BAGI penyanyi Syamel, kejayaan bukan semata-mata tentang sejauh mana seseorang mampu melangkah ke puncak, tetapi juga tentang bagaimana dia mengendalikan diri ketika berada di atas mahupun ketika berdepan saat paling sukar dalam kehidupan.
Selepas bertahun-tahun membina nama dalam industri muzik, suami kepada penyanyi Ernie Zakri itu semakin menyedari bahawa ada perkara dalam kehidupan yang tidak boleh diperoleh hanya dengan wang ringgit, perhatian atau pengiktirafan. Antaranya adalah ketenangan.
Bagi Syamel, kemampuan untuk kekal tenang dalam apa-apa jua keadaan merupakan antara perkara paling berharga yang dipelajarinya sepanjang perjalanan sebagai penyanyi.
Malah, ketenangan yang dimaksudkan bukan sekadar kemampuan menyembunyikan keresahan daripada pandangan orang lain, tetapi kebijaksanaan untuk berfikir secara waras ketika emosi dan keadaan sekeliling mula menguasai diri.
“Sebagai anak seni, saya belajar satu perkara yang memberikan kesan, iaitu seni untuk menjadi tenang dalam semua situasi. Kadangkala, apabila kita berasa diri kita tidak lagi relevan, orang akan kelam-kabut dan panik. Begitu juga apabila seseorang mendapat perhatian yang sangat hebat, dia belum tentu mampu bertenang.
“Jadi, bagaimana kita hendak menjadi tenang dalam apa-apa jua situasi, sama ada ketika menghadapi kesusahan ataupun ketika diberikan perhatian yang luar biasa? Kedua-dua situasi itu boleh menjatuhkan kita sekiranya kita tidak mampu menguasai seni untuk menjadi tenang.
“Bagi saya, ketenangan adalah sesuatu yang sangat berharga untuk difahami. Kita perlu belajar bagaimana hendak kekal tenang, sama ada ketika berada di kedudukan paling rendah mahupun paling tinggi. Jika kita mampu menguasai seni ketenangan dalam kedua-dua keadaan itu, kita akan lebih bersedia menghadapi apa-apa yang mendatang,” katanya.

Syamel mengakui, kejutan budaya juga boleh berlaku apabila seseorang tiba-tiba mendapat segala-galanya yang selama ini diimpikan. Lagu menjadi popular, media mula memberikan perhatian, wajah menghiasi muka depan akhbar dan tawaran kerja datang bertali arus.
Namun, tanpa ketenangan, semua itu boleh menyebabkan seseorang terlalu teruja sehingga akhirnya melakukan kesilapan.
Begitu juga ketika berdepan kegagalan, kekecewaan atau kemurungan. Ketidakupayaan mengawal diri ketika berada dalam keadaan tertekan boleh menyebabkan seseorang semakin tenggelam dalam masalahnya sendiri.
“Ketenangan itu perlu dilatih. Walau sebanyak mana pun wang yang kita miliki, hatta menjadi orang terkaya di dunia sekalipun, kita tetap tidak boleh membeli ketenangan. Kita perlu mencari ilmu dan belajar bagaimana hendak menjadi tenang,” jelasnya.
Ketakutan paling besar
Sebenarnya, ada satu lagi perkara yang diakui lebih menakutkan buat Syamel sebagai anak seni, kehilangan percikan semangat untuk terus menyanyi dan menghasilkan karya.
Baginya, soal tidak lagi relevan dalam industri bukanlah perkara yang paling membimbangkan. Sebaliknya, kehilangan keinginan untuk berkarya merupakan kebimbangan yang lebih besar kerana muzik bukan sekadar kerjayanya, malah menjadi sumber kepuasan diri.
Hakikatnya, perjalanan seseorang penyanyi tidak sentiasa dipenuhi kejayaan. Ada lagu yang mendapat sambutan, ada karya yang tidak mencapai hasil seperti diharapkan dan ada usaha yang memerlukan percubaan berulang kali sebelum membuahkan hasil.
Dalam keadaan begitu, Syamel memilih untuk tidak meletakkan kejayaan sebagai satu-satunya ukuran bagi menentukan sama ada dia perlu meneruskan perjuangan atau sebaliknya.

“Kadangkala, perkara itu terlintas juga dalam fikiran. Jadi tertanya-tanya, ‘Apa yang aku hendak berikan kepada keluarga aku untuk makan?’ Pada masa sama, kepuasan diri saya juga datang daripada muzik.
“Kadangkala, percubaan pertama tidak menjadi, percubaan kedua juga tidak menjadi. Jika percubaan kesepuluh masih tidak menjadi, kita tidak tahu, mungkin percubaan kesebelas akan berjaya. Jadi, saya sentiasa berharap agar dorongan itu terus ada kerana tidak semestinya setiap kali kita menghasilkan sesuatu, hasilnya mesti berjaya.
“Bukan semua lagu artis terkenal pun dikenali ramai. Akan ada satu atau dua lagu yang benar-benar berjaya. Sebab itulah saya merasakan kita tidak boleh berputus asa,”katanya.
Baginya, percikan semangat itu bukan sesuatu yang sentiasa berada dalam kawalan seseorang. Ada kalanya, perasaan boleh berubah tanpa diduga. Namun, seseorang masih boleh berusaha agar perubahan tersebut tidak menyebabkan dirinya terus menjauh daripada perkara yang dicintai.
Dalam konteks kerjaya muzik, semangat itulah yang mendorongnya untuk terus menghasilkan lagu meskipun hasilnya tidak semestinya menepati jangkaan.
Hajat tercapai
Dalam pada itu, selepas kira-kira sedekad berada dalam industri, Syamel kini melangkah ke satu lagi fasa penting menerusi pelancaran album pertamanya.
Bagi penyanyi itu, album berkenaan menjadi ruang untuk memperkenalkan kekuatan dan identiti muzik yang selesa dibawanya, khususnya menerusi lagu-lagu balada.
Dengan susunan muzik yang lebih minimalis, Syamel mahu memberikan ruang kepada vokalnya dan penghayatan lirik untuk menjadi tumpuan pendengar.

Bersama Universal Music, lagu Cukup Sekali dipilih sebagai lagu fokus daripada album tersebut. Menariknya, selepas sebulan dilancarkan, lagu itu mula menerima maklum balas positif, termasuk apabila semakin ramai pendengar menghasilkan versi nyanyian semula.
Syamel melihat perkembangan itu sebagai petanda yang menggalakkan, lebih-lebih lagi apabila jumlah pendengar dari Indonesia turut menunjukkan peningkatan selepas Malaysia.
“Walaupun sudah beberapa tahun berada dalam industri, memandangkan ini album pertama Syamel, saya mahu memperkenalkan kekuatan dan keselesaan saya dalam bermuzik kepada orang ramai. Kebanyakan lagu dalam album ini sememangnya berkonsepkan balada.
“Saya mengambil pendekatan dengan susunan muzik yang sangat minimalis supaya saya dapat mengetengahkan keupayaan vokal dan isi kandungan lagu itu sendiri. Daripada semua lagu dalam album ini, saya dan Universal Music bersetuju untuk menjadikan Cukup Sekali sebagai lagu fokus.
“Alhamdulillah, sudah ramai yang membuat versi nyanyian semula dan memberikan maklum balas positif. Apabila kami membuat penilaian semula, semuanya menunjukkan peningkatan. Apa yang mengejutkan, jumlah pendengar dari Indonesia turut meningkat dan selepas Malaysia, Indonesia merupakan pasaran terbesar bagi lagu ini,” katanya.











