Bersatu tetap dipertahan walaupun saya seorang

Bersatu tetap dipertahan walaupun saya seorang

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sebelum ini dikenali sebagai penyokong nombor satu TAN SRI MUHYIDDIN
YASSIN, kini digambarkan sebagai musuh nombor satu presiden. Perubahan drastik ini menimbulkan persoalan tentang kejujuran dan integriti, kerana beliau pernah diberi
kepercayaan penuh, namun tindakan berunding di luar mandat parti menimbulkan risiko disiplin dan reputasi Bersatu.

Muhyiddin dalam wawancara khas bersama beberapa media, yang turut disertai wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR memberitahu tindakan memecat Hamzah dan 16 ahli lain tidak dilakukan sewenang-wenangnya tetapi melalui Lembaga Disiplin demi mengekalkan kestabilan dan integriti organisasi.

Dalam wawancara yang turut disertai jurufoto, FAUZI BAHARUDIN dan juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL, beliau yang juga ahli Parlimen Pagoh berkata tindakan itu bukan soal menyelamatkan diri sendiri, tetapi menyelamatkan parti daripada hancur.

Katanya, beliau sebagai individu tidak lagi penting kerana perti lebih utama. Sebab itu beliau tidak boleh berdiam diri jika ahli bertindak sesuka hati, menyerang parti dari dalam dan
mencetuskan perpecahan.

“Jika saya berdiam, itu bukan kebijaksanaan, itu kegagalan tanggungjawab. Saya akan terus pertahankan Bersatu walaupun tinggal seorang,” katanya.


UTUSAN: Apa sebenarnya yang berlaku sehingga Datuk Seri Hamzah dan 16 ahli Parlimen dipecat?

MUHYIDDIN: Untuk memahami situasi ini, kita perlu melihat perjalanan parti sejak awal penubuhannya. Sejarah Bersatu sebenarnya tidak panjang kerana parti ini ditubuhkan pada 2016, belum pun mencecah 10 tahun. Namun dalam tempoh itu, perjalanan parti berkembang dengan amat baik walaupun melalui pelbagai cabaran politik.

Penubuhan sebuah parti politik bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila diasaskan selepas penyingkiran daripada UMNO. Ketika itu, perjuangan lama dianggap sudah berakhir dan perlu diteruskan melalui wadah baharu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pemimpin lain.

Bersatu melalui pelbagai episod politik termasuk pilihan raya umum (PRU), pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN). Sebagai parti baharu, pencapaian memperoleh 61 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dianggap rekod penting dalam sejarah politik Malaysia.

Perjuangan Bersatu sejak awal berteraskan usaha membela bangsa, agama dan negara, khususnya orang Melayu serta umat Islam. Namun perjuangan politik tidak boleh digerakkan secara bersendirian. Atas sebab itu, langkah strategik seterusnya ialah menubuhkan Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan politik yang lebih besar.

Kekuatan parti bukan hasil usaha individu semata-mata tetapi gabungan sokongan pimpinan dan akar umbi. Namun kebelakangan ini muncul beberapa isu yang menimbulkan ketidaktentuan dalam parti. Ia bukan sekadar persoalan kepimpinan tetapi melibatkan usaha memecah belahkan organisasi, merenggangkan hubungan antara pimpinan tertinggi dan ahli di peringkat akar umbi melalui gerakan yang dilihat agak terancang.

Adakah saya tidak sedar apa yang berlaku? Sudah tentu saya sedar. Sebagai seorang ahli politik yang lama terlibat dalam perjuangan, saya belajar banyak daripada sejarah politik negara. Menguruskan konflik dalaman tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau emosional. Kita tidak boleh gopoh. Sebaliknya, perlu mengambil masa, memahami keadaan dan berusaha mencari penyelesaian terbaik.

Sejak awal lagi, pelbagai usaha dilakukan bagi mengelakkan perkara yang boleh merosakkan parti atau menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan ahli. Saya kerap berbincang dengan Hamzah, sama ada dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, Biro Politik ataupun melalui pertemuan rasmi dan tidak rasmi. Kami mengenal pasti masalah satu persatu dan berusaha mencari jalan perdamaian.

