LE MANS: Juara dunia lapan kali, Marc Marquez tekad lakar kebangkitan pada saingan MotoGP Le Mans hujung minggu ini.
Selepas dominasi lima kemenangan berturut-turut Ducati di Grand Prix(GP) Perancis lebur musim lalu, tumpuan kini kembali terarah kepada misi kebangkitan pelumba Sepanyol itu.
Tahun lalu, kemenangan sensasi Johann Zarco bersama LCR Honda menamatkan rentetan kejayaan Ducati di litar itu dalam perlumbaan penuh dramatik akibat hujan.
Marquez kembali ke Le Mans dalam tekanan apabila hanya menghuni tangga kelima keseluruhan kejuaraan dunia selepas empat pusingan pembukaan musim 2026.
Pelumba Ducati Lenovo tersebut kini ketinggalan 44 mata di belakang pendahulu, Marco Bezzecchi dari Aprilia.
Lebih membimbangkan, Marquez kehilangan mata kepada Bezzecchi dalam kesemua empat perlumbaan musim ini, termasuk di Jerez apabila kemenangan Sprint gagal diterjemahkan dalam perlumbaan utama selepas terjatuh.
Bagaimanapun, pelumba berpengalaman itu optimis Ducati sudah menemui perkembangan positif menerusi ujian rasmi di Jerez Isnin lalu.
“Le Mans adalah litar yang saya suka dan tahun lalu saya cukup laju di sini bersama Desmosedici GP.
“Cuaca mungkin menjadi faktor besar hujung minggu ini, tetapi kami bekerja dengan baik di Jerez dan berjaya melakukan beberapa peningkatan penting,” katanya.
Ramalan cuaca semasa menunjukkan risiko ribut petir pada Sabtu selain hujan renyai dijangka mengganggu perlumbaan Ahad. – AGENSI/UTUSAN










