PETALING JAYA: Bahang pertemuan antara Malaysia dan Vietnam semakin memuncak apabila perang psikologi mula dilancarkan menjelang perlawanan kedua-dua pasukan itu dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027, esok.
Perang saraf itu bermula apabila pengendali Vietnam, Kim Sang-sik mula mendedahkan bahawa pasukannya berdepan masalah kecergasan dalam kalangan pemain utama skuad Naga Emas itu.
Penyerang utama Vietnam, Ngyuen Xuan Son dilaporkan belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya manakala jurulatih dari Korea Selatan itu turut memaklumkan Nguyen Quang Hai berada dalam keadaan 50-50 untuk diturunkan esok.
Situasi itu jelas menunjukkan Vietnam cuba menyembunyikan kekuatan pasukan selepas mereka mengasah taring dengan membelasah Bangladesh 3-0 pada minggu lalu dalam satu persahabatan.
Sementara itu, menurut pemerhati bola sepak negara, Datuk Pekan Ramli, perang saraf ini dianggap normal malah sudah menjadi lumrah sebelum berlangsungnya perlawanan besar.
Katanya, adalah mustahil untuk Vietnam tidak menyediakan skuad terkuat mereka bagi menghadapi Malaysia memandangkan penting untuk skuad Naga Emas mendapatkan kemenangan di laman sendiri.
“Jangan yakin sangat dengan berita yang Vietnam mengatakan pemain mereka tak cergas atau cedera. Bola sepak ini sukan 11 lawan 11 jadi mereka pasti ada pemain gantian yang sama handalnya,” katanya. – UTUSAN










