SERUAN menunaikan ibadah haji bukan sekadar panggilan biasa, sebaliknya detik yang mendidik jiwa setiap umat Islam untuk kembali kepada fitrah sebagai hamba dan mempersiapkan bekalan menuju kehidupan abadi di akhirat.
Bagi kebanyakan umat Islam, peluang menunaikan haji dianggap sebagai kemuncak dalam perjalanan ibadah. Ia bukan sahaja memenuhi Rukun Islam kelima, malah menjadi simbol penyucian diri daripada dosa serta kelemahan lalu.
Namun, hakikatnya peluang tersebut bukan mudah diperoleh. Ia menuntut persiapan rapi, sama ada dari segi kewangan, kesihatan mahupun kekuatan mental.
Di Malaysia, umat Islam perlu mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dan menunggu giliran yang kadangkala mencecah tempoh lebih sedekad sebelum dipanggil menjadi tetamu Allah.
Demikian keadaan dihadapi bagi mana-mana umat Islam yang ingin berangkat ke Tanah Suci seperti mana seruan Allah menerusi ayat 27, Surah al-Hajj yang menegaskan haji adalah panggilan suci yang akan sentiasa disahut manusia walaupun sejauh mana pun jaraknya, kerana ia bukan sekadar perjalanan jasmani tetapi perjalanan jiwa menuju Tuhan.
Selain Malaysia, negara lain juga mengalami situasi sama apabila ada terpaksa mengikut syarat ditetapkan khususnya mempunyai simpanan wang mencukupi.
Malah rakyat Arab Saudi sendiri meskipun Tanah Suci terletak di dalam negara itu, namun tidak bermakna mereka mempunyai laluan percuma melaksanakan ibadah haji sekalipun penduduk Mekah sendiri. Hal ini kerana rakyat Arab Saudi perlu memohon permit dan membayar sekitar 4,000 riyal untuk melaksanakan haji.
Secara umumnya, ia bertepatan dengan konsep haji yang mengambil kira aspek kemampuan atau istito’ah iaitu merupakan perkara asas mesti dipenuhi setiap Muslim dan merangkumi antaranya seseorang itu mestilah mampu untuk menanggung perbelanjaan dan nafkah pergi dan balik untuk dirinya serta kesihatan tubuh badan.
Dalam dunia moden hari ini, perjalanan ke Tanah Suci mungkin lebih selesa berbanding zaman dahulu. Namun, cabaran yang dihadapi tetap wujud dalam bentuk berbeza.
Namun di sebalik cabaran menunaikan haji, jemaah Malaysia perlu menarik nafas lega dengan perkhidmatan selesa TH dan inisiatif Makkah Route yang terus menjadi pemudah cara penting dalam operasi haji dengan mempercepat urusan perjalanan serta meningkatkan keselesaan jemaah dari awal hingga akhir perjalanan.
Di bawah Makkah Route, perjalanan jemaah dari Kompleks Movenpick Sepang sehingga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berlangsung lancar apabila mereka menikmati proses lebih mudah apabila urusan imigresen dan dokumentasi tertentu telah diselesaikan lebih awal, sekali gus mempercepatkan pergerakan masuk ke Arab Saudi.
Kemudahan itu membolehkan jemaah memberi tumpuan kepada perjalanan tanpa perlu berdepan proses yang panjang setibanya di destinasi akhir, malah perjalanan ke KLIA diibarat VVIP apabila diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi kelancaran ke balai pelepasan.
Daripada segi layanan TH, jemaah Malaysia wajar bersyukur kerana kebanyakan hotel penginapan disediakan berhampiran Masjidil Haram, iaitu sekitar satu kilometer (km) atau kurang, berbanding jemaah dari negara lain yang perlu menginap pada jarak lebih jauh mencecah antara 10 hingga 13 km.
Namun di sebalik kemudahan itu, masing-masing perlu menghayati falsafah pelaksanaan ibadah haji ialah rehlah ruhaniah atau perjalanan suci berbanding perjalanan yang lain yang tercatat dalam sejarah. Ia juga bukan seperti melancong tetapi perjalanan ini mempunyai pelbagai hikmah, faedah dan kelainan yang boleh diambil.
Apatah lagi dengan kesesakan jutaan manusia, suhu panas dan kekangan masa menuntut tahap kesabaran dan ketahanan yang tinggi. Justeru, mereka yang menyahut panggilan ini sebenarnya sedang melalui satu proses tarbiah yang mendidik jiwa agar lebih sabar, tawaduk dan bergantung sepenuhnya kepada Allah.
Tempoh berada di Masyair yang merangkumi Wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Mina merupakan detik paling getir serta mencabar dalam ibadah haji, kerana bukan sahaja menguji kesabaran ketika berdepan jutaan manusia, malah mendidik jiwa untuk mensyukuri setiap kemudahan dengan meninggalkan segala kedudukan dan pangkat.
Berbanding ketika menunaikan solat di rumah atau di masjid yang membolehkan seseorang berpakaian kemas, memakai wangian dan berhias, suasana di Masyair menuntut jemaah tampil dalam kesederhanaan dengan pakaian ihram, menahan kepayahan serta mengutamakan keikhlasan dan ketundukan sepenuhnya kepada Allah.
Justeru, mereka yang menyahut panggilan ini sebenarnya sedang melalui satu proses tarbiah yang mendidik jiwa agar lebih sabar, tawaduk dan bergantung sepenuhnya kepada Allah.
Ibadat haji selain daripada berfungsi mensucikan dosa-dosa, ia juga merupakan bekalan yang tepat menuju akhirat.
Sesungguhnya mereka sanggup berkorban harta benda, wang dan jiwa raga untuk memperhambakan diri dengan sebenarnya dan mereka tergolong dalam golongan mendapat petunjuk dan hidayah serta ketinggian martabat iman di sisi ilahi.
Bagi seorang suami, ibadah haji menuntut pengorbanan besar apabila terpaksa meninggalkan isteri dan keluarga tercinta, begitu juga ibu bapa yang perlu berjauhan daripada anak-anak untuk tempoh lebih sebulan demi menyempurnakan Rukun Islam Kelima.
Dalam masa sama, golongan pekerja pula perlu melupakan seketika urusan pejabat dan tanggungjawab harian bagi menyahut seruan agung ini dengan penuh keikhlasan dan pengabdian.

JANGAN KEJAR GELARAN
Lebih penting, ibadah haji perlu difahami sebagai perjalanan transformasi, bukan sekadar melengkapkan rukun. Dalam keghairahan sesetengah pihak mengejar gelaran haji, nilai sebenar ibadah ini kadangkala terpinggir.
Sedangkan matlamat utama haji adalah perubahan diri daripada yang kurang baik kepada lebih baik, daripada lalai kepada lebih taat. Tanpa perubahan ini, ibadah haji berisiko menjadi sekadar ritual tanpa makna yang mendalam.
Selain itu, haji juga mencerminkan kesatuan umat Islam. Jutaan manusia dari pelbagai latar belakang berkumpul di Kaabah dengan pakaian ihram yang serba sederhana. Tiada perbezaan darjat, bangsa atau kedudukan. Semua berdiri sama rata di hadapan Allah, menginsafi hakikat bahawa setiap manusia hanyalah hamba yang bergantung kepadanya.
Bagi jemaah Malaysia khususnya, peluang menunaikan haji juga membawa tanggungjawab besar sebagai duta kecil negara. Sikap disiplin, integriti dan kepatuhan kepada peraturan bukan sahaja mencerminkan keperibadian individu= tetapi juga imej negara di mata dunia. Dalam hal ini, nilai kesederhanaan dan adab perlu sentiasa diutamakan sepanjang berada di Tanah Suci.
Seruan haji adalah panggilan yang melangkaui perjalanan fizikal semata-mata. Ia adalah perjalanan jiwa yang menuntut keikhlasan, pengorbanan dan kesungguhan. Persoalannya, sejauh mana kita benar-benar memahami dan menghayati makna di sebalik seruan agung tersebut. –UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.











