Fenomena politik Vijay boleh melanda Malaysia?

Fenomena politik Vijay boleh melanda Malaysia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN C. Joseph Vijay atau lebih dikenali sebagai Vijay dalam membawa Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) ke tampuk kuasa di Tamil Nadu, India bukan sekadar kisah seorang bintang filem Kollywood memasuki politik.

Fenomena ini sebenarnya memperlihatkan bagaimana kuasa pengundi mampu mengubah landskap politik yang selama puluhan tahun dikuasai parti-parti tradisional.

Dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu baru-baru ini, TVK muncul sebagai parti terbesar dengan 108 kerusi dan akhirnya berjaya membentuk kerajaan menerusi sokongan beberapa parti lain. Perkembangan itu turut diikuti dengan penuh minat oleh politikus dan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Apa yang lebih menarik ialah kemenangan parti pimpinan Vijay berlaku ketika ramai penganalisis politik pada awalnya menganggap TVK hanya ‘gelombang emosi peminat filem’ yang akan pudar menjelang hari pengundian.

Sebaliknya, para pengundi membuktikan hakikat mereka sedang mencari alternatif baharu selepas terlalu lama terperangkap dalam persaingan antara Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) dan All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK).

Antara faktor paling penting yang membawa kejayaan kepada Vijay ialah keinginan rakyat untuk melihat perubahan politik. Pengundi muda khususnya dilihat semakin letih dengan budaya politik lama yang penuh retorik, kronisme dan perang persepsi antara dua blok tradisional.

Dalam keadaan ini, TVK berjaya menampilkan dirinya sebagai ‘kuasa baharu’ yang tidak terikat sepenuhnya dengan warisan politik lama Tamil Nadu. 

Dalam keadaan ramai rakyat berasa kecewa terhadap elit politik sedia ada, Vijay muncul dengan imej bersih, sederhana dan dekat dengan rakyat biasa.

Faktor kedua ialah pengaruh pengundi muda dan pengundi kali pertama.

Laporan media antarabangsa menunjukkan kumpulan umur 18 hingga 39 tahun menjadi tulang belakang sokongan kepada TVK. Golongan ini hidup dalam dunia digital, pantas menilai maklumat, dan kurang terikat dengan propaganda konvensional.

Mereka tertarik kepada pendekatan media sosial yang digunakan TVK secara agresif menerusi YouTube, Instagram, WhatsApp, dan video pendek yang mudah dikongsi. Vijay tidak terlalu bergantung kepada ceramah politik tradisional.

Sebaliknya, beliau memanfaatkan budaya digital untuk membina hubungan emosi dengan rakyat, khususnya generasi muda bandar dan separa urban.

Perkara ketiga ialah manifesto yang menyentuh keperluan harian rakyat. TVK tidak hanya menjual populariti seorang pelakon terkenal. Parti itu tampil dengan manifesto 40 perkara yang memberi perhatian kepada peluang pekerjaan, bantuan wanita, pembangunan belia, kebajikan petani, reformasi pentadbiran dan ketelusan kerajaan.

Pengundi melihat tawaran itu sebagai sesuatu yang lebih konstruktif berbanding slogan politik kosong. Dalam masyarakat moden, pengundi semakin bijak menilai sama ada sesebuah parti benar-benar memahami masalah kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan masa hadapan anak muda.

Faktor keempat ialah kebijaksanaan pengundi dalam memecahkan dominasi politik tradisional. Selama berdekad-dekad, Tamil Nadu terkenal dengan politik dua kutub antara DMK dan AIADMK. Namun, pilihan raya kali ini membuktikan pengundi tidak takut mencuba alternatif.

Mereka tidak lagi melihat demokrasi sebagai pertandingan tetap antara dua jenama politik lama. Sebaliknya, rakyat menggunakan undi sebagai alat untuk memberi amaran bahawa kuasa politik bukan hak warisan sesiapa.

 

KEBANGKITAN Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memberi pengajaran penting kepada Malaysia bahawa kuasa sebenar dalam demokrasi terletak di tangan rakyat. -AFP

PENGAJARAN

Bagi rakyat Malaysia, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), terdapat beberapa pengajaran penting daripada kebangkitan TVK dan Vijay yang boleh dimanfaatkan dan dijadikan pengajaran.

Pertama, pengundi mesti menghentikan budaya menjadi penyokong membuta tuli kepada mana-mana parti politik. Malaysia terlalu lama terperangkap dalam budaya ‘kami lawan mereka’ sehingga rakyat kadangkala lupa bahawa parti politik sepatutnya berkhidmat kepada rakyat, bukannya rakyat menjadi hamba kepada parti.

Kedua, pengundi pelbagai kaum di Malaysia perlu belajar menilai dasar, bukan sekadar identiti kaum atau agama. Tamil Nadu menunjukkan pengundi muda lebih tertarik kepada isu pekerjaan, pendidikan, ketelusan dan kebajikan sosial.

Di Malaysia juga, rakyat pelbagai kaum sebenarnya berkongsi masalah sama seperti gaji rendah, harga rumah mahal, peluang kerja tidak stabil dan kos hidup meningkat. Jika pengundi terus terperangkap dalam budaya politik perkauman sempit, maka ahli politik akan terus menggunakan ketakutan sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa.

Ketiga, rakyat perlu menggunakan media sosial secara matang. TVK berjaya memanfaatkan teknologi digital untuk menyampaikan mesej politik secara terus kepada rakyat. Namun, media sosial juga boleh menjadi tempat penyebaran fitnah dan manipulasi.

Pengundi Malaysia perlu belajar menyemak fakta, membaca daripada pelbagai sumber dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda murahan.

Demokrasi digital hanya akan sihat jika rakyat mempunyai disiplin intelektual dan mampu berfikir.

Keempat, kita mesti sedar kuasa sebenar dalam demokrasi berada di tangan pengundi, bukannya ahli politik. Apabila rakyat takut menggunakan kuasa undi, ahli politik menjadi semakin angkuh.

Sebaliknya, apabila rakyat menunjukkan keberanian membuat perubahan melalui peti undi, semua parti politik akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab.

Kemenangan TVK membuktikan rakyat biasa masih mampu menggegarkan sistem politik lama.

Kelima, pengundi di Malaysia perlu menjadi ‘kuasa ketiga’ yang matang. Maksudnya, rakyat tidak wajar menjadi macai atau pengikut fanatik mana-mana blok politik. Mereka perlu menjadi kuasa pemerhati yang sentiasa menilai, mengkritik dan berani menghukum berdasarkan prestasi politikus.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kuasa ketiga ini sangat penting untuk memastikan politik negara tidak dikawal oleh sentimen kaum, agama atau suara individu.

Pengundi matang perlu berani bertanya, siapakah yang benar-benar mampu menjaga perpaduan, ekonomi, pendidikan dan masa hadapan generasi akan datang?

Demokrasi hanya akan menjadi matang apabila rakyat berani berfikir secara bebas, bukan sekadar mengikut emosi atau sentimen kelompok. Tamil Nadu tmembuktikan hakikat pengundi boleh mencipta sejarah baharu jika mahu. –UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN