AS silap strategi cetus perang Iran?

AS silap strategi cetus perang Iran?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGURUS Iran tidak mudah bagi Amerika Syarikat (AS) sejak dahulu lagi dan bukannya hanya ketika era pentadbiran Donald Trump.

Pada 1977, Presiden AS ketika itu, Jimmy Carter boleh dikatakan mengangkat Iran dan memuji negara tersebut sebagai pulau yang penuh keamanan.

Bagaimanapun, selepas lebih kurang seminggu, pujian tersebut disalah anggap rakyat Iran dan protes besar-besaran diadakan sehingga berlaku penyingkiran presiden pada masa itu, Mohammad Reza Pahlavi.

Pada ketika inilah beberapa pegawai tinggi AS termasuk dutanya ketika itu William Sullivan, melihat Ayatollah Ruhollah Khomeini bukan sebagai ancaman besar tetapi seorang tokoh agama yang mungkin memainkan peranan sebagai pemimpin berpengaruh dan bersifat sederhana.

Ayatollah Ruhollah kemudiannya diangkat memimpin Iran selepas berada dalam buangan.

Namun, ia sebenarnya satu keputusan yang silap buat AS. Iran dibawah pimpinan Ayatollah Ruhollah menubuhkan sebuah pemerintahan teokratik yang mengubah arah negara itu secara drastik.

Negara terbabit yang merupakan sekutu rapat AS pada masa itu tiba-tiba berubah menjadi negara yang menentang Barat dengan sistem pemerintahan berasaskan agama, dengan kuasa tertinggi di tangan seorang ulama.

Perkara sama berlaku lagi kali ini. AS telah terjerumus dan buntu dengan tindakannya bersama Iran.

Malah boleh dikatakan Trump terperangkap sehinggakan Iran dilihat mempunyai kelebihan dengan mengawal laluan Selat Hormuz.

Berdasarkan laporan The Economist, negara dibawah pimpinan Mojtaba Khomenei itu kini memperoleh hampir dua kali ganda pendapatan harian daripada minyak berbanding sebelum perang, antaranya harga minyak yang lebih tinggi.

Walaupun Trump menyatakan hasrat untuk menamatkan perang, Iran turut mempunyai kuasa dan hak dalam menamatkan konflik tersebut.

Kenyataan Trump mengenai Iran juga sudah banyak berubah-ubah. Walaupun beliau semakin kurang bercakap tentang hasrat untuk merampas Pulau Kharg, amaran keras tetap keluar daripada mulut beliau termasuk ancaman untuk mengebom Iran ‘kembali ke zaman batu’ sebelum ini.

Kenyataan Trump menimbulkan satu persoalan besar. Sejauh mana kesan tindakan tersebut dapat dilihat terutama apabila ia melibatkan sasaran infrastruktur awam yang semestinya sebagai satu jenayah perang?

Lebih membimbangkan, sebarang serangan sedemikian berisiko mencetuskan tindak balas balas daripada Iran dan ini pastinya melibatkan infrastruktur penting seperti loji minyak, sekali gus menggugat kestabilan ekonomi global.

Sekarang, Trump dilihat cuba mengalihkan pandangan antarabangsa yang sebelum ini melihat pembukaan semula Selat Hormuz dibawah tanggungjawabnya. Beliau menggesa pula negara lain untuk mendapatkan minyak sendiri.

AS tahu jika Iran terus menguasai Selat Hormuz dengan mengenakan kadar tol tinggi serta menyekat kapal yang mempunyai kaitan dengan AS dan sekutunya, kesannya sangat besar.

Selain melemahkan kedudukan AS, langkah itu turut mengukuhkan pengaruh Iran di samping memberi tekanan hebat kepada ekonomi dunia.

Kapal-kapal AS tidak terkecuali termasuk berisiko terkandas tanpa dibenarkan keluar dari Selat Hormuz.

Saya sempat melihat laporan Reuters yang menyatakan Iran berpotensi meraih sehingga AS$500 bilion (RM1.97 trilion) dalam tempoh kira-kira empat tahun hanya dengan mengutip tol jika mereka mahu berbuat demikian.

Lebih parah sekiranya hasil tersebut disalurkan kepada pembangunan ketenteraan. Ini semestinya menjadikan Iran muncul sebagai antara lima kuasa ketenteraan terbesar dunia dari segi bajet.

Pendekatan yang tidak konsisten ini menimbulkan persoalan tentang hala tuju sebenar dasar tersebut.

Di samping itu, tindakan AS yang menyasarkan Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei serta tokoh keselamatan kanan, Ali Larijani juga satu kesilapan.

Ketiadaan mereka membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang dilihat lebih agresif.

 

BERORIENTASI KETENTERAAN

Sebelum ini, ada pihak melihat terdapat kemungkinan tokoh yang lebih sederhana seperti Hassan Khomeini atau Hassan Rouhani memainkan peranan lebih besar.

Namun perkara sebaliknya berlaku selepas pelantikan Mojtaba. Ada pandangan melihat ia satu perkembangan yang boleh meningkatkan pengaruh Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dalam struktur kepimpinan negara.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Iran kini berpotensi bergerak ke arah pemerintahan yang lebih berorientasikan ketenteraan sebagaimana Korea Utara.

Implikasinya besar. Negara yang sebelum ini dipengaruhi ulama kini mungkin lebih dikuasai oleh golongan tentera, dengan pendekatan yang lebih tegas dan berpotensi menindas.

Lebih membimbangkan, keazaman untuk memiliki senjata nuklear mungkin semakin meningkat.

Jika konflik ini berakhir tanpa perjanjian damai yang komprehensif termasuk mekanisme pemeriksaan nuklear dan had pembangunan uranium, risiko Iran menjadi kuasa nuklear dalam tempoh lima tahun akan datang tidak boleh dipandang ringan.

Dalam keadaan ini, pilihan terbaik yang masih ada ialah melalui rundingan damai. Pelan lima perkara yang dicadangkan Pakistan boleh dijadikan asas, namun usaha ini dijangka sukar memandangkan Iran melihat dirinya berada pada kedudukan yang lebih kukuh.

Akhirnya, konflik ini sangat mudah mencetuskan krisis, tetapi amat sukar untuk merungkainya.

Trump kini perlu sangat berhati-hati. Ia mengingatkan saya kepada satu peribahasa lama: ‘Seperti menarik rambut di dalam tepung’. –UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×