Selat Hormuz nadi tenaga global yang rapuh

Selat Hormuz nadi tenaga global yang rapuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM geopolitik tenaga dunia, beberapa laluan strategik memainkan peranan penting dan boleh menjejaskan ekonomi global jika terganggu. Antara laluan paling kritikal ialah Selat Hormuz yang berada di kedudukan utama dalam senarai tersebut.

Selat Hormuz berfungsi sebagai nadi kepada sistem perdagangan tenaga dunia. Laluan laut ini menjadi koridor utama eksport minyak dari negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar sebelum dihantar ke pasaran global.

Menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (AS), kira-kira 20 juta tong minyak melalui Selat Hormuz setiap hari, iaitu hampir satu perlima daripada perdagangan minyak dunia.

Kepentingan laluan ini turut dipengaruhi faktor geografinya yang sempit dan terhad. Pada bahagian paling sempit, Selat Hormuz hanya berukuran kira-kira 33 kilometer lebar. Kapal tangki minyak yang melalui kawasan ini perlu menggunakan laluan pelayaran yang sangat terhad, menjadikannya antara chokepoint tenaga paling penting di dunia.

Keadaan ini bermakna sebarang gangguan terhadap laluan tersebut boleh memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global serta kestabilan ekonomi dunia.

Oleh sebab itu, Selat Hormuz bukan sekadar laluan perdagangan biasa tetapi juga mempunyai nilai strategik dalam geopolitik antarabangsa. Kedudukannya di antara Iran dan negara-negara Teluk menjadikannya titik tumpuan dalam ketegangan politik di Asia Barat. Dalam banyak keadaan, laluan ini menjadi ruang pertembungan kepentingan antara negara serantau dan kuasa besar dunia.

Bagi Iran, kedudukan geografi di bahagian utara Selat Hormuz memberi kelebihan strategik. Tehran sering dilihat menggunakan ancaman terhadap laluan tersebut sebagai alat tekanan geopolitik terhadap Barat, khususnya AS dan sekutunya. Dengan hanya mengancam untuk mengganggu laluan kapal tangki minyak, Iran berupaya menimbulkan ketidakpastian dalam pasaran tenaga global serta mempengaruhi harga minyak dunia.

Dalam konteks ini, Selat Hormuz memberi Iran satu bentuk kuasa tawar-menawar dalam konflik yang lebih luas di Asia Barat. Bagi AS pula, keselamatan Selat Hormuz merupakan kepentingan strategik yang penting walaupun negara itu kini merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia.

Kestabilan laluan ini berkait rapat dengan kestabilan ekonomi global serta keselamatan sekutu Amerika di Asia Barat dan Asia yang bergantung kepada bekalan tenaga dari Teluk Parsi. Oleh itu, AS mengekalkan kehadiran ketenteraan di rantau Teluk bagi memastikan kebebasan pelayaran di laluan tersebut terus terjamin.

Kepentingan Selat Hormuz juga melibatkan kuasa besar lain di luar Asia Barat. Negara seperti China, Jepun, Korea Selatan dan India merupakan antara pengimport utama minyak dari rantau Teluk. Sebarang gangguan terhadap laluan ini boleh memberi kesan langsung kepada bekalan tenaga serta kestabilan ekonomi negara-negara tersebut.

 

SELAT Hormuz bukan sekadar laluan perdagangan tetapi ‘jalan’ strategik yang sangat penting kepada kestabilan tenaga dan ekonomi dunia. -AFP

 

Dalam keadaan ini, Selat Hormuz bukan lagi sekadar isu serantau tetapi berkait rapat dengan kepentingan strategik ekonomi dunia. Namun persoalan penting ialah sejauh mana strategi Iran menggunakan Selat Hormuz sebagai alat tekanan geopolitik benar-benar berkesan.

Dalam jangka pendek, ancaman terhadap laluan ini memang mampu menggoncang pasaran tenaga global. Ketegangan di kawasan tersebut sering menyebabkan harga minyak meningkat kerana pasaran bimbang gangguan bekalan dari Teluk Parsi.

Dalam jangka panjang, strategi ini mempunyai batasnya. Ancaman terhadap Selat Hormuz mendorong negara pengeluar dan pengimport tenaga mencari alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan tersebut.

Negara seperti Arab Saudi dan UAE membangunkan saluran paip yang membolehkan sebahagian eksport minyak dihantar terus ke Laut Merah atau Teluk Oman tanpa melalui Selat Hormuz.

Selain faktor ekonomi dan tenaga, Selat Hormuz juga mempunyai kepentingan dari sudut keselamatan maritim dan ketenteraan antarabangsa. Laluan ini menjadi antara kawasan laut yang paling dipantau di dunia kerana sebarang ketegangan di situ boleh mengancam keselamatan kapal perdagangan global.

Atas sebab ini, beberapa kuasa besar mengekalkan kehadiran tentera laut di perairan Teluk bagi memastikan laluan pelayaran kekal selamat.

AS misalnya menempatkan Armada Kelima Tentera Lautnya di Bahrain, yang bertanggungjawab memantau keselamatan perairan Teluk Parsi dan laluan strategik seperti Selat Hormuz.

Selain AS, beberapa negara lain turut meningkatkan kerjasama keselamatan maritim bagi melindungi kapal perdagangan di kawasan tersebut. Negara-negara Barat seperti Britain dan Perancis secara berkala menyertai operasi keselamatan laut di rantau Teluk bagi memastikan kebebasan pelayaran terus terjamin.

Pada masa sama, negara pengimport tenaga di Asia juga memantau perkembangan di kawasan ini kerana keselamatan laluan tersebut berkait rapat dengan bekalan tenaga mereka.

Kehadiran tentera laut pelbagai negara menunjukkan kestabilan Selat Hormuz dilihat sebagai kepentingan bersama dalam sistem antarabangsa.

Akhirnya, realiti geopolitik menunjukkan tiada pihak yang benar-benar mendapat keuntungan sekiranya laluan ini terganggu secara serius dalam tempoh yang panjang.

Gangguan berpanjangan bukan sahaja menjejaskan negara pengimport tenaga tetapi juga negara pengeluar minyak di rantau Teluk, termasuk Iran sendiri. Oleh itu, walaupun Selat Hormuz sering digunakan sebagai alat tekanan geopolitik, namun kestabilannya tetap menjadi kepentingan bersama dalam sistem antarabangsa.

Akhirnya, Selat Hormuz memperlihatkan bagaimana satu laluan geografi yang sempit boleh memainkan peranan besar dalam politik dan ekonomi global.

Kedudukannya yang menghubungkan sumber tenaga Asia Barat dengan pasaran dunia menjadikannya medan penting dalam percaturan kuasa besar, di mana kepentingan ekonomi, keselamatan dan geopolitik saling bertembung.-UTUSAN

Profesor Madya Dr. Azlizan Mat Enh ialah Pensyarah Pusat Kajian Sejarah Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×