LONDON: Pemain tengah Chelsea, Moises Caicedo mahu membalas kepercayaan Xabi Alonso dengan memainkan peranan lebih besar sebagai pemimpin di atas padang.
Caicedo membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Alonso selepas pulih daripada kecederaan ketika Chelsea membelasah Bournemouth 5-1, Sabtu lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu adalah anggota kumpulan kepimpinan Chelsea di pusat latihan Cobham, namun dia mahu lebih menonjolkan pengaruhnya ketika beraksi.
“Bersama Alonso, saya pasti akan terus berkembang dan membuktikan kepadanya mengapa dia mempercayai saya. Saya akan berikan komitmen terbaik di atas padang untuk pasukan.
“Saya rasa setiap jurulatih memberitahu saya bahawa saya boleh memperbaiki komunikasi di atas padang. Mereka tahu saya seorang pemimpin, tetapi saya akan menjadi lebih baik jika mula lebih banyak berkomunikasi dengan rakan sepasukan.
“Saya cuba melakukan yang terbaik, tetapi bercakap bukanlah sifat semula jadi saya. Jadi, apabila saya tidak mampu berbuat demikian, saya cuba menunjukkan lebih banyak melalui tindakan.
“Anda belajar daripada pemain terdahulu seperti Thiago Silva yang menjadi contoh kepada kami. Dia sentiasa cuba membantu kami dalam setiap keadaan. Cara dia memimpin di sini sangat mengagumkan kami semua.
“Walaupun saya bukan pemain yang gemar bercakap, saya lebih suka menunjukkan melalui tindakan supaya orang lain dapat melihat contoh yang saya berikan,” kata Caicedo.
Chelsea, yang berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Manchester City, akan menentang Everton, hari ini.- AGENSI
KAPSYEN
MOISES CAICEDO











