Misi Harry kembalikan taring perseorangan negara

Misi Harry kembalikan taring perseorangan negara

Harry Hartono yang tampil bersama reputasi besar dan harapan tinggi di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Misi mengembalikan maruah perseorangan lelaki negara kini bermula dengan kehadiran jurulatih baharu, Harry Hartono yang tampil bersama reputasi besar dan harapan tinggi di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Harry bukan calang-calang jurulatih apabila namanya pernah terpahat dalam kejayaan melatih jaguh Indonesia, Anthony Ginting dan Jonatan Christie, selain menjadi antara individu terawal yang mencungkil potensi juara dunia 2022, Chou Tien-chen, ketika berkhidmat bersama pasukan sekolah tinggi di Taiwan.

Kini, cabaran lebih getir menantinya di Malaysia dalam memulihkan prestasi sektor perseorangan lelaki yang dilihat semakin tenggelam di pentas antarabangsa.

“Sebagai jurulatih, sasaran saya jelas. Saya mahu pemain berada di tahap tertinggi dunia, menjadi nombor satu dan muncul juara dunia,” katanya.

Sesi latihan pertamanya bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih, Datuk Teu Seu Bock, meninggalkan kesan positif, khususnya terhadap komitmen yang ditunjukkan Leong Jun Hao dan Justin Hoh.

“Mereka ada semangat juang yang tinggi dan jelas tahu tanggungjawab sebagai pemain elit. Itu satu petanda baik untuk proses pembangunan seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Harry mengakui masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sebelum diberi tanggungjawab khusus mengendalikan pemain tertentu.

“Saya perlukan kira-kira sebulan untuk menilai keadaan, budaya latihan dan keperluan pasukan.

“Selepas itu, terpulang kepada Kenneth Jonassen, untuk menentukan peranan saya di mana,” jelasnya.

Harry merupakan antara beberapa jurulatih baharu yang dibawa masuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam usaha merombak struktur kejurulatihan.

Turut melapor diri ialah Yeoh Kay Bin manakala Mohd. Zakry Latif dijadualkan menyertai kem kebangsaan pada 20 Februari ini bagi mengendalikan sektor beregu wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×