereka, sekumpulan peserta diberikan cawan kopi. Selepas beberapa minit sahaja memiliki cawan itu, majoriti peserta enggan menjualnya kecuali pada harga jauh lebih tinggi berbanding jumlah yang sanggup dibayar oleh peserta yang belum memiliki cawan berkenaan.

Fenomena ini sangat menarik. Nilai sebenar cawan tidak berubah. Apa yang berubah hanyalah status pemilikan. Sebaik sesuatu objek menjadi ‘saya punya’, otak mula memberikan nilai emosi lebih tinggi.

Kita sering menyangka, kita membuat keputusan secara rasional. Hakikatnya, banyak keputusan dipengaruhi cara otak mentafsir untung dan rugi.

Kehilangan sesuatu yang sudah dimiliki terasa lebih menyakitkan berbanding kegembiraan memperoleh benda sama.

 

TABIAT KECIL seperti menggunakan cawan atau pinggan yang sama sebenarnya berkait rapat dengan psikologi, emosi dan rutin harian seseorang.

RUTIN KECIL, KESAN BESAR KEPADA MINDA

Patutlah apabila saya memandang pinggan dan kole sendiri, saya tidak melihat sekadar dua objek plastik atau seramik. Otak saya melihatnya sebagai sebahagian daripada rutin harian yang sudah lama terbina. Nilainya bukan pada harga tetapi pada rasa ‘saya punya’.

Satu lagi konsep yang mungkin membantu menjelaskan tabiat saya ialah lesu keputusan. Dalam kehidupan harian, kita membuat puluhan keputusan setiap masa. Misalnya memilih pakaian, makanan, laluan ke tempat kerja, malah membalas e-mel dan mesej WhatsApp.

Setiap keputusan menggunakan tenaga mental. Apabila tenaga itu semakin berkurangan maka menyebabkan kualiti keputusan juga cenderung merosot.

Itulah sebabnya ramai individu seperti saya mahu mengurangkan bilangan keputusan remeh dalam kehidupan harian. Ada orang memakai pakaian dengan warna hampir sama setiap hari. Ada orang makan sarapan hampir sama setiap pagi. Ada orang duduk di kerusi sama di pejabat.

Saya selesa memilih laluan sama setiap kali ke suatu destinasi. Begitu jugalah saya memilih untuk menggunakan pinggan dan cawan yang sama.

Bagi sesetengah orang, perbuatan atau tabiat ini kelihatan membosankan. Dari sudut psikologi, ia sebenarnya satu bentuk penjimatan tenaga kognitif. Otak tidak perlu membuat keputusan baharu setiap kali hendak makan atau minum.

Pilihan sudah tersedia. Maka, lebih banyak tenaga mental boleh digunakan untuk perkara yang benar-benar memerlukan pertimbangan, seperti menulis, membaca, merangka karya atau menyelesaikan masalah.

Neurosains atau sains saraf juga menunjukkan, otak sangat menyukai rutin. Apabila sesuatu perlakuan diulang berkali-kali dalam konteks serupa, ganglia basal dalam otak yang berfungsi mengawal pergerakan akan mengautomasikan perlakuan itu.

Maka, rutin menjadi semakin mudah dilakukan tanpa memerlukan perhatian dan kesedaran tinggi. Inilah sebabnya kita boleh memandu pulang ke rumah melalui laluan biasa sambil berbual atau secara spontan mencapai cawan kegemaran tanpa berfikir panjang.

Dalam konteks ini, pinggan dan mug saya bukan lagi sekadar perkakas. Kedua-duanya sudah menjadi sebahagian daripada rutin yang memberikan rasa stabil, teratur dan boleh dijangka dalam minda bawah sedar.

Tentulah secara logik akal, semua pinggan dan cawan mempunyai fungsi sama. Namun begitu, manusia bukan makhluk logik semata-mata. Kita juga makhluk emosi, memori dan simbol.

Misalnya, sebatang pensel biasa boleh menjadi amat berharga jika pernah dihadiahkan oleh seseorang yang kita sayangi. Sebuah perabot lama mungkin tidak ada nilai pasaran, namun tetap sukar dibuang kerana menyimpan seribu kenangan.

Begitulah juga dengan pinggan dan cawan. Saya tidak mengatakan semua orang perlu ada pinggan atau cawan sendiri. Sebaliknya, pengalaman peribadi ini menyedarkan saya, setiap manusia memiliki ritual dan tabiat yang mungkin kelihatan remeh tetapi memainkan peranan penting dalam kesejahteraan psikologi mereka.

Mungkin seseorang berasa tenang apabila menggunakan bantal sama setiap malam. Mungkin ada orang tidak boleh menulis tanpa pen tertentu. Mungkin ada orang hanya mampu menghasilkan secawan kopi yang memenuhi selera menggunakan mug kegemaran.

Kini, apabila saya mencapai pinggan dan cawan yang sama setiap hari, saya tidak lagi menganggapnya sebagai satu keanehan. Saya melihatnya sebagai pertemuan antara pengalaman hidup, psikologi tingkah laku dan cara otak manusia berfungsi.

Selagi sesuatu tabiat, amalan, budaya atau ritual tidak memudaratkan diri sendiri dan orang lain, saya percaya, tidak salah untuk kita meraikan keanehan itu sebagai sebahagian daripada identiti dan jati diri individu terbabit. –UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN