Puasa orang Kristian sepanjang musim Lent

Puasa orang Kristian sepanjang musim Lent

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kitaran budaya dan masyarakat majmuk di Malaysia, banyak amalan agama yang dari jauh kelihatan asing, namun sebenarnya sarat makna dan berakar dalam sejarah kemanusiaan.

Saya sentiasa percaya, usaha memupuk perpaduan antara kaum dan agama perlu dimulakan dengan amalan saling mengenali, memahami, menghormati, sekali gus saling menerima perbezaan amalan yang wujud.

Salah satu daripadanya ialah Lent atau yang sering dirujuk sebagai prapaskah dalam budaya Kristian. Ia diamalkan terutamanya oleh penganut Katolik, Anglikan, Lutheran dan Methodist sebagai persediaan menjelang perayaan Paskah.

Bagi orang Kristian, Lent bukan sekadar perayaan keagamaan tetapi  peluang mengatur semula kekuatan diri. Hasil pergaulan dengan penganut Kristian sejak kecil, saya melihat Lent sebagai masa terbaik untuk merenung, mengamati disiplin peribadi dan menghubungkan semula nilai-nilai rohani dengan kehidupan seharian.

Secara ringkas, Lent merujuk kepada tempoh 40 hari sebelum Paskah atau  lebih dikenali sebagai Easter. Paskah itu sendiri merupakan hari yang penting dalam tradisi Kristian kerana memperingati semangat kebangkitan dan harapan baharu.

Dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia, kita sudah biasa mendengar mengenai sambutan Good Friday pada hari Jumaat, diikuti Easter pada hari Ahad. Namun, kita kurang mengenali aspek sambutan Lent oleh orang Kristian.

Istilah Lent itu sendiri datang daripada bahasa Inggeris lama yang merujuk kepada musim semi atau musim bunga, suatu masa perubahan dan pembaharuan dalam kitaran alam. 

Secara tradisi, musim Lent bermula dengan Ash Wednesday  (Rabu Abu) yang baru sahaja berlaku pada Rabu lalu, sehari selepas Tahun Baharu Cina dan sehari sebelum umat Islam mula berpuasa.

Rabu Abu menjadi penanda permulaan kepada lima setengah minggu menuju Paskah. Dalam beberapa komuniti Kristian, Rabu Abu dikenang dengan simbol abu yang ditandakan di dahi sebagai tanda introspeksi dan peringatan bahawa manusia terikat kepada kehidupan yang lebih besar daripada diri sendiri.

Harus dinyatakan musim Lent mengambil masa 40 hari tetapi sambutan Paskah pada 5 April 2026. Hal ini kerana orang Kristian ditegah berpuasa pada hari Ahad. Konsep puasa sepanjang musim Lent bermakna hanya makan satu sajian lengkap sepanjang hari. Penganut juga dibenarkan makan dua sajian ringan jika mahu.

Syarat puasa wajib bagi penganut Kristian sepanjang Lent hanya diwajibkan kepada individu berumur 18 hingga 59 tahun. Dalam mazhab Katolik, individu berumur 14 tahun ke atas ditegah makan daging sepanjang musim Lent, kecuali pada Ahad.

Walaupun asal usul Lent adalah amalan keagamaan Kristian, namun banyak unsur dalam musim ini merentasi batas budaya. Amalan menahan diri atau memberi tumpuan kepada amalan tertentu sering dipandang sebagai alat untuk membina ketahanan mental, disiplin diri dan kesedaran sosial. Ini adalah nilai murni yang dihormati oleh pelbagai tradisi di seluruh dunia.

Dalam konteks Lent, orang Kristian memilih untuk berpuasa, berpantang, berdoa atau melakukan sedekah kepada golongan yang memerlukan. Tujuannya bukan semata-mata bagi memenuhi tuntutan ritual tetapi untuk mengasah sifat belas kasihan, berfikir secara reflektif dan menguatkan komitmen kepada kebaikan.

Dalam kehidupan moden, bentuk dan amalan Lent boleh berubah mengikut mazhab, gereja dan komuniti. Ada yang lebih menekankan aspek puasa dan pantang makanan, misalnya mengurangkan pengambilan daging atau melibatkan diri dalam amalan lebih sederhana secara fizikal.

Ada pula yang melihatnya sebagai peluang untuk ‘melepaskan’ tabiat-tabiat yang mengganggu kesejahteraan seperti penggunaan media sosial yang berlebihan, lalu menggantikannya dengan masa berkualiti untuk refleksi atau kerja amal.

Demikian antara pengubahsuaian yang saya perhatikan dalam kalangan rakan-rakan beragama Kristian sejak dahulu. Apa-apa pun, setiap pendekatan ini memberi fleksibiliti kepada pengamal Lent untuk menghubungkan nilai masa kini dengan konteks kehidupan mereka sendiri.

 

 

NILAI

Kita boleh juga melihat Lent sebagai satu metafora kepada cabaran hidup universal. Setiap insan, tanpa mengira latar belakang kehidupan, pasti pernah menghadapi tempoh di mana kita perlu berhenti, menilai semula pilihan atau memperkuatkan hubungan dengan diri sendiri dan masyarakat.

Dalam erti kata lain, Lent mengajak penganut Kristian ‘berjalan perlahan’ di tengah arus dunia yang cepat berubah, sekali gus memberi ruang untuk penyerahan diri terhadap nilai-nilai kemanusiaan seperti belas kasihan, ketabahan dan kesedaran tanggungjawab sosial.

Di Malaysia, di mana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, pemahaman terhadap amalan seperti Lent boleh menjadi jambatan yang memperkukuh toleransi.

Mengetahui bahawa umat Kristian di sekeliling kita sedang melalui masa refleksi Lent memberi peluang kepada kita untuk berkongsi rasa hormat, bertanya dengan penuh rasa ingin tahu dan membina hubungan persahabatan atas dasar saling menghormati.

Keunikan Lent bukan hanya pada ritual menuju sambutan Good Friday dan Easter tetapi pada mesej utama yang ia wakili iaitu setiap penganut Kristian diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memberi sumbangan positif kepada komuniti.

Lent juga mengingatkan kita dalam budaya yang pelbagai, ada ruang untuk mengenali, memahami, menghargai dan menghormati tradisi orang lain walaupun kita tidak mengamalkannya. 

Suasana ini lebih baik daripada membina prejudis, prasangka dan menyebar maklumat negatif tentang sesuatu yang kita tidak tahu.

Pada pemerhatian saya, seperti musim bunga yang memberi harapan kepada alam untuk kembali segar selepas musim dingin, Lent memberi inspirasi kepada pengamalnya untuk menyambut sesuatu yang baharu dengan hati lebih lapang dan lebih bijak.

Nilai-nilai positif ini memberi nilai tambah kepada kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan dan kekayaan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Maka, di samping memetik nilai-nilai murni sepanjang Ramadan, tidak salah jika kita belajar menghargai nilai-nilai dalam sambutan musim Lent. -UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×