Walaupun usaha dilakukan secara bersungguh-sungguh, pihak tertentu dilihat mempunyai agenda tersendiri. Saya melihat ada kecenderungan yang tidak memberi manfaat kepada parti, malah berpotensi memecahbelahkan kepimpinan dan akar umbi.

Jika sesuatu langkah benar-benar untuk kebaikan parti, saya tidak pernah menolak. Saya tidak pernah menganggap diri mempunyai hak untuk memonopoli kepimpinan. Namun apabila wujud muslihat, perancangan tertentu dan pelbagai cerita mengenai keinginan untuk cepat naik atau mengejar jawatan perdana menteri, keadaan itu tidak boleh dibiarkan.

Pecat Hamzah dan beberapa pemimpin merupakan keputusan Tan Sri?

Tidak. Dalam parti, terdapat prosedur dan proses disiplin yang jelas. Tindakan bukan dibuat oleh individu tetapi melalui mekanisme parti yang telah ditetapkan.

Presiden tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membuang mana-mana ahli sesuka hati. Perlembagaan parti menetapkan tindakan disiplin hanya boleh dibuat melalui Lembaga Disiplin. Jika terdapat laporan bertulis yang sahih dan mempunyai bukti jelas seseorang ahli melanggar perlembagaan parti, tata susila atau prinsip perjuangan, barulah lembaga tersebut meneliti dan mengambil tindakan.

 

Bersatu seperti ‘kapal sudah karam’. Komen?

Bersatu masih kukuh secara relatif. Jika benar parti sudah karam, berapa ramai ketua bahagian atau ahli yang meninggalkan parti secara besar-besaran? Berapa ramai ahli Parlimen atau ADUN yang keluar? Hakikatnya, majoriti kepimpinan dan akar umbi masih bersama parti.

Sudah tentu episod seperti ini memberi kesan tertentu dan kita tidak menafikannya. Namun kepimpinan sedang berusaha memperkukuh semula organisasi serta memperbaiki imej parti di mata masyarakat. Kita mahu rakyat melihat Bersatu masih mampu bekerja secara berpasukan dalam gabungan yang lebih besar.

 

Hubungan dengan Pas setakat ini?

Masih baik dan stabil. Pas kekal bersama gabungan ini. Dalam beberapa pertemuan terkini, termasuk komunikasi bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang, beliau sendiri menegaskan PN perlu dipertahankan.

Kebijaksanaan itu penting kerana pengalaman politik menunjukkan bergerak secara bersendirian bukan pilihan mudah. Parti yang bergerak solo berdepan cabaran besar untuk mendapatkan sokongan mencukupi dalam pilihan raya. Oleh itu, gabungan perlu dipertahankan demi kekuatan bersama.

 

Ada yang kata Pas lebih cenderung dengan pihak tertentu di luar gabungan. Komen?

Spekulasi seperti itu tidak tepat. Perbezaan pandangan memang wujud dalam mana-mana parti politik, namun ia tidak bermaksud gabungan akan berpecah. Dalam politik, kita perlu bersabar, banyak mendengar dan sentiasa berbincang untuk mencari penyelesaian terbaik.

Yang penting, hubungan antara parti dalam PN kekal baik dan keputusan bersama terus dibuat secara kolektif demi menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.

 

Ada yang akan dipecat lagi selepas ini?

Saya tidak mahu membuat ramalan. Tidak elok kita bercakap seolah-olah tindakan disiplin adalah matlamat. Tetapi prinsipnya jelas, jika ada perlakuan atau tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan, undang-undang parti atau tata susila dan jika ada laporan bertulis yang sahih, maka Lembaga Disiplin wajib bertindak.

 

Adakah setiap kesalahan membawa kepada pemecatan?

Tidak. Dalam parti, ada beberapa peringkat tindakan. Bukan semua kesalahan membawa kepada pemecatan. Biasanya bermula dengan amaran, kemudian penggantungan, dan hanya dalam kes yang serius barulah tindakan paling akhir diambil.

Bahkan selepas dikenakan tindakan, masih ada ruang rayuan. Proses ini wujud untuk memastikan keadilan.

 

Ada yang mengatakan tindakan tegas ini bertujuan melindungi Tan Sri secara peribadi. Benarkah?

Ini bukan soal menyelamatkan diri saya tetapi menyelamatkan parti. Jika parti hancur, saya sebagai individu tidak lagi penting. Ahli-ahli juga akan kehilangan wadah perjuangan.

Saya tidak boleh berdiam diri jika ahli bertindak sesuka hati, menyerang parti dari dalam dan mencetuskan perpecahan. Jika saya berdiam, itu bukan kebijaksanaan, itu kegagalan tanggungjawab. Saya akan terus pertahankan Bersatu walaupun tinggal seorang.

Saya boleh sahaja membawa perkara ini ke mahkamah atau membuat laporan polis kerana ada rakaman audio, video dan bukti. Tetapi saya memilih untuk menguruskan ini secara politik, melalui saluran parti.

Malangnya, ada pihak yang menyangka mereka boleh bercakap apa sahaja di dalam dan luar tanpa akibat. Jika perkara itu dibiarkan, tidak lama lagi orang akan bertanya, “Mana Bersatu? Seolah parti sudah mati tanpa nisan’. Itu yang saya tidak sanggup biarkan.

 

Ada dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi punca pergolakan ini?

Sebenarnya sebelum kes ini timbul, kita telah mengadakan Gopeng Retreat, iaitu satu pertemuan pimpinan di mana semua ahli berkumpul selama dua hingga tiga malam untuk berbincang secara mendalam.

Di penghujung retreat itu, pimpinan yang hadir membuat keputusan menyerahkan kepada saya untuk membantu mencari formula perdamaian supaya tidak berlaku pertembungan atau pertandingan yang boleh menyebabkan perpecahan dalam parti menjelang pemilihan.

Sebab itu sebelum pemilihan parti yang lalu, saya memanggil hampir semua Ahli Majlis Tertinggi untuk berbincang bagaimana kita boleh mengelakkan pertandingan antara presiden dan timbalan. Memang parti ini parti demokrasi, tetapi jika boleh dielakkan pertembungan yang membawa kepada perpecahan, itu lebih baik. Saya fikir itu pandangan yang wajar.

Saya memainkan peranan dengan memanggil semua pihak dan kita selesaikan secara muafakat. Antaranya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang ketika itu Timbalan Presiden dan juga pengasas bersama, saya minta beliau memberi ruang dan turun daripada jawatan timbalan. Tujuannya untuk memberi laluan kepada Hamzah naik ke jawatan tersebut.

Susunan lain juga dibuat, termasuk pelantikan-pelantikan tertentu. Kalau saya mahu memberi kelebihan kepada individu tertentu, mungkin caranya lain. Tetapi saya tidak buat begitu. Saya ikut pendekatan yang difikirkan sesuai demi kestabilan parti.

Apabila sampai kepada pemilihan parti, proses berjalan lancar. Semua calon mendapat endorsement saya. Presiden menang tanpa bertanding. Hamzah juga menang tanpa bertanding. Yang lain-lain bertanding dan menang melalui proses biasa.

Jadi soal kononnya ada pilih kasih, saya fikir itu hanya tanggapan. Realitinya tidak begitu.

Mohamed Azmin mempunyai pengalaman politik yang panjang. Beliau pernah memimpin parti ketika era PKR dan pernah menjadi de facto presiden ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam penjara. Beliau juga pernah menjadi Menteri Besar dan mempunyai kekuatan kepimpinan tersendiri.

Sekarang beliau menjalankan tugas seperti biasa, hadir ke pejabat tiga hari seminggu dan melaksanakan tanggungjawabnya. Saya tidak melihat ada kelemahan.

Bagi saya, dalam parti ini tidak ada siapa yang lebih atau kurang. Saya beri layanan yang sama kepada semua. Tidak ada yang lebih kuat, tidak ada yang diistimewakan.

 

Tan Sri apakah ‘dosa’ besar Hamzah yang menyebabkan beliau dipecat?

Kesalahan dia banyak, bertimbun sebab itu dibawa ke Lembaga Disiplin. Saya fikir tak wajar nak pergi teliti satu persatu sebab sudah ada keputusan, atas asas yang kukuh kenapa tindakan itu diambil.

Kalau saya nak jelaskan, contoh satu bila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah buat kenyataan sudah berjumpa dan berunding dengan Pas dan Bersatu. Ada yang kaitkannya ‘Bangkok Move’ atau sesuatu seperti itu.

Dalam kumpulan chat, saya tanya, siapa jumpa Zahid? Siapa jumpa Zahid? Siapa jumpa? Tak terjawab tapi saya ada maklumat yang sahih, Hamzah jumpa Zahid. Dalam parti kita ini, ada disiplin, ini isu besar.

Nanti dia akan berkata, ‘I am your number one supporter.’ Tetapi apabila kenyataan berubah-ubah seperti itu, terus terang saya sudah hilang kepercayaan. Apabila keyakinan terhadap seseorang sudah terhakis kerana dia tidak bercakap benar, itu perkara yang sangat besar dan saya tidak boleh berkompromi.

Saya perlu melindungi parti ini. Minta maaf, itu ketegasan yang nyata. Saya kena ambil tindakan atas sebab yang betul.

 

Sebelum ini, terdapat surat daripada 13 ahli Parlimen Bersatu mencadangkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Adakah ini bercanggah dengan pendirian Tan Sri?

Itu hanyalah pandangan individu atau ahli Parlimen.

Pada awalnya, saya mencadangkan Tan Sri Abdul Hadi Awang. Ini kerana jumlah ahli Parlimen Pas lebih ramai, jadi secara keputusan polisi parti, mereka berhak menamakan siapa yang sesuai.

Hamzah pula tidak layak lagi duduk di tempat itu kerana beliau sudah tidak lagi menjadi ahli parti dan dari segi peraturan parti, beliau tidak sepatutnya mengambil tempat itu lagi. Secara moral dan prosedur, beliau harus berhenti.

Proses ini bukan soal persaingan atau siapa yang kita mahu tetapi mengenai imej dan maruah PN. Kita perlu hormati keputusan parti dan tidak membangkitkan pertikaian.

Mengenai cadangan 13 ahli Parlimen Bersatu, mereka hanya mewakili pandangan minoriti yang mengatakan tiada perbincangan untuk mengundi atau menukar ketua pembangkang. Jadi, cadangan itu tidak boleh diambil sebagai keputusan rasmi.

 

PRN Melaka, Johor serta PRU tidak lama lagi, dengan keadaan sekarang tidakkah ia menjejaskan parti jika tindakan pembaikan tidak segera dilaksanakan?

Saya sedar kepentingan persiapan awal, termasuk di Melaka, Johor, Sarawak dan PRU, supaya semua berjalan lancar.

Susulan pemecatan, saya menugaskan Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ahmad Faizal menjalankan tugas timbalan presiden sementara. Susunan ini bukan sekadar menampung jawatan tetapi memastikan semua bahagian dan negeri berfungsi dengan baik.

 

Tan Sri boleh bekerjasama dengan Hamzah jika ‘rumah baharu’ nya cenderung bekerjasama dengan PN?

Saya tidak yakin perkara itu boleh berlaku. Jika Hamzah mahu membentuk platform baharu atau menyertai mana-mana parti untuk tujuan politiknya sendiri, itu haknya. Saya tidak akan campur tangan dalam hal itu.

Kalau tanya saya memang tidak boleh tetapi ini adalah hak PN untuk ahli pertimbang. Kita ini manusia, tidak semudah itu untuk menerima.

 

Bersatu memiliki line-up yang kuat menggantikan kedudukan presiden?

Terdapat beberapa tokoh lain seperti Ahmad Faizal, Radzi, Mohamed Azmin, Dr. Afif Bahardin dan Muhammad Hilman Idham yang sedang melalui proses ‘grooming’ untuk memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan. Proses ini mengambil masa kerana setiap calon perlu bersedia dan matang sebelum memimpin.

 

Pandangan Tan Sri tentang lantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu PN?

Pemilihan beliau dibuat selepas perbincangan yang panjang dan mengambil kira pengalaman serta kesetiaannya dalam perjuangan parti. Lantikan ini untuk jawatan pengurusi PN, bukan calon perdana menteri. Walaupun beliau masih muda berbanding tokoh lain, peluang ini diberikan untuk menunjukkan kemampuan dan menilai prestasi beliau dalam mengurus parti.

 

Bagaimana dengan cadangan kolaborasi Rumah Agung yang disebut UMNO untuk orang Melayu bersatu?

Rumah Besar ini banyak bilik, saya tidak faham. Nama itu ada tetapi kalau serius, boleh buat kertas cadangan dan bentangkan kepada Bersatu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN