LONDON: Pengurus sementara Chelsea, Calum McFarlane memuji semangat juang dan semangat juang tinggi anak buahnya selepas bangkit menewaskan Leeds United 1-0 pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley, kelmarin.
Kemenangan itu hadir dalam suasana penuh tekanan buat The Blues yang sebelum ini bergolak susulan pemecatan Liam Rosenior, hanya tiga bulan selepas beliau dilantik mengemudi pasukan.
Prestasi hambar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi punca utama kejatuhan Rosenior apabila Chelsea tewas dalam lima perlawanan terakhir tanpa menjaringkan sebarang gol, satu rekod terburuk kelab sejak tahun 1912.
Rentetan prestasi buruk itu, ia bukan sahaja meranapkan peluang Chelsea untuk memburu slot Liga Juara-Juara musim depan, malah turut dikaitkan dengan hubungan dingin antara Rosenior dan beberapa pemain utama.
Kehadiran McFarlane yang sebelum ini berada dalam barisan kejurulatihan berjaya menyuntik nafas baharu apabila Chelsea tampil lebih tersusun dan berdisiplin.
“Kami berdepan tekanan hebat dan terpaksa bertahan ketika mereka menyerang tanpa henti. Namun, apa yang paling menggembirakan saya ialah karakter dan ketabahan yang ditunjukkan pemain.
“Saya dapat lihat keinginan kuat mereka untuk menang serta kesungguhan yang dipamerkan demi memastikan kemenangan dalam perlawanan penting buat kelab,” katanya.
Chelsea kini kembali ke pentas final Piala FA buat kali pertama sejak 2022 dan berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2018 apabila dijadual berdepan Manchester City pada 16 Mei ini.
“Kelegaan adalah perkataan paling tepat. Kami yakin sebelum perlawanan. Kami mengharungi tiga hari yang baik tetapi anda tidak pernah tahu. Kami mahu mengubah momentum; prestasi kami tidak begitu baik.
“Kami tahu Leeds akan melihat kami sebagai pasukan yang terdedah. Kami sendiri sedar berada dalam keadaan sedikit rapuh tapi pemain-pemain membuktikan mereka mampu mengubah persepsi itu,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










