Buktikan di mana hak Melayu digadai?

Buktikan di mana hak Melayu digadai?

OMAR MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA parti-parti Melayu terus berlumba mendakwa diri sebagai pembela utama bangsa, namun adakah mereka benar-benar menterjemahannya kepada hasil yang memberi manfaat kepada orang Melayu dalam perkara berkaitan tanah rizab Melayu, pemilikan aset, peluang ekonomi, pendidikan dan peningkatan taraf hidup?

Perkara ini menurut Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Angkatan Muda Harapan (AMH), OMAR MOKHTAR, masih menjadi cabaran utama yang menuntut penyelesaian konkrit.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau memberitahu dalam suasana politik yang semakin berpecah, perdebatan mengenai siapa lebih Melayu atau siapa lebih berhak mewakili orang Melayu semakin kurang relevan jika gagal menghasilkan perubahan nyata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerana itu, dalam temubual yang turut disertai jurufoto, AMIR KHALID, Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri itu juga mahu Melayu menilai sama ada masih mahu terus terperangkap dalam persaingan identiti atau berani beralih kepada agenda yang benar-benar mampu mengangkat maruah, kedudukan dan masa hadapan bangsa itu secara lebih bermakna.


UTUSAN MALAYSIA: Penilaian terhadap kerajaan hari ini?

OMAR: Jika dilihat dari sudut Pakatan Harapan (PH), perjalanan dalam kerajaan sebenarnya proses menyesuaikan idealisme perjuangan dengan realiti pentadbiran negara.

Ketika menjadi pembangkang dahulu, banyak isu kami bangkitkan termasuk berkaitan kos sara hidup, tadbir urus dan pelbagai dasar kerajaan. Namun apabila berada dalam kerajaan, kami perlu berdepan realiti Kerajaan Perpaduan terdiri daripada gabungan pelbagai parti yang mempunyai pandangan dan keutamaan berbeza.

Bagi PH, tiga tahun kebelakangan ini merupakan tempoh penyesuaian daripada sebuah gabungan pembangkang kepada sebuah kerajaan. Jika dahulu tugas kami mengkritik, mendesak dan mengemukakan cadangan, hari ini kami yang perlu melaksanakan dasar serta membuat keputusan. Oleh itu, setiap langkah perlu dibuat dengan lebih teliti dan bertanggungjawab.

Saya melihat Malaysia kini berada dalam era politik pasca-dominan, iaitu tiada lagi satu parti yang mampu mendominasi politik secara bersendirian seperti dahulu. Sebaliknya, kerajaan perlu dibentuk melalui kerjasama dan persefahaman antara pelbagai parti politik.

Alhamdulillah, PH kini semakin memahami peranan sebagai kerajaan dan semakin berani membuat keputusan sukar tetapi perlu. Antaranya ialah pelaksanaan subsidi bersasar yang sebelum ini diakui perlu dilakukan banyak pihak, namun tidak dilaksanakan kerana bimbang kesan politiknya.

Keputusan seperti penyasaran subsidi memerlukan keberanian politik kerana bukan sahaja melibatkan kedudukan kewangan negara tetapi juga isu ketirisan, penyeludupan dan keberkesanan bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Walaupun keputusan sebegini tidak popular tetapi perlu dilakukan demi kepentingan jangka panjang negara.

Inilah perbezaan antara idealisme dan realiti pentadbiran. Dalam kerajaan, kita bukan sekadar bercakap tentang perubahan tetapi perlu mempunyai keberanian melaksanakannya. Itulah cabaran yang sedang dilalui PH hari ini.

Cabaran kedepan?

Untuk mengetengahkan dengan lebih jelas perbezaan antara politik identiti dan berasaskan prestasi. Rakyat akan menilai bukan sekadar siapa yang bercakap paling lantang tetapi siapa yang mampu mentadbir dan menyelesaikan masalah.

Pandangan tentang prestasi kerajaan hari ini semakin merosot, khususnya apabila timbul isu berkaitan kos sara hidup dan subsidi bersasar?

Saya tidak mahu terlalu defensif dalam perkara ini tetapi perlu melihat realiti yang sedang berlaku di peringkat global dan bagaimana ia memberi kesan kepada Malaysia.

Kadangkala perbincangan mengenai konflik antarabangsa, rantaian bekalan atau keselamatan tenaga sukar difahami rakyat di peringkat akar umbi kerana mereka tidak merasai kesannya secara langsung dalam kehidupan harian.

Apa yang mereka lihat ialah harga barang, kos hidup dan keadaan ekonomi semasa. Sebab itu apabila penjelasan kerajaan tidak sampai kepada rakyat, mereka akan mudah berasa kecewa dan marah.

Pada masa sama, jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di rantau ini, Malaysia masih mampu mengekalkan kestabilan tertentu dari segi harga bahan api, tenaga dan ekonomi. Namun saya faham rakyat tidak mahu sekadar mendengar perbandingan dengan negara lain. Mereka mahu melihat kesan langsung kepada kehidupan.

 

Bagaimana pula bila ramai melihat kerajaan berdepan defisit kepercayaan?

Saya tidak melihat situasi ini sebagai defisit kepercayaan rakyat semata-mata. Pada pandangan saya, ia lebih berkait dengan keletihan politik yang dialami rakyat sejak 2018, termasuk pertukaran kerajaan, ketidaktentuan politik dan pelbagai krisis yang berlaku. Akibatnya, sebahagian rakyat semakin skeptikal terhadap ahli politik dan mempersoalkan sama ada mereka benar-benar bekerja untuk rakyat atau sekadar mengejar kuasa.

Sebab itu tugas kerajaan hari ini bukan sahaja melaksanakan dasar yang baik tetapi juga membina semula keyakinan rakyat melalui prestasi, ketelusan dan hasil yang dapat dirasai secara nyata dalam kehidupan seharian mereka.

Jika dahulu kita melihat pembangunan besar-besaran yang digerakkan pemimpin terdahulu, hari ini cabarannya ialah bagaimana kerajaan membawa agenda baharu seperti transformasi tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan pembaharuan ekonomi yang mampu menjamin masa hadapan negara.

 

Kerajaan juga berdepan persepsi ‘berkiblatkan’ DAP?

Saya akui masih wujud persepsi PH didominasi DAP sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat Melayu. Naratif ini sebenarnya bukan perkara baharu. Sejak zaman Barisan Alternatif, kemudian Pakatan Rakyat (PR) dan seterusnya PH, tuduhan yang sama sentiasa digunakan untuk melemahkan gabungan ini.

Namun jika benar DAP menguasai segala-galanya dalam kerajaan, sudah tentu banyak perkara tidak akan dapat diputuskan secara bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

Hakikatnya, kerajaan hari ini dibentuk melalui rundingan dan persefahaman antara pelbagai parti yang mempunyai latar belakang serta pandangan berbeza.

Malah, jika dilihat dari sudut dasar, terdapat pelbagai keputusan yang memberi manfaat kepada institusi Islam, pendidikan agama dan kebajikan rakyat yang terus diperkukuh di bawah kerajaan sedia ada. Ini menunjukkan realiti pentadbiran jauh lebih kompleks daripada persepsi politik yang sering dimainkan.

Kemungkinan apa yang dikatakan tidak berlaku disebabkan negara kita berpegang pada Perlembagaan, komen?

Ayat mudah begitulah. Mereka dakwa DAP menguasai PH sehingga mampu menentukan segala dasar kerajaan tidak berasaskan realiti.

Kita perlu melihat fakta. DAP mentadbir Pulau Pinang selama beberapa penggal tetapi struktur asas pentadbiran negeri, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan tidak pernah berubah.

Begitu juga di negeri-negeri lain seperti Perak dan Negeri Sembilan yang mempunyai ramai wakil rakyat DAP dalam kerajaan negeri. Tidak berlaku seperti yang sering digambarkan oleh pihak tertentu.

Hakikatnya, jika benar DAP membawa agenda yang bertentangan dengan Perlembagaan atau kepentingan Islam, sudah tentu perkara itu telah lama diambil tindakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.

Malaysia pernah diperintah oleh UMNO dan Perikatan Nasional (PN), namun DAP kekal sebagai parti politik yang sah kerana bergerak dalam kerangka demokrasi dan undang-undang negara.

PH pula sejak dahulu dibentuk atas semangat kerjasama pelbagai kaum. Dari zaman BN, PR hingga PH, prinsipnya tetap sama iaitu mewakili realiti masyarakat Malaysia yang majmuk. Konsep ini sebenarnya tidak jauh berbeza daripada pendekatan yang pernah dibawa gabungan politik lain yang turut menghimpunkan pelbagai kaum dan latar belakang.

Sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, penambahan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur hampir tidak berlaku. Dalam banyak keadaan, keluasan tanah rizab Melayu lebih banyak berdepan penggantian atau penyusutan berbanding penambahan.

Namun di bawah kerajaan hari ini, kita berjaya merekodkan penambahan kira-kira 50 ekar tanah rizab Melayu di kawasan bandar yang mempunyai nilai strategik dan ekonomi tinggi. Ini merupakan satu pencapaian yang wajar diberi perhatian kerana melibatkan jaminan pemilikan aset untuk generasi Melayu pada masa hadapan.

Sebab itu saya berpandangan kejayaan seperti ini perlu diketengahkan. Selama ini ramai pihak menggunakan isu Melayu dan kaum sebagai modal politik untuk meraih sokongan tetapi apabila diberi peluang memerintah, tidak banyak perubahan yang dapat ditunjukkan dalam aspek yang benar-benar menyentuh kepentingan masyarakat Melayu.

Sebagai orang Melayu, kita tentu lebih berbangga melihat kedudukan tanah rizab Melayu di kawasan strategik bandar terus diperkukuhkan kerana itulah antara jaminan masa hadapan yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

Adakah apa yang dilakukan semata-mata untuk dapatkan sokongan Melayu kerana umum mengetahui majoriti pengundi PH bukan orang Melayu?

Saya fikir itu tidak tepat. PH tidak bermula sebagai parti bandar atau parti bukan Melayu. Pada pilihan raya 1999, banyak kerusi yang dimenangi berada di kawasan majoriti Melayu seperti Kemaman, Permatang Pauh dan Penanti. Sokongan orang Melayu kepada gerakan reformasi ketika itu sangat kuat.

Apa yang berlaku hari ini lebih banyak berkait dengan perubahan struktur politik dan persempadanan kawasan pilihan raya sejak awal 2000-an. Dalam masa sama, kelemahan parti-parti komponen lain seperti MCA, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan MIC dalam menarik sokongan pengundi bukan Melayu membuka ruang kepada DAP untuk berkembang.

Bagi saya, kejayaan DAP bukan semata-mata kerana kekuatannya sendiri tetapi juga disebabkan kegagalan pihak lain mengisi ruang yang ditinggalkan.

Sebab itu kita perlu melihat perkara ini secara lebih objektif dan tidak sekadar melalui persepsi politik semata-mata.

 

Bagaimana usaha mendekati pengundi Melayu?

Jika kita benar-benar mahu memperjuangkan nasib orang Melayu, perbahasan perlu tertumpu kepada perkara yang lebih substantif seperti peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan aset, akses pendidikan berkualiti serta usaha memperkukuh kedudukan tanah rizab Melayu.

Persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana ekonomi orang Melayu dapat diperkasakan, bagaimana peluang mobiliti sosial dapat diperluaskan dan bagaimana maruah serta daya saing masyarakat Melayu dapat dipertingkatkan dalam jangka panjang.

Sebagai contoh, kerajaan mengambil langkah menambah keluasan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur. Pada saya, tindakan seperti ini mempunyai nilai yang jauh lebih besar kerana memberi kesan langsung kepada pemilikan aset dan kedudukan orang Melayu di kawasan bandar.

Kita juga perlu jujur usaha mengubah persepsi rakyat bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam masa singkat. Sebab itu cabaran terbesar kerajaan hari ini ialah memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat dan dapat dirasai oleh rakyat.

Antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kos sara hidup, program Rahmah, bantuan keperluan asas, peningkatan kebajikan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal serta penjawat awam. Yang penting, manfaat ini disalurkan tanpa mengira latar belakang politik penerimanya.

Namun masih ada pihak yang terus memainkan sentimen kaum dan agama?

Ya, perkara itu masih berlaku. Contohnya apabila ada pihak terlalu menumpukan serangan terhadap DAP sedangkan realitinya mereka bukan kalah kepada DAP. Mereka kalah kepada Pas, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagi saya, mudah untuk bercakap soal sentimen dan identiti kerana boleh mendapat sorakan penyokong. Tetapi apabila tiba masanya untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat, akhirnya semua pihak perlu duduk semeja juga.

Namun, bukan bermaksud kita mengetepikan kepentingan Melayu atau Islam. Saya sendiri orang Melayu dan Anwar juga orang Melayu. Jika ada pihak cuba menghakis hak Melayu, mencabar agama Islam atau kedaulatan negara, sudah tentu kami akan bertindak.

Rakyat hari ini lebih memikirkan soal kos sara hidup, pendidikan anak-anak dan kemampuan meneruskan kehidupan berbanding retorik politik semata-mata.

 

Ada pandangan mengatakan BN semakin melupakan peranan PH dalam pembentukan kerajaan perpaduan?

Kami sentiasa menghargai sokongan BN kepada Anwar sehingga kerajaan dapat dibentuk. Namun dalam masa sama, jangan juga menafikan peranan PH di beberapa negeri lain.

Hakikatnya kedua-dua pihak saling memerlukan untuk membentuk kerajaan. Tidak timbul soal siapa lebih berjasa atau siapa lebih berhak menuntut kredit. Apa yang penting ialah memahami bahawa politik hari ini tidak lagi sama seperti era 1980-an atau 1990-an.

Politik moden memerlukan kerjasama dan kesediaan untuk mencari titik persamaan.

Mengapa katakan politik negara sudah berubah?

Kita boleh lihat bagaimana politik di Indonesia berkembang. Walaupun persaingan antara Prabowo Subianto dan Joko Widodo sangat sengit, selepas pilihan raya mereka tetap bekerjasama demi kestabilan negara.

Malaysia juga sedang melalui proses yang sama. Hari ini, Timbalan Perdana Menteri datang daripada parti yang sebelum ini menjadi lawan politik utama kami. Menteri Pertahanan juga daripada parti yang sama. Ini menunjukkan politik hari ini memerlukan kematangan dan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan negara.

Keputusan BN mahu bergerak secara bersendirian dalam PRN Johor?

Itu hak mereka. Namun saya berpandangan langkah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara berasingan mempunyai pertimbangan politik tertentu.

Mereka percaya peluang untuk menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih besar jika pilihan raya diadakan secara berasingan berbanding serentak dengan PRU.

Tetapi sejarah juga menunjukkan kemenangan besar dalam PRN tidak semestinya diterjemahkan kepada kejayaan dalam PRU. Kita telah melihat perkara itu berlaku di Melaka dan Johor sebelum ini.

 

Mengapa Anwar masih relevan?

Kita tidak boleh melihat kepimpinan negara hanya dari sudut domestik. Dunia hari ini dipengaruhi oleh geopolitik antarabangsa, perdagangan global dan hubungan diplomatik.

Kita memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai jaringan antarabangsa yang kuat serta mampu membuka peluang perdagangan dan pelaburan untuk negara. Anwar memiliki kelebihan tersebut. Beliau membina hubungan itu sejak sekian lama dan bukan baru-baru ini.

Bagi saya, setakat ini belum ada tokoh lain yang mempunyai ketokohan antarabangsa yang setanding dengan beliau.

Adakah Parti Bersama mampu memberi kesan kepada PKR dan PH?

Saya tidak menafikan apa yang berlaku sedikit sebanyak tidak menyenangkan kami. Namun jika dibandingkan dengan peristiwa ‘Langkah Sheraton’, kesannya jauh lebih kecil.

Ketika ‘Langkah Sheraton’ berlaku, PKR kehilangan ramai pemimpin utama dan sebahagian besar struktur organisasi parti terjejas. Kami terpaksa membina semula parti dari bawah.

Jadi apa yang berlaku sekarang tidaklah sebesar seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini