JEREZ: Pelumba Gresini Racing, Alex Marquez mengakui tidak mempunyai jawapan terhadap prestasi luar biasanya apabila mendominasi Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez, kelmarin.
Naib juara dunia musim 2025 itu sebelum ini tidak meletakkan harapan tinggi untuk mengulangi kejayaan di litar berkenaan selepas memulakan kempen 2026 dengan sukar dengan jentera Ducati GP26.
Alex bangkit daripada kedudukan kelima di grid untuk mendahului perlumbaan seawal pusingan kedua menewaskan Marco Bezzecchi sekali gus mengakhiri penguasaan pelumba Aprilia itu yang memenangi tiga GP sebelum ini.
“Apa yang berlaku? Soalan yang bagus. Saya sendiri tiada jawapan. Sejak hari Jumaat, saya sudah berasa sangat laju, tetapi saya tidak tahu kenapa,” katanya.
Menurut Alex, dia hanya memberi tumpuan kepada aspek positif jentera serta berusaha mengatasi kelemahan yang dihadapi sepanjang tiga perlumbaan awal musim ini.
“Kami perlu menganalisis apa yang berbeza hujung minggu ini. Saya hanya fokus kepada perkara positif dan cuba memaksimumkan potensi motosikal.
“Memang tidak dijangka tetapi apabila saya berada di tempat kedua pada pusingan pertama, saya tahu peluang itu ada dan perlu dimanfaatkan,” katanya.
Tambahnya, keputusan untuk memotong abangnya, Marc Marquez menjadi titik perubahan sebelum dia mengawal perlumbaan tanpa melakukan kesilapan. – AFP/UTUSAN










