DALAM era teknologi hijau, pendigitalan dan persaingan geopolitik, unsur nadir bumi (REE) muncul sebagai sumber mineral paling strategik abad ke-21. Walaupun digunakan dalam jumlah kecil, REE penting dalam penghasilan telefon pintar, bateri kenderaan elektrik, turbin angin, panel solar, magnet berprestasi tinggi serta teknologi pertahanan moden. REE kini bukan sekadar komoditi mineral tetapi simbol kedaulatan teknologi dan keselamatan ekonomi dunia.
Malaysia mempunyai potensi besar dalam industri ini. Kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menganggarkan negara memiliki sekitar 16.1 juta tan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai lebih RM800 bilion yang ditemui di beberapa negeri termasuk Pahang, Kelantan, Perak dan Terengganu. Penemuan ini membuka peluang kepada Malaysia untuk muncul sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan mineral kritikal dunia.
Potensi Malaysia menjadi lebih signifikan kerana dunia ketika ini terlalu bergantung kepada China yang menguasai sebahagian besar pengeluaran dan pemprosesan REE global. Ketidakseimbangan tersebut menyebabkan banyak negara mula mencari sumber alternatif dan rakan strategik baharu. Dalam konteks itu, Malaysia dilihat berpotensi menjadi hab strategik REE di Asia Tenggara.
Menyedari kepentingan tersebut, Akademi Sains Malaysia menerbitkan Pelan Induk Penubuhan Industri Berasaskan Nadir Bumi di Malaysia. Pelan itu menegaskan nilai sebenar REE bukan terletak pada perlombongan semata-mata tetapi pada keupayaan negara membangunkan keseluruhan rantaian industri termasuk pemprosesan, penapisan dan penghasilan produk berteknologi tinggi seperti magnet kekal, komponen elektronik dan teknologi tenaga boleh baharu.
Ini kerana keuntungan terbesar dalam industri REE datang daripada penguasaan teknologi dan pembuatan produk bernilai tinggi, bukannya menjual bahan mentah. Malaysia perlu mengelakkan kesilapan banyak negara kaya sumber yang hanya menjadi pembekal mineral tanpa menikmati manfaat ekonomi sebenar.
Namun, pembangunan industri REE turut membawa cabaran besar, khususnya terhadap alam sekitar. Aktiviti perlombongan yang tidak terkawal boleh menyebabkan hakisan tanah, pencemaran air, kehilangan biodiversiti dan gangguan terhadap kawasan tadahan air. Walaupun Malaysia memberi tumpuan kepada unsur nadir bumi bukan radioaktif, namun proses pemisahan dan pengekstrakan tetap melibatkan penggunaan bahan kimia yang memerlukan kawalan ketat.
Lebih membimbangkan, sebahagian kawasan berpotensi REE bertindih dengan kawasan sensitif alam sekitar dan hutan simpan. Oleh itu, pendirian kerajaan untuk tidak meluluskan perlombongan di kawasan Hutan Simpan Kekal dan kawasan perlindungan alam sekitar merupakan langkah penting bagi memastikan pembangunan ekonomi tidak menjejaskan warisan ekologi negara.
Dalam masa sama, Malaysia perlu membina kapasiti teknologi tempatan melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan industri pemprosesan domestik. Moratorium eksport bahan mentah REE juga menunjukkan komitmen negara untuk memastikan nilai tambah berlaku dalam negara.
Hakikatnya, REE berkait rapat dengan ekonomi masa hadapan, geopolitik, teknologi dan kelestarian alam sekitar. Malaysia mempunyai peluang besar untuk menjadi kuasa baharu dalam industri ini, namun kejayaan tersebut bergantung kepada kebijaksanaan dasar, keupayaan teknologi dan disiplin tadbir urus.
Jika diurus secara mampan dan berintegriti, REE mampu menjadi pemacu ekonomi strategik negara. Namun, jika pembangunan dilakukan tanpa kawalan, khazanah bernilai tinggi ini boleh meninggalkan kesan alam sekitar yang berpanjangan kepada generasi akan datang.-UTUSAN
DR. Tengku Nilam Baizura Tengku Ibrahim ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.










