JDT selangkah ke final, Selangor belum selamat

JDT selangkah ke final, Selangor belum selamat

Penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (dua dari kanan) melompat untuk menangkap bola ketika diasak pemain Kuching City FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin. Selangor mencatat kemenangan 2-1. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di landasan terbaik untuk mempertahankan dominasi Piala FA ketika kelebihan tipis Selangor FC belum cukup menjamin kemaraan ke final.

Berbekalkan kemenangan 2-0 ke atas DPMM FC pada aksi pertama separuh akhir meletakkan JDT lebih meyakinkan menjelang pertemuan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 November ini.

Sebagai juara bertahan, Harimau Selatan bukan sahaja memiliki kelebihan dua gol, malah bakal beraksi di laman sendiri, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap DPMM yang perlu mencari jalan untuk merapatkan jurang berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, Selangor berdepan tugas lebih mencabar selepas hanya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.

Kelebihan satu gol itu belum memberikan jaminan buat skuad kendalian Kim Pan Gon, terutama apabila mereka perlu beraksi di gelanggang lawan pada perlawanan timbal balik di Stadium Taha Ariffin.

Malah, Kuching City masih memiliki peluang mengubah keputusan keseluruhan, dengan kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menghidupkan peluang ke final.

Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani, menganggap JDT sebagai pilihan utama untuk mara ke final berdasarkan kelebihan dua gol yang dimiliki, manakala perebutan satu lagi slot dijangka lebih terbuka antara Selangor dan Kuching City.

“Peluang JDT boleh dikatakan dalam 90 hingga 95 peratus kerana mereka sudah mendahului 2-0. DPMM perlu menjaringkan tiga gol untuk menang. Susah juga sebab main tempat orang. Dari segi kelebihan, Selangor ada lebih satu gol, tetapi macam-macam boleh berlaku. Kita tunggu 90 minit, baru tahu siapa menang dan siapa kalah. Main di Kuching bukan senang juga,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini