BN tidak gentar ugutan, yakin rakyat pilih kestabilan

BN tidak gentar ugutan, yakin rakyat pilih kestabilan

NAIM KURNIAWAN MOKTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUHU politik semakin memuncak apabila kenyataan berbaur ugutan dan percaturan persepsi mula menguasai pentas politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang memberi bayangan akan melepaskan jawatan menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan, di samping tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengumumkan keluar parti, dilihat sebagai usaha membentuk persepsi BN sedang berdepan krisis keyakinan menjelang hari pengundian.

Bagi Bendahari Pemuda UMNO, DATUK NAIM KURNIAWAN MOKTAR, ugutan politik dan tindakan individu meninggalkan parti bukan ukuran kekuatan sebenar BN.

Sebaliknya, dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan HAFIZ SAIDINA, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menegaskan kekuatan parti terletak pada kesatuan jentera, komitmen akar umbi serta keyakinan rakyat terhadap keupayaan BN mentadbir Johor dengan stabil.

 

UTUSAN: Bagaimana Datuk melihat landskap PRN Johor kali ini? BN masih mempunyai kelebihan untuk mempertahankan pentadbiran negeri?

NAIM KURNIAWAN: Alhamdulillah, saya sempat ke Johor dalam siri kempen BN baru-baru ini dan sambutan daripada anak muda begitu menggalakkan. Saya sangat berharap anak-anak muda yang ada di luar Johor pulang menunaikan tanggungjawab dan memilih sebuah kerajaan yang mampu membawa negeri tersebut ke satu tahap lebih memberangsangkan.

 

Adakah pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN) membuka ruang kepada BN untuk meraih sokongan pengundi yang sebelum ini memihak kepada gabungan tersebut kerana berpotensi pecah undi?

Sudah semestinya. Saya melihat rakyat hari ini lebih matang dalam menilai kebijaksanaan pemimpin dan keupayaan sesebuah parti untuk menerajui kerajaan negeri Johor.

Bagi mereka, soal parti yang memerintah bukan lagi pertimbangan utama. Sebaliknya, sebaik sahaja pilihan raya selesai, rakyat dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik hasil daripada pentadbiran yang stabil, berkesan dan berpandangan jauh sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

Itulah harapan masyarakat apabila mereka membuat pilihan di peti undi.

 

Pemimpin Pas mengarahkan ahlinya memberikan sokongan kepada BN dalam PRN Johor kali ini. Adakah ia memberi isyarat hubungan kedua-dua parti semakin kukuh dan membuka ruang kerjasama politik yang lebih erat pada masa hadapan?

Kurang lebih begitulah dengan ada sokongan daripada parti-parti lain dan penyokong parti lain sudah semestinya memberi tambah nilai kepada calon-calon BN yang bertanding tidak kira di manapun asalkan sokongan itu datang dengan kejujuran dan keikhlasan. Insya-Allah boleh membuahkan hasil dan kemenangan.

Kemungkinan kerjasama itu memang wujud kerana pernah terjalin beberapa tahun lalu tetapi tidak mampu bertahan lama.

Justeru, apa juga bentuk kerjasama politik yang ingin dibina selepas ini perlulah berasaskan keikhlasan dan komitmen yang sebenar, bukannya sekadar memenuhi keperluan jangka pendek.

Yang lebih penting, kerjasama itu mesti mampu menjamin kestabilan kerajaan dalam jangka panjang. Rakyat sudah muak dengan pergolakan politik yang berpanjangan kerana akhirnya menjejaskan pentadbiran dan pembangunan negara.

Malaysia, termasuk Johor, memerlukan sebuah kerajaan yang stabil supaya segala dasar dan perancangan dapat dilaksanakan secara konsisten demi kesejahteraan rakyat.

 

Mewakili Pemuda UMNO, Datuk setuju dengan kerjasama dengan Pas?

Apa-apa bentuk kerjasama politik sememangnya dialu-alukan, asalkan matlamat utamanya tetap sama, iaitu membela rakyat. Fokus kerajaan dan parti politik seharusnya tertumpu kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuh ekonomi serta menambah baik sektor-sektor yang masih berdepan pelbagai kelemahan dan cabaran.

Mengenai peluang BN di Johor, saya melihat prospeknya amat cerah. Malah, pada pandangan peribadi, BN Johor bukan sahaja berpeluang mengekalkan kemenangan, malah berpotensi menambah jumlah kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini.

 

Bagaimana pula Datuk melihat apabila Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengugut meletak jawatan sekiranya BN menang dalam PRN Johor serta Datuk Seri Najib Razak dibebaskan?

Saya melihatnya lebih sebagai satu strategi politik untuk memberi tekanan atau menimbulkan persepsi. Dalam bahasa mudah, ia sekadar ‘gertak’.

Jika benar ada hasrat untuk menarik sokongan, tidak perlu diuar-uarkan di media. Buat sahajalah.

Dan jika perkara itu terjadi, maka kerajaan benar-benar kehilangan sokongan majoriti, jadi mandat perlu dikembalikan kepada rakyat. Biarlah rakyat sendiri menentukan kerajaan yang layak memimpin negara bagi tempoh lima tahun akan datang melalui proses demokrasi.

 

Tapi tindakan itu boleh memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan, sedangkan tempoh pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi?

Saya yakin perdana menteri dan kedua-dua timbalan perdana menteri ketika ini lebih memberi fokus kepada usaha memastikan kebajikan dan kehidupan rakyat terus terbela.

Kerajaan juga masih mempunyai tempoh kira-kira dua tahun lagi sebelum tamat penggal, manakala ekonomi dunia masih berada dalam keadaan yang tidak menentu. Saya tidak melihat sebarang keperluan untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat sehingga keadaan ekonomi kembali lebih stabil.

 

Adakah tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengumumkan keluar parti memberi kesan kepada BN?

Biarlah itu kekal sebagai pandangan peribadi beliau yang pastinya dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.

Sama ada beliau kekal atau tidak bersama UMNO, saya yakin faktor yang benar-benar menentukan kemenangan BN di Johor ialah kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi.

Merekalah yang bekerja di lapangan, mendekati rakyat dan memberikan impak besar terhadap prestasi BN.

Sama ada seseorang itu pemimpin, ahli parti mahupun rakyat biasa, setiap individu hanya mempunyai satu undi.

Seperti kata pepatah, ‘patah tumbuh, hilang berganti.’ Kita dapat lihat kekuatan sesebuah parti tidak bergantung kepada seorang individu, sebaliknya pada kesatuan dan komitmen seluruh jentera serta ahlinya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN