INISIATIF Prasarana Malaysia Berhad untuk menaik taraf hentian bas dan laluan pejalan kaki di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang wajar dipuji.
Usaha ini mencerminkan perubahan penting dalam cara kita memahami mobiliti bandar.
Pengangkutan awam bukan sekadar pergerakan bas dan pengangkutan rel tetapi satu pengalaman perjalanan yang lengkap, merangkumi keselesaan, keselamatan, aksesibiliti dan maruah pengguna harian.
Selama ini, antara kelemahan utama sistem pengangkutan awam negara ialah isu sambungan perjalanan pertama dan terakhir.
Walaupun rangkaian rel dan perkhidmatan bas terus diperluas, namun ramai pengguna masih berdepan pengalaman yang kurang selesa sebaik sahaja keluar dari rumah atau meninggalkan stesen.
Laluan pejalan kaki yang rosak, pencahayaan yang lemah, ketiadaan teduhan, permukaan yang tidak rata dan hentian bas yang tidak mesra pengguna sering menjadi halangan kepada penggunaan pengangkutan awam secara konsisten.
Oleh itu, cadangan menaik taraf kemudahan ini amat tepat pada masanya. Hentian bas dan laluan pejalan kaki mungkin kelihatan kecil berbanding projek mega infrastruktur, namun kemudahan inilah yang paling dekat dengan kehidupan harian rakyat.
Hentian bas yang bersih, selesa, berbumbung dan mudah diakses boleh mempengaruhi keputusan seseorang sama ada mahu menggunakan pengangkutan awam atau terus bergantung kepada kenderaan persendirian.
Laluan pejalan kaki yang baik pula menggalakkan budaya berjalan kaki, mengurangkan kebergantungan terhadap kereta, meningkatkan kesihatan awam dan menyokong agenda kelestarian bandar.
Lebih penting, inisiatif ini menunjukkan pembangunan bandar perlu meletakkan manusia sebagai fokus utama.

JANGAN ABAI PENYELENGGARAAN
Perjalanan menggunakan pengangkutan awam tidak bermula apabila seseorang menaiki bas atau pengangkutan rel. Ia bermula sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari rumah dan berinteraksi dengan persekitaran bandar.
Namun, dalam keghairahan membina dan menaik taraf kemudahan baharu, satu cabaran yang lebih besar tidak boleh diabaikan, iaitu penyelenggaraan.
Pengurusan fasiliti bandar bukan sekadar menyediakan infrastruktur. Ia menuntut komitmen berterusan untuk memastikan kemudahan awam kekal berfungsi, selamat, bersih dan mampan dalam jangka panjang.
Malangnya, banyak kemudahan awam di bandar-bandar Malaysia bukan gagal kerana reka bentuknya lemah tetapi kerana penyelenggaraan selepas pembinaan tidak diberi perhatian sewajarnya.
Kita sering melihat hentian bas menjadi usang, lampu tidak berfungsi, papan tanda pudar, longkang tersumbat dan laluan pejalan kaki merekah atau dipenuhi semak.
Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat, bukan kerana kemudahan tidak disediakan tetapi kerana gagal diselenggara dengan baik.
Di sinilah kelemahan pendekatan pembangunan kita sering terserlah. Peruntukan pembinaan lazimnya mendapat perhatian kerana hasilnya mudah dilihat dan boleh dijadikan simbol kejayaan.
Sebaliknya, peruntukan penyelenggaraan kerap dianggap sebagai kos operasi biasa, sedangkan sebenarnya pelaburan strategik untuk memanjangkan hayat aset awam.
Hakikatnya, infrastruktur tanpa penyelenggaraan akhirnya akan kehilangan nilai. Sebuah bandar tidak wajar dianggap moden hanya kerana mampu membina kemudahan baharu setiap tahun, sedangkan kemudahan sedia ada terus merosot.
Oleh itu, setiap projek pembangunan bandar perlu disertakan dengan pelan penyelenggaraan jangka panjang sejak peringkat awal.
Penyelenggaraan berkala sentiasa lebih murah dan berkesan berbanding pembaikan besar selepas kerosakan menjadi serius.
Dalam konteks ini, inisiatif Prasarana seharusnya dilihat bukan sekadar projek naik taraf sekali sahaja tetapi sebagai pemangkin kepada perbincangan lebih besar tentang pengurusan fasiliti bandar yang mampan.
Kejayaan sebenar program ini bukan hanya diukur melalui jumlah hentian bas yang dinaik taraf, tetapi sama ada kemudahan tersebut masih berada dalam keadaan baik lima atau 10 tahun akan datang.
Pada masa sama, tanggungjawab menjaga kemudahan awam tidak terletak pada pihak berkuasa semata-mata. Masyarakat juga memainkan peranan penting.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pernah mengingatkan negara tidak boleh memiliki infrastruktur kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga.
Ungkapan ini masih relevan hingga hari ini.
Malaysia membelanjakan berbilion ringgit untuk pembangunan infrastruktur bandar. Namun, banyak kemudahan awam masih menjadi mangsa vandalisme dan sikap tidak bertanggungjawab.
Panel hentian bas diconteng, bangku dirosakkan dan kemudahan awam diperlakukan seolah-olah bukan milik bersama. Mentaliti ini perlu berubah. Kemudahan bandar ialah milik rakyat, dibina menggunakan wang awam dan diwujudkan untuk manfaat bersama.
Universiti juga mempunyai peranan penting dalam membentuk budaya ini. Institusi pengajian tinggi bukan sahaja melahirkan perancang bandar, jurutera dan pengurus fasiliti tetapi juga membentuk nilai sivik generasi muda.
Universiti boleh membantu memperkenalkan penyelesaian inovatif seperti teknologi pintar, sistem pemantauan aset dan model penyelenggaraan mampan melalui penyelidikan, program komuniti dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Akhirnya, sebuah bandar tidak sepatutnya dinilai hanya berdasarkan jumlah infrastruktur yang dibina tetapi sejauh mana kemudahan itu diselenggara dan diurus dengan baik.
Inisiatif Prasarana ini membuka peluang untuk Malaysia menilai semula pendekatan terhadap pengurusan fasiliti bandar.
Jika kita mampu menggabungkan infrastruktur kelas pertama dengan budaya penyelenggaraan dan mentaliti sivik kelas pertama, maka Malaysia akan lebih hampir kepada matlamat bandar yang benar-benar lestari, selesa dan berdaya huni. -UTUSAN
DR. Muhammad Faris Abdullah ialah Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
PROFESOR Madya Dr. Noor Suzilawati Rabe ialah Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











