Malaysia perlukan pelaburan berkualiti

Malaysia perlukan pelaburan berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur pada awal 1980-an, hubungan Malaysia-Jepun berkembang jauh melangkaui perdagangan dan pelaburan. Kerjasama ini turut merangkumi pemindahan teknologi, pembangunan modal insan, peningkatan produktiviti serta pembentukan budaya kerja yang menyokong proses perindustrian negara.

Sehubungan itu, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun pada 8 Jun lalu sekali lagi membuktikan kepentingan hubungan strategik antara kedua-dua negara. 

Selain mengukuhkan hubungan diplomatik, lawatan tersebut membuka ruang kepada kerjasama baharu dalam pelbagai sektor termasuk teknologi, kewangan, keselamatan maritim dan keterjaminan tenaga.

Dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar, usaha menarik pelaburan asing kekal menjadi keutamaan kerajaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan. 

Namun, kejayaan lawatan tersebut tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah pelaburan atau nilai memorandum kerjasama yang ditandatangani.

Apa yang lebih penting ialah kualiti pelaburan yang dibawa masuk dan sejauh mana pelaburan tersebut mampu menyumbang kepada transformasi struktur ekonomi negara. 

Dalam era yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan gangguan rantaian bekalan global, Malaysia memerlukan pelaburan yang bukan sahaja menjana pertumbuhan jangka pendek tetapi juga memperkukuh daya tahan ekonomi untuk masa hadapan.

Selama ini, kejayaan menarik pelaburan langsung asing (FDI) sering diukur berdasarkan jumlah nilai yang diluluskan. Namun, persekitaran ekonomi yang semakin kompleks menunjukkan ukuran tersebut tidak lagi mencukupi kerana tidak semua pelaburan memberikan manfaat yang sama.

Sebahagian pelaburan hanya memanfaatkan kos buruh yang rendah tanpa menghasilkan kesan limpahan yang besar kepada ekonomi tempatan. Sebaliknya, pelaburan berkualiti mampu membawa teknologi baharu, meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat tempatan serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Seiring dengan itu, Pertubuhan bagi Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) menyatakan manfaat FDI perlu dinilai berdasarkan sumbangannya kepada inovasi, pembangunan kemahiran dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Bagi Malaysia yang sedang bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi, keperluan menarik FDI berkualiti menjadi semakin penting. Negara memerlukan pelaburan yang mampu menyokong ekonomi berasaskan produktiviti dan nilai tambah tinggi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan yang setara dengan kelayakan serta kemahiran graduan tempatan.

Pengalaman ketika pandemik Covid-19, gangguan rantaian bekalan global dan persaingan teknologi antara kuasa besar dunia turut membuktikan daya tahan ekonomi tidak hanya bergantung kepada saiz ekonomi. Sebaliknya, kekuatan sesebuah negara ditentukan oleh keupayaannya membangunkan teknologi, mempelbagaikan industri dan meningkatkan produktiviti domestik.

Justeru, dasar pelaburan negara perlu memberi tumpuan kepada nilai yang dibawa oleh pelaburan, bukan sekadar jumlahnya. Penilaian kejayaan FDI perlu mengambil kira aspek pemindahan teknologi, pembangunan modal insan, pengukuhan rantaian bekalan tempatan, peningkatan produktiviti dan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

KERJASAMA Malaysia-Jepun perlu dimanfaatkan untuk menarik pelaburan berkualiti dalam membina ekonomi negara yang lebih kukuh.

JEPUN RAKAN STRATEGIK MALAYSIA

Jepun merupakan antara rakan ekonomi terpenting Malaysia sejak Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan. Selain membawa masuk pelaburan, kerjasama ini membantu membangunkan modal insan, memperkukuh asas perindustrian serta meningkatkan keupayaan teknologi negara.

Jika kerjasama pada era 1980-an menyokong pembangunan sektor pembuatan, hubungan yang sama kini berpotensi mempercepat transformasi Malaysia ke arah ekonomi digital, ekonomi hijau dan industri berteknologi tinggi.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jepun merupakan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia pada suku pertama 2026 dengan pelaburan diluluskan bernilai RM21.5 bilion. Nilai stok FDI Jepun di Malaysia pula melebihi RM100 bilion.

Lebih penting, sebahagian besar pelaburan tersebut tertumpu kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, automasi, kecerdasan buatan dan teknologi hijau. Sektor-sektor ini mampu meningkatkan produktiviti, memperkukuh keupayaan teknologi domestik dan menyediakan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

FDI dari Jepun turut membantu memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran dan akses kepada rantaian nilai global. 

Pada masa sama, pelaburan berkualiti menyumbang kepada kepelbagaian struktur ekonomi negara.

Pengalaman lalu menunjukkan negara akan lebih terdedah kepada risiko apabila terlalu bergantung kepada sektor atau pasaran tertentu. Sebaliknya, ekonomi yang mempunyai asas industri yang pelbagai, rantaian bekalan yang kukuh dan kapasiti inovasi yang tinggi lebih mudah menyesuaikan diri ketika berdepan kejutan ekonomi.

Selain itu, FDI berkualiti mampu meningkatkan daya saing syarikat tempatan melalui pembangunan vendor, perkongsian teknologi dan pemindahan pengetahuan. 

Kesan limpahan ini memberi manfaat yang jauh lebih besar berbanding peningkatan output ekonomi semata-mata.

Dalam hal ini, Jepun mempunyai kelebihan kerana pelaburannya lazim disertai pembangunan modal insan, pengukuhan rantaian bekalan tempatan dan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan industri negara penerima.

SELARI SDG, EKONOMI MADANI

Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik, FDI berkualiti bukan sahaja penting untuk merangsang pertumbuhan tetapi juga memperkukuh pembangunan jangka panjang negara.

Pada masa sama, pelaburan perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar. Manfaat pembangunan juga perlu dinikmati oleh seramai mungkin rakyat agar tiada golongan yang tercicir.

Pendekatan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan aspirasi Ekonomi Madani yang menekankan pertumbuhan inklusif, inovatif dan mampan. Pelaburan dalam sektor semikonduktor, automasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau bukan sahaja menyokong transformasi ekonomi negara, malah membantu Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai global.

Hubungan ekonomi Malaysia-Jepun menawarkan peluang besar untuk mempercepat agenda transformasi negara. 

Kejayaan lawatan Perdana Menteri ke Jepun perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan jumlah pelaburan yang diumumkan tetapi sejauh mana pelaburan tersebut mampu meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh daya saing dan membina ekonomi Malaysia yang lebih inklusif, mampan serta berdaya tahan pada masa hadapan.

DR. Zalina Zainal ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN