KETEGANGAN geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan tekanan perubahan iklim kini berada pada tahap yang semakin meruncing.
Dalam mendepani cabaran ini, industri makanan halal bukan lagi sekadar soal pematuhan dan pensijilan tetapi beralih menjadi isu daya tahan, kedaulatan negara dan persoalan kelangsungan keterjaminan makanan (sekuriti makanan) jangka panjang.
Secara tradisinya, wacana mengenai makanan halal sering dilihat melalui lensa pematuhan syarak dan amalan penggunaan yang beretika. Namun hari ini, pergolakan global mendesak isu halal dibicarakan dalam kerangka strategik yang lebih luas.
Dalam dunia yang semakin tidak stabil, halal bersilang secara langsung dengan kelangsungan sekuriti makanan, daya tahan ekonomi dan kesiapsiagaan nasional.
Bagi masyarakat pengguna halal, kebergantungan tinggi kepada makanan import, khususnya sumber protein haiwan seperti ayam dan daging ruminan mendedahkan kelemahan struktur yang merentasi batas piawaian pensijilan.
Malaysia menjadi bukti kritikal yang mana kita cemerlang dalam perihal tadbir urus halal negara di peringkat antarabangsa tetapi malangnya tidak diterjemahkan secara automatik kepada keterjaminan makanan yang mutlak.
Malaysia sentiasa diiktiraf di pentas global kerana sistem pensijilan dan tadbir urus halalnya yang komprehensif. Ironinya, di sebalik reputasi agung ini, negara masih amat bergantung kepada daging, ayam dan bahan mentah import untuk memenuhi permintaan domestik.
Setiap tahun, bil import makanan dan pertanian Malaysia mencecah puluhan bilion ringgit, di mana import daging ruminan dan ayam sahaja menyumbang angka sangat besar.
Produk-produk ini dibawa masuk dari Australia, New Zealand, India, Brazil dan Thailand, yang masing-masing tertakluk kepada keutamaan domestik, suhu politik dan dasar perdagangan mereka sendiri.
Kini, dunia berhadapan dengan ketidakstabilan politik global yang kritikal. Peperangan dan ketegangan yang melibatkan negara rejim Amerika Syarikat (AS) dan Israel menentang Iran bukan sekadar krisis geopolitik, malah mencetuskan ancaman langsung terhadap pasaran tenaga dunia.
Realitinya, sebarang lonjakan harga minyak mentah akibat konflik di rantau tersebut akan mencetuskan kesan domino yang melumpuhkan seluruh pasaran global.
Bermula dengan krisis tenaga dan peningkatan drastik kos logistik, ia merebak dengan pantas menjadi krisis inflasi global. Apabila kos input pertanian seperti baja dan makanan haiwan (dedak) melambung tinggi akibat kos pengeluaran yang meningkat, akhirnya membawa krisis kekurangan bekalan makanan.
Rentetan peristiwa ini secara langsung merobek kedaulatan makanan negara-negara pengimport seperti Malaysia yang terpaksa tunduk kepada harga pasaran yang di luar kawalan.
Bukan itu sahaja, di peringkat serantau, kita menyaksikan kebangkitan semula dasar perlindungan ekonomi. Negara-negara seperti Thailand dan China mula melaksanakan langkah defensif seperti mengehadkan eksport pertanian dan makanan ruji demi memelihara pasaran tempatan mereka daripada krisis inflasi.
Ancaman serampang dua mata ini membuktikan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar meletakkan pengguna halal dalam risiko yang tinggi. Dalam senario ini, makanan bukan lagi sebuah komoditi tetapi menjadi senjata dan aset strategik.
Negara-negara pengeksport akan sentiasa mengutamakan kelangsungan rakyat ketika krisis, meninggalkan negara pengimport seperti Malaysia yang berdepan masalah kekurangan bekalan dan lonjakan harga secara mendadak.
Kuasa-kuasa ekonomi utama menggunapakai langkah tarif dan perdagangan yang menyusun semula aliran makanan global. Hakikat yang mesti diterima secara kritis hari ini ialah akses kepada bekalan makanan halal tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada pasaran antarabangsa yang semakin sukar dijangka.
Sebagai tindak balas, banyak negara mula memikirkan semula bagaimana makanan dihasilkan dan dijamin. Sekuriti makanan kini tidak lagi ditakrifkan sekadar kewujudan bekalan dan harga yang berpatutan tetapi lebih kepada daya tahan dan keupayaan berdikari.
Hal ini merancakkan minat terhadap teknologi makanan alternatif seperti daging kultur, penapaian persis dan pertanian persekitaran terkawal.
Negara seperti Singapura dan Australia melabur secara agresif dalam ekosistem inovasi makanan bagi memastikan jaminan sekuriti protein jangka panjang. Langkah pragmatik ini diambil semata-mata untuk memastikan sistem makanan mereka terus berfungsi walaupun berdepan malapetaka atau konflik global.

HALAL MERENTASI PENSIJILAN
Bagi masyarakat Islam, sekuriti makanan membawa dimensi tambahan. Halal bukan sekadar soal boleh dimakan atau haram tetapi merangkumi elemen halalan toyyiban iaitu kepercayaan, kebolehjejakan dan kesinambungan bekalan.
Pengalaman Malaysia menunjukkan jurang struktur yang besar antara tadbir urus halal yang kukuh berbanding kapasiti pengeluaran tempatan yang terhad, terutamanya bagi daging ruminan halal.
Realiti ini menuntut satu anjakan paradigma yang strategik. Kita mesti berubah daripada sekadar menjadi ‘pengguna dan badan pensijilan’ produk halal dunia, kepada sebuah negara ‘pengeluar halal’ yang teguh dan berdikari.
Teknologi baharu seperti daging kultur yang mematuhi syariah serta sistem perladangan dan pertanian pintar tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar inovasi spekulatif sains tetapi wajar diklasifikasikan sebagai instrumen strategik yang kritikal untuk mempertahankan kelangsungan makanan negara pada masa hadapan.
Dalam masyarakat Islam, makanan berkait rapat dengan budaya, tradisi dan nilai etika. Kaedah pengeluaran moden pastinya akan menimbulkan persoalan syarak berkenaan hukum, etika dan keasliannya.
Secara positifnya, beberapa institusi agama dan pihak berkuasa fatwa di pelbagai negara menunjukkan fleksibiliti teknologi makanan baharu boleh diiktiraf halal asalkan mematuhi prinsip asas Islam.
Namun, penerimaan awam menuntut pendidikan yang berterusan, ketelusan dan dialog terbuka antara saintis, pembuat dasar, institusi agama dan pengguna. Tanpa kesiapsiagaan sosial, inovasi yang mematuhi syarak sekali pun berisiko ditolak oleh masyarakat, bukan atas alasan hukum tetapi akibat krisis persepsi dan tiadanya rasa percaya.
Evolusi ekosistem halal daripada sebuah kerangka pensijilan kepada komponen utama strategi sekuriti makanan mencerminkan peralihan mendesak di peringkat global.
Halal ini mesti difahami bukan sahaja sebagai kewajipan agama tetapi sebahagian daripada pembangunan mampan, daya tahan ekonomi dan kesiapsiagaan pertahanan negara.
Negara yang berjaya menggabungkan tadbir urus halal dengan kapasiti pengeluaran domestik, inovasi sains dan libat urus masyarakat akan berada pada posisi yang jauh lebih ke hadapan untuk mendepani krisis global yang akan datang.
Sebaliknya, mereka yang gagal bertindak akan menyedari sekeping sijil halal langsung tidak mampu mengenyangkan perut rakyat atau melindungi negara di kala dunia dilanda konflik.
Persoalan paling kritikal kita pada masa hadapan bukan lagi sama ada status makanan itu boleh disijilkan halal atau tidak tetapi sama ada makanan halal tersebut mampu dihasilkan, dilindungi dan terus dipertahankan untuk generasi yang akan datang.-UTUSAN
DR. Amarul Arief Mohd. Shuhaimi ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan & Kewangan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.










