alaysia menuju Pendapatan Asas Sejagat atau kekal bersyarat?

alaysia menuju Pendapatan Asas Sejagat atau kekal bersyarat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM suasana ekonomi global yang semakin bergolak akibat konflik di Asia Barat, Malaysia kini berhadapan  cabaran berat fiskal apabila kerajaan menanggung beban subsidi bahan api mencecah RM4 bilion sebulan.

Sistem subsidi harga yang telah lama diamalkan terbukti tidak lagi mampan, tidak adil dan penuh dengan kebocoran.

Di sebalik krisis ini, muncul satu gagasan dasar yang semakin mendapat perhatian serius di peringkat global mahupun tempatan iaitu Pendapatan Asas Sejagat (UBI). Ia bukan sekadar idea utopia ahli ekonomi menara gading tetapi penyelesaian praktikal  berasaskan bukti empirikal  kukuh dan yang paling menarik, Malaysia sendiri sudah mula melangkah ke arahnya tanpa ramai menyedarinya.

UBI merupakan dasar ekonomi dengan kerajaan membayar sejumlah wang tunai tetap kepada setiap warganegaranya secara berkala, biasanya setiap bulan tanpa sebarang syarat, tanpa ujian pendapatan dan tanpa keperluan untuk membuktikan apa-apa kelayakan.

Tidak kira sama ada seseorang itu kaya atau miskin, bekerja atau menganggur, tua atau muda semua rakyat menerima jumlah yang sama. 

this Inilah yang membezakan UBI daripada bantuan sosial konvensional seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mensyaratkan ujian pendapatan dan pelbagai kriteria kelayakan lain. UBI adalah hak sejagat, bukan hadiah bersyarat.

Untuk memahami relevan UBI, kita perlu faham terlebih dahulu mengapa sistem subsidi harga sedia ada sudah tidak berkesan. 

Kajian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mendedahkan hakikat yang mengejutkan apabila  69 peratus daripada subsidi tenaga Malaysia dinikmati golongan berpendapatan tinggi (T20 dan M40 atas), manakala hanya 17 peratus sahaja benar-benar sampai kepada golongan paling memerlukan.

Ini bermakna sistem subsidi yang bertujuan membantu rakyat miskin sebenarnya lebih banyak membantu golongan berada kerana golongan kaya memandu kereta besar yang menggunakan lebih banyak minyak, sementara golongan miskin mungkin menggunakan motosikal kecil atau pengangkutan awam.

Selain itu, subsidi harga juga terdedah kepada penyeludupan rentas sempadan, pembaziran tenaga akibat harga terlalu murah dan bebanan fiskal tidak mampan apabila harga minyak global melonjak seperti yang berlaku sekarang. Ia adalah dasar yang niatnya baik, tetapi pelaksanaannya telah lama cacat secara struktural.

 

BAGAIMANA UBI MENGGANTIKAN SUBSIDI?

 Konsep UBI sebagai pengganti subsidi bahan api boleh dijelaskan melalui empat langkah yang logik dan berurutan. 

  • Kerajaan memansuhkan subsidi harga bahan api dan membiarkan harga RON95 serta diesel mencapai harga pasaran sebenar. 
  • Wang yang selama ini digunakan untuk subsidi berjumlah sehingga RM48 bilion setahun, dikumpulkan dalam satu dana khas negara. 
  • Dana tersebut diagihkan semula secara sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia dalam bentuk wang tunai bulanan. Jika dikira secara kasar, RM48 bilion dibahagikan kepada 33 juta rakyat Malaysia menghasilkan lebih kurang RM121 setiap orang sebulan. 
  • Kesan bersih dasar ini secara automatik menguntungkan golongan berpendapatan rendah. Hal ini kerana golongan B40 yang menggunakan sedikit minyak akan menanggung kos tambahan yang lebih kecil berbanding jumlah UBI yang diterima, justeru mereka mendapat manfaat bersih yang positif. Sebaliknya, golongan T20 yang menggunakan lebih banyak minyak akan membayar lebih tetapi hanya menerima jumlah UBI yang sama, bermakna wang secara tidak langsung bergerak dari golongan kaya kepada golongan miskin, tanpa memerlukan birokrasi yang rumit.

 

BUKTI EMPIRIKAL

Gagasan UBI bukan sekadar teori di atas kertas. Iran pada   2011 menjadi negara pertama melaksanakan UBI berskala penuh sebagai pampasan kepada pemansuhan subsidi bahan api dan makanan. 

Pada peringkat awal, program ini berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar. Kegagalannya kemudiannya bukan berpunca daripada kelemahan konsep UBI itu sendiri tetapi akibat inflasi melampau sekatan ekonomi antarabangsa dan salah urus kewangan kerajaan serta faktor luaran yang berada di luar kawalan program UBI. 

Kenya pula sedang menjalani eksperimen UBI terpanjang dalam sejarah melalui program GiveDirectly dan kajian awal menunjukkan penerima menggunakan wang tunai dengan lebih bijak berbanding barangan in-kind. 

Kanada melalui Insentif Tindakan Iklim Kanada pula membuktikan  wang karbon yang dikutip boleh diagihkan semula kepada rakyat secara adil, di mana 80 peratus isi rumah menerima balik lebih daripada apa yang mereka bayar melalui cukai karbon.

 

 

PROGRAM bantuan tunai masih belum menepati konsep sebenar Pendapatan Asas Sejagat (UBI) kerana masih bersyarat, iaitu terhad kepada golongan tertentu dan tidak mencukupi untuk keperluan asas.

 

MALAYSIA SUDAH DI LANDASAN BETUL

Paling menarik, Malaysia sebenarnya sudah melangkah ke arah UBI tanpa ramai menyedarinya. 

Pada Julai 2025, Perdana Menteri mengumumkan pembaharuan sistem Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dipuji  Profesor Geoffrey Williams, seorang pakar ekonomi terkemuka.

Sebagai langkah terbesar Malaysia ke arah UBI sebenar. Pembayaran RM100 sebulan di bawah STR baharu dibiayai sepenuhnya daripada penjimatan hasil rasionalisasi subsidi, inilah tepat formula UBI dalam bentuk yang paling asas. 

Malaysia, menurut beliau, berpotensi menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan sistem UBI penuh. 

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU)  bakal menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan UBI yang lebih tepat sasaran sekali gus membolehkan kerajaan mengenal pasti siapa yang benar-benar layak, saiz keluarga dan apakah pendapatan sebenar.

Walaupun konsepnya menarik dan logiknya kukuh, namun pelaksanaan UBI bukan tanpa cabaran. Pertama, cabaran politik adalah paling besar apabila rakyat perlu diyakinkan kenaikan harga minyak yang dirasai  akan dikompensasi oleh wang tunai yang diterima setiap bulan.  Komunikasi kerajaan yang jelas, telus dan konsisten kunci kejayaan. 

Kedua, tempoh peralihan antara pemansuhan subsidi dan pembayaran UBI pertama adalah fasa yang paling kritikal, rakyat akan merasai kesakitan kenaikan harga dahulu sebelum merasai manfaat UBI dan jika fasa ini tidak diurus dengan baik, tentangan awam boleh melumpuhkan program sebelum ia sempat berhasil. 

Ketiga, jumlah RM121 sebulan mungkin tidak mencukupi bagi keluarga besar yang benar-benar memerlukan, justeru satu mekanisme UBI bertingkat yang mengambil kira saiz keluarga dan lokasi geografi perlu dipertimbangkan.

UBI bukan penyelesaian ajaib yang menyelesaikan semua masalah ekonomi dalam sekelip mata. Namun, dalam konteks krisis subsidi Malaysia yang semakin meruncing terutamanya di tengah konflik Asia Barat yang melonjakkan harga minyak global membolehkan pendekatan ini merupakan alternatif paling logik, adil dan mampan berbanding sistem subsidi harga sedia ada. –UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) & Penolong Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN