PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara bakal beraksi di Piala Raja Thai tanpa khidmat tekong utama, Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang masih dalam fasa pemulihan kecederaan.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, tekong kelahiran Pulau Pinang itu kini sedang menjalani rawatan fisioterapi dan dijangka memerlukan tempoh pemulihan panjang sebelum kembali menyertai latihan bersama pasukan.
“Alhamdulillah, untuk keadaan Shahir ketika ini dia sedang menjalani rawatan fisioterapi untuk proses pemulihan kecederaan.
“Ia mengambil masa lebih kurang enam hingga lapan minggu sebelum dia boleh kembali berlatih bersama pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, keputusan tidak menyenaraikan Syahir bagi saingan Piala Raja Thai dibuat bagi memberi ruang kepada pemain muda mendapatkan pengalaman beraksi di pentas dunia.
“Untuk Piala Raja Thai kita akan beri tugasan kepada pemain-pemain muda untuk beraksi. Kita mahu lihat sejauh mana mereka mampu memberi impak kepada pasukan negara,” jelasnya.
Mengulas mengenai peluang Syahir ke Sukan Asia di Aichi-Nagoya pada September ini, Ahmad Jais berkata, pemilihan akan bergantung kepada tahap kecergasan pemain itu menjelang fasa akhir latihan pada Ogos nanti.
“Sekiranya Syahir tidak cukup cergas atau tidak bersedia sepenuhnya untuk Sukan Asia, kita sedang menilai kemampuan tekong-tekong lain untuk menggalas cabaran. Kita juga akan lihat prestasi pemain muda di Piala Raja Thai nanti,” jelasnya. – UTUSAN










