MENURUT Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), menyatakan fraud (penipuan) dan rasuah menyumbang kira-kira 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, bersamaan sekitar AS$2.6 trillion (RM11.18 trilion) hingga AS$3.6 trilion setahun (RM15.5 trilion).
Angka ini menunjukkan betapa meluas dan seriusnya penipuan termasuk rasuah, melibatkan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi mencegah penipuan secara berkesan, perlu terlebih dahulu memahami faktor yang mendorong seseorang melakukan perbuatan tersebut.
Penipuan, sebagai satu bentuk rasuah, sering didorong tekanan, peluang, ketamakan dan keinginan hedonistik terhadap keseronokan, kemewahan, status, serta sikap ‘tidak pernah cukup’. Namun begitu, faktor-faktor ini sahaja tidak cukup untuk menjelaskan mengapa seseorang sanggup melanggar batas etika dan undang-undang.
Satu elemen penting sering diabaikan ialah rasionalisasi yang mana proses dalaman seseorang membenarkan tingkah laku tidak jujur kepada dirinya sendiri dan melihatnya sebagai sesuatu yang boleh diterima, perlu, atau tidak memudaratkan.
Seperti yang sering dinyatakan oleh ahli kriminologi, ramai penipu tidak melihat diri mereka sebagai penjenayah. Sebaliknya, mereka membina naratif yang menjadikan tindakan itu kelihatan wajar, sementara, atau adil. Tanpa justifikasi dalaman ini, kebanyakan individu akan sukar bertindak bertentangan dengan nilai moral mereka sendiri.
Antara alasan dalam teknik penetralan ialah anggapan perbuatan salah tidak menjejaskan sesiapa secara langsung. Dalam sistem kewangan yang kompleks, kesan penipuan sering kelihatan tidak jelas. Pelaku mungkin beranggapan kerugian ditanggung oleh syarikat, kerajaan atau insurans, bukan individu. Oleh kerana mangsa tidak jelas, perbuatan itu lebih mudah untuk dibenarkan.
Cara pemikiran ini mewujudkan jurang antara tindakan dan kesannya. Sebagai contoh, seorang pegawai perolehan yang memanipulasi proses tender mungkin meyakinkan dirinya dana kerajaan mencukupi. Dalam keadaan itu, dia mengabaikan kesan yang lebih besar seperti hilangnya kepercayaan awam, pembaziran sumber serta ketidakadilan terhadap pesaing yang jujur.
Apabila kesan tindakan dilihat jauh atau tidak jelas, individu cenderung berasa kurang bertanggungjawab secara peribadi.
Dalam sesetengah keadaan, individu mula merasakan gaji dibayar rendah, tidak dihargai atau dilayan secara tidak adil. Lama-kelamaan, mereka meyakinkan diri berhak mendapat lebih daripada apa yang diterima. Penipuan kemudiannya tidak lagi dilihat sebagai kecurian tetapi sebagai pampasan atau hak.
Satu lagi bentuk rasionalisasi yang biasa ialah anggapan ‘meminjam’ wang. Penipu mungkin meyakinkan diri mereka hanya mengambil wang organisasi sementara dan akan memulangkannya kemudian.
Cara ini membolehkan mereka mengekalkan imej sebagai orang yang baik walaupun terlibat dalam tingkah laku tidak jujur. Namun, pada hakikatnya, bayaran semula jarang berlaku. Tindakan kecil ini boleh berkembang menjadi corak tingkah laku yang semakin sukar dihentikan dan akhirnya membawa penipuan yang lebih serius dan berkekalan.
Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Antarabangsa (ACFE) menunjukkan penipuan sering bermula dengan tindakan kecil yang kelihatan tidak penting.
Pelarasan atau jalan pintas pada awalnya mungkin tidak dianggap serius tetapi apabila diulang, boleh melemahkan batas etika secara beransur-ansur. Lama-kelamaan, tingkah laku yang dahulu dianggap salah mula dilihat sebagai normal. Ini merupakan antara aspek penipuan yang paling berbahaya.
Dalam persekitaran yang rasuah dianggap biasa, individu mungkin membenarkan tindakan mereka dengan merujuk kepada orang lain, seperti “semua orang melakukannya”. Ini mengurangkan tanggungjawab peribadi.
Lama-kelamaan, tahap etika menjadi lemah dan tingkah laku tidak jujur seperti rasuah dan pecah amanah semakin dinormalisasikan.
Penipu dan perasuah juga mungkin membandingkan diri mereka dengan pelaku yang lebih teruk dengan berfikir, “sekurang-kurangnya saya tidak seteruk orang lain.”
Ini membolehkan mereka memperkecilkan tindakan sendiri dan mengelak daripada mengakui penipuan tetap salah tanpa mengira skalanya. Keadaan ini kadangkala dirujuk sebagai ‘menyalahkan orang lain’, iaitu apabila perhatian dialihkan daripada tanggungjawab peribadi kepada kelemahan pihak lain, contohnya dengan alasan seperti “bos pun makan duit kopi”.
Pelaku merasakan mereka terpaksa melakukan rasuah disebabkan keadaan tertentu atau tekanan daripada pihak atasan, sehingga menganggap diri tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan tersebut.
Ada penipu juga menganggap tindakannya dilakukan demi tujuan yang lebih baik, seperti membantu keluarga atau rakan sekerja yang menghadapi kesulitan, lalu mengetepikan peraturan syarikat.
Satu lagi alasan ialah menyalahkan sistem itu sendiri. Jika seseorang percaya sistem sedia ada sudah rosak atau tidak adil, mereka mungkin melihat tindakan penipuan mereka sebagai sesuatu yang kecil atau bahkan wajar. Ini menghilangkan rasa tanggungjawab peribadi dan menjadikan salah laku seolah-olah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan bukannya satu pilihan.
Ahli kriminologi berpendapat individu mungkin menggunakan tingkah laku baik masa lalu untuk membenarkan salah laku sekali-sekala. Mereka merasakan sumbangan positif sebelum ini membolehkan sedikit pengecualian diterima. Lama-kelamaan, ini boleh melemahkan prinsip peribadi dan memudahkan keputusan tidak beretika, terutama apabila tiada siapa yang memerhati.
Penipu sering menggunakan istilah yang lebih lembut atau teknikal seperti ‘pelarasan’, ‘pemudah cara’ atau ‘yuran pengendalian’ untuk menggambarkan amalan rasuah. Penggunaan bahasa sebegini mengurangkan keseriusan perbuatan tersebut dan menjadikannya kelihatan seperti rutin pentadbiran atau sekadar masalah sosial, bukannya jenayah.

Budaya tempat kerja juga boleh mengukuhkan tingkah laku yang buruk begini. Dalam sesetengah organisasi, peraturan dan jangkaan tidak rasmi mempengaruhi cara pekerja bertindak.
Dalam situasi penipuan, penting untuk mempunyai sistem ganjaran dan hukuman yang adil. Apabila tingkah laku tidak beretika diabaikan, diterima, atau malah diberi ganjaran, orang lain mungkin berasa tertekan untuk mengikut jalan yang sama. Lama-kelamaan, penipuan boleh menjadi sebahagian daripada budaya organisasi.
Akhir sekali, tanpa akibat menguatkan lagi rasionalisasi penipu. Apabila individu melihat orang lain melakukan penipuan tanpa ditangkap atau dihukum, mereka mungkin menganggap risikonya rendah. Ini mewujudkan rasa selamat yang palsu dan meningkatkan kemungkinan salah laku berulang oleh penipu.
Oleh itu, penipuan bukan sahaja didorong tekanan luaran tetapi juga proses pemikiran dalaman yang berkembang secara beransur-ansur dari semasa ke semasa.
Seseorang jarang menjadi penipu hanya melalui satu keputusan semata-mata. Sebaliknya, ia berlaku melalui proses berperingkat yang dibentuk oleh pilihan-pilihan kecil, justifikasi yang berulang, serta batas etika yang semakin longgar.
Walaupun undang-undang dan penguatkuasaan yang tegas penting, tetapi tidak mencukupi. Pencegahan juga memerlukan penekanan terhadap etika, budaya organisasi dan tadbir urus yang jelas bagi memperkukuhkan integriti.
Penipuan bukan sahaja isu perundangan, tetapi juga isu psikologi. Rasionalisasi membolehkan individu membenarkan tingkah laku tidak jujur sambil mengekalkan imej diri yang positif. Jika tidak dibendung sejak awal, sistem kawalan yang kukuh sekalipun mungkin gagal mencegah salah laku. –UTUSAN
DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah Profesor Kriminologi Dan Keadilan Jenayah dan Pengarah Institut Kriminologi Dan Keadilan Jenayah, Universiti HELP.










