Sastera kebangsaan mekar di portal Kavyan

Sastera kebangsaan mekar di portal Kavyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONSEP ‘Sastera Kebangsaan’ yang dirumus pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya pada 1971 menuntut lebih daripada sekadar penggunaan bahasa kebangsaan sebagai wahana pengucapan.

Sebagaimana dihuraikan secara terperinci dalam buku, Kavya Sastra (2021), sastera kebangsaan menuntut keberanian dan kejujuran penulis pelbagai kaum membawa bersama identiti budaya masing-masing untuk disajikan secara jujur dalam karya bahasa kebangsaan.

Dalam konteks ini, cerpen-cerpen yang tersiar di portal Sastera Kavyan memperlihatkan perkembangan signifikan dan menggembirakan kerana berjaya memenuhi tuntutan itu secara organik dan bukan secara dibuat-buat.

Portal itu diusahakan oleh Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) sejak 2020 khusus untuk menyiarkan karya bahasa kebangsaan oleh penulis kaum India. Peranannya bertambah penting susulan tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak membenarkan penulis kaum India menggunakan istilah ‘Tuhan’ dalam karya bagi majalah-majalah terbitannya. 

Portal Sastera Kavyan menjadi medan untuk penulis kaum India menulis tanpa sekatan tentang apa-apa topik yang diminati, sama ada menerusi cerpen, puisi, esei, ulasan atau catatan pengalaman.

Karya yang tersiar sejak Januari lalu membuktikan komitmen dan kejayaan beberapa penulis menghasilkan karya bermutu yang memenuhi kerangka Sastera Kebangsaan sambil mengangkat aspek budaya kaum India.

Cerpen Nafsu Estet karya Malini Lakshmi Bai, misalnya, memperlihatkan bagaimana unsur budaya bukan benda seperti nilai estetik dalam tradisi India dan Hindu diolah secara halus dalam naratif moden.

Konsep keindahan di ladang atau estet yang menjadi latar cerpen ini bukan sekadar berkaitan rupa fizikal, sebaliknya turut mencakupi dimensi rohani dan falsafah yang berakar dalam pemikiran masyarakat India.

Menerusi karya ini, pembaca diperkenalkan kepada cara watak menilai kecantikan berdasarkan pengalaman budaya yang diwarisi, termasuk pengaruh seni klasik India yang sering dikaitkan dengan kesempurnaan bentuk dan keseimbangan emosi.

Unsur ini jelas memperlihatkan budaya sebagai sesuatu yang dipelajari dan dikongsi, selaras kerangka sosiologi kebudayaan dalam konsep Sastera Kebangsaan.

Cerpen Chitrakala oleh M. Mahendran pula mengangkat seni lukis sebagai medium ekspresi budaya. Perkataan chitrakala  merujuk seni visual dalam tradisi India, sekali gus menjadi pintu masuk kepada pembaca untuk memahami hubungan antara seni dan kerohanian dalam budaya India.

Dalam cerpen ini, seni bukan sekadar aktiviti kreatif tetapi juga suatu bentuk ibadah dan refleksi diri. 

Gambaran terhadap motif, warna dan simbol dalam lukisan membuka ruang kepada pembaca pelbagai kaum untuk memahami bagaimana seni berfungsi sebagai wahana menyampaikan nilai, kepercayaan serta pandangan dunia masyarakat India.

Di sini, budaya benda dan bukan benda saling berkait rapat iaitu lukisan sebagai objek fizikal manakala makna simboliknya sebagai manifestasi budaya abstrak.

Sebuah lagi cerpen oleh Mahendran bertajuk Antara Cinta dan Benci turut menampilkan konflik emosi yang berakar pada norma sosial dan nilai kekeluargaan dalam masyarakat India.

Aspek budaya bukan benda seperti konsep maruah keluarga, tanggungjawab terhadap ibu bapa serta peranan tradisi dalam menentukan pilihan hidup menjadi teras kepada konflik dalam cerpen ini.

Pembaca bukan sahaja memahami konflik individu tetapi turut menyedari tekanan sosial yang membentuk tindakan watak. Inilah kekuatan sastera kebangsaan iaitu membuka ruang empati merentas kaum melalui penceritaan yang jujur dan kontekstual.

Cerpen Sari-sari Sutera karya Kamalah Suppiah pula jelas menonjolkan budaya benda melalui penggunaan pakaian tradisional iaitu sari. Namun, sari dalam cerpen ini bukan sekadar pakaian tetapi merujuk simbol identiti, warisan dan kesinambungan budaya.

Cara pemakaian, pemilihan warna serta konteks penggunaan sari dalam majlis tertentu mencerminkan nilai estetika dan norma sosial masyarakat India.

Pada masa sama, sari juga membawa makna emosi iaitu menghubungkan watak dengan kenangan, keluarga dan akar budaya mereka.

Di sinilah kita melihat bagaimana objek fizikal (sari) mampu memuatkan makna budaya yang kompleks dan berlapis dalam sebuah karya sastera bermutu.

Keempat-empat cerpen ini membuktikan kemampuan penulis kaum India mengangkat budaya sendiri dalam karya bahasa kebangsaan untuk dinikmati dan dihayati pembaca pelbagai kaum.

Mahendran, Malini dan Kamalah tidak sekadar menterjemahkan pengalaman budaya kaum India ke dalam karya bahasa kebangsaan. Sebaiknya, mereka turut menyesuaikan naratif supaya dapat diakses oleh khalayak dari pelbagai latar belakang.

Karya seperti ini tentu sahaja memberi sumbangan besar kepada pembentukan identiti kebangsaan yang bersifat inklusif sebagaimana diharapkan dan ditekankan sewaktu konsep Sastera Kebangsaan diperkenalkan 55 tahun lalu.

Lebih penting lagi, karya-karya ini membantu mengatasi batas etnosentrisme dengan memperkenalkan perspektif emik iaitu pandangan dari dalam budaya itu sendiri.

Pembaca bukan kaum India diberi peluang untuk ‘melihat dari dalam’ lalu memahami rasional di sebalik adat, kepercayaan dan amalan yang mungkin sebelum ini dianggap asing.

Proses ini secara langsung menyumbang kepada pembentukan sikap relativisme budaya yang mana perbezaan tidak lagi dilihat sebagai halangan tetapi sebagai kekayaan yang perlu dihargai.

 

JAMBATAN SUBBUDAYA

 

Dalam kerangka perpaduan kebangsaan, sumbangan karya seperti ini amat signifikan. Sastera Kebangsaan berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai subbudaya dalam masyarakat majmuk.

Apabila pembaca pembaca pelbagai kaum dapat memahami kehidupan dan pemikiran antara satu sama lain melalui karya sastera, maka terbinalah asas persefahaman yang lebih kukuh.

Ternyata cerpen-cerpen di portal Sastera Kavyan membuktikan gagasan Sastera Kebangsaan bukan sekadar idealisme pascakolonial, sebaliknya realiti yang sedang berkembang.

Penulis pelbagai kaum, khususnya kaum India, menunjukkan kemampuan menyumbang secara bermakna dengan menampilkan identiti budaya sendiri dalam karya bahasa kebangsaan.

Karya-karya di portal ini bukan sahaja memperkaya khazanah sastera kebangsaan, malah turut memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman dan perpaduan kaum menerusi karya sastera bermutu.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN