PETALING JAYA: Ramai mungkin terlepas pandang hakikat bahawa beregu paling konsisten sepanjang musim lalu sebenarnya bukan juara dunia 2025, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sebaliknya beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah.
Hakikat itu disokong statistik apabila musim 2025 menyaksikan gandingan No.2 dunia berkenaan mara ke pentas akhir sebanyak lapan kali, sekali gus membuktikan kestabilan prestasi mereka di peringkat tertinggi, dengan empat gelaran berjaya dibawa pulang.
Namun, di sebalik konsistensi itu, satu tembok besar masih perlu ditembusi, iaitu dominasi beregu No.1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, yang kerap menjadi mimpi ngeri kepada Pearly-Thinaah.
Gandingan China itu menafikan tiga peluang kejuaraan Pearly-Thinaah musim lalu apabila menundukkan pasangan negara pada final Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Kejohanan Dunia, sekali gus meletakkan wakil Malaysia itu sekadar berpuas hati di posisi No.2.
Situasi tersebut secara tidak langsung menggambarkan betapa tipis namun signifikan jurang yang memisahkan Pearly-Thinaah dengan gandingan terbaik dunia ketika ini.
Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengakui wujudnya jurang yang ketara antara Pearly-Thinaah dan Sheng Shu-Ning, terutamanya apabila berdepan perlawanan berintensiti tinggi di pentas akhir.
Menurutnya, selain memburu kejuaraan, fokus utama pasukan kejurulatihan ketika ini adalah untuk merapatkan jurang tersebut, agar Pearly-Thinaah bukan lagi sekadar pencabar, sebaliknya mampu mengatasi juara dunia 2025 itu secara konsisten.
“Memang kalau ikutkan pasangan China ini memang atas daripada kita. Bukan hanya kita sahaja tetapi untuk semua beregu dunia. Memang kita ada jurang di situ. Jadi kita akan cuba rapatkan jurang itu.
“Seperti saya kata, pelan panjang masih lagi Olimpik. Kita masih ada dua tahun lagi. Pada masa kini saya hanya cakap pergi kejohanan, kita menang atau kalah akan lihat balik program latihan bagaimana,” kata Rosman.
Untuk rekod, daripada 13 pertemuan ke atas Sheng Shu-Ning, hanya tiga perlawanan sahaja Pearly-Thinaah memenangi dan mereka turut melanjutkan rentetan enam kekalahan sejak final Terbuka Arctic 2024. – UTUSAN










