JDT hilang dominasi 20 minit terakhir - Munoz

JDT hilang dominasi 20 minit terakhir – Munoz

Penyerang JDT, Bergson Da Silva cuba melepasi halangan pemain Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, semalam. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan status selaku gergasi Liga Super apabila membelasah Sabah FC 6-1 di Stadium Likas, kelmarin.

Pengendali JDT Xisco Munoz, bagaimanapun menyifatkan perlawanan itu terbahagi kepada dua fasa berbeza dengan 65 minit pertama jelas dikuasai skuad Harimau Selatan namun pada penghujung permainan tuan rumah dilihat lebih mendominasi permainan.

“Permainan ini ada dua fasa. Saya fikir 65 minit pertama sepenuhnya milik kami. Kami menjaringkan enam gol dan bermain dengan intensiti yang sangat tinggi. Namun dalam 20 minit terakhir, kami sedikit hilang kawalan,” katanya.

Pada aksi itu, JDT membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti yang disudahkan Bergson da Silva sebelum bekas penyerang Sabah yang kini menyarung jersi Harimