‘Saya penyokong nombor satu Hamzah, sedia dipecat’

‘Saya penyokong nombor satu Hamzah, sedia dipecat’

KHLIR MOHD. NOR 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERGELUTAN dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin terbuka. Apa yang sebelum ini mungkin hanya berlegar dalam mesyuarat tertutup atau perbualan dalaman, kini dilontarkan secara terbuka kepada umum. 

Situasi ini seolah-olah membuka pekung di dada apabila pelbagai kelemahan, ketidakpuasan hati dan keretakan dalam parti didedahkan tanpa berselindung.

Kenyataan beberapa pemimpin yang secara terang-terangan mempersoalkan kepimpinan parti bukan sahaja menggambarkan wujudnya krisis kepercayaan, malah memperlihatkan perpecahan yang semakin sukar disatukan. 

Lebih menarik perhatian apabila Ahli Parlimen Ketereh, DATUK KHLIR MOHD. NOR  berani dan lantang menyatakan sokongan penuh terhadap bekas Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Malah dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR, beliau mengakui hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Kemelut dalaman parti itu memuncak dengan 17 pemimpin dipecat termasuk Hamzah, manakala Khlir sebelum ini turut mengesahkan beliau antara yang menandatangani akuan bersumpah (SD) mendesak Muhyiddin berundur.

Khlir termasuk 19 ahli Parlimen yang dipecat keahlian dan menghadiri Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Hamzah. 

Episod yang sedang berlaku ini bukan sahaja menguji kekuatan organisasi  parti  malah membuka persoalan lebih besar tentang masa hadapan Bersatu dalam landskap politik negara yang semakin bergantung kepada gabungan dan kesetiaan politik yang sentiasa berubah.


UTUSAN : Adakah Datuk bercadang untuk menyertai parti yang bakal dipimpin Hamzah?

KHLIR : Apa sahaja tindakan yang ingin kita buat perlu menunggu sehingga Parlimen bubar. 

Kita tengoklah dulu sama ada saya ikut Hamzah atau tidak. Ini kerana saya perlu menilai terlebih dahulu termasuk dalam hal memilih untuk menyertai mana-mana parti.

Tetapi apa pun, saya memang penyokong nombor satu Hamzah. 

Bagi saya, sebenarnya lebih baik parti yang Hamzah sertai bersama di bawah payung Perikatan Nasional (PN) kerana  tidak ada mana-mana parti yang boleh bergerak sendiri ketika ini berdasarkan situasi politik semasa.  Kerana itu, macam mana pun perlu bergabung.

 

Mengapa memilih untuk berada dalam kem Hamzah? Adakah kerana tidak yakin dengan Bersatu?

 Saya tidak yakin langsung dengan Bersatu. Selagi Muhyiddin menerajui parti, selagi itu saya dan ramai lagi ahli hilang kepercayaan terhadap parti ini.

Sekarang pun Muhyiddin ‘melalak’ sana sini bercakap tentang isu ketua pembangkang. Beliau kata Hamzah tidak boleh jadi ketua pembangkang tetapi tidakkah beliau tahu jawatan tersebut merupakan pilihan ahli Parlimen?

Muhyiddin adalah seorang ahli politik yang sudah lama berkecimpung dalam dunia ini, mustahillah perkara seperti ini tidak tahu.

Sekali pun beliau tidak menyukai Hamzah, janganlah terlalu marah sehingga merosakkan parti. Habis semua orang mahu dipecat dan gantung. Beliau sehingga berkata kalau tinggal seorang pun tidak mengapa. 

Muhyiddin merupakan pengasas parti ini tetapi jika dilihat ketika ini, beliau seperti ‘koyak’.

 

Adakah Datuk kerap bertemu Hamzah dan merancang sesuatu yang lebih baik untuk karier politik?

Sekarang ini saya memang selalu berhubung dengan Hamzah. Saya tidak kira apa pun, saya memang penyokong kuat Hamzah. Dulu Hamzah cakap pada Muhyiddin yang beliau merupakan penyokong nombor satu presiden, kan?  Sekarang saya ingin bagitahu,  saya adalah penyokong nombor satu Hamzah.

 

 

PEMECATAN Hamzah Zainuddin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat telah menjejaskan kestabilan parti itu kerana telah mewujudkan dua kem.

 

Datuk kata sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin dan beralih sokongan kepada  Hamzah, mengapa berpihak kepada Ketua pembangkang itu? 

Satu yang saya lihat pada Hamzah, beliau seorang yang ikhlas dalam perjuangan.

Bila parti ini sudah berpecah pecah, saya akan ikut beliau walaupun apa yang terjadi. Sebab bagi saya perjuangan beliau betul. 

Bagaimana Muhyiddin boleh kata Hamzah mahu rampas kuasa? Pelik betul. 

Jika benar Hamzah mahu rampas kuasa, pastinya sudah lama beliau sertai Pakatan Harapan (PH) atau UMNO tetapi beliau tidak buat begitu, sebaliknya masih setia dengan parti. 

 

Datuk bersuara agak lantang dan tanpa takut menyatakan sokongan kepada Hamzah, tidak takut dipecat? 

Berdasarkan apa yang berlaku ketika ini,  saya sedia dipecat. Walaupun nampak kenyataan ini agak ‘berlagak’ tetapi saya reda dengan apa yang berlaku dan akan terjadi. Ini kerana saya tetap yakin dengan perjuangan Hamzah yang benar-benar untuk agama, bangsa dan negara. 

 

Komen tentang Hamzah yang akan memimpin Parti Keluarga Malaysia?

Saya tidak berapa pasti tentang parti baharu ini kerana semuanya masih berada di peringkat rundingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN