PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran melakukan rombakan terhadap sistem lesen kejurulatihan sedia ada dengan mewujudkan dua kategori berbeza bagi memenuhi keperluan pembangunan bola sepak negara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, perubahan tersebut penting bagi memastikan jurulatih di Malaysia dilatih mengikut pengkhususan masing-masing sama ada untuk peringkat pembangunan atau pasukan profesional.
Zulakbal merupakan pemegang Lesen Kejurulatihan FAM A, B dan C serta Diploma Profesional AFC berkata, sudah tiba masanya FAM memperkenalkan laluan berbeza dalam struktur kejurulatihan agar lebih sistematik dan relevan dengan keperluan semasa.
“Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini mengambil lesen kejurulatihan anjuran FAM, penambahbaikkan yang perlu ada adalah pengkhususan terhadap lesen jurulatih pembangunan dan remaja.
“FAM kena fikir untuk merombak semula modul kejurulatihan yang sedia ada dalam usaha melahirkan jurulatih di peringkat pembangunan dan remaja. FAM kena panggil pakar remaja dan belia untuk membincangkan apakah perbezaan yang perlu ada dalam modul kejurulatihan,” katanya.
Zulakbal turut berkata, ketika ini kebanyakan jurulatih masih mengikuti laluan lesen yang sama walaupun tujuan kerjaya mereka berbeza, sekali gus menimbulkan jurang dalam aspek kepakaran.
“Jurulatih profesional memikirkan untuk mendapatkan kemenangan, sama juga dengan jurulatih pembangunan dan remaja.
“Namun, kedua-dua kategori ini memerlukan set kemahiran berbeza mengikut permintaan serta tahap kecergasan pemain yang menuntut kepakaran berlainan. Pemain dewasa cara pendekatannya tidak sama dengan pemain di peringkat pembangunan dan remaja.
“Pemain di peringkat pembangunan dan remaja perlu dibangunkan dengan cara mereka berfikir, membuat keputusan di atas padang dan semua itu memerlukan kemahiran yang berbeza,” katanya. – UTUSAN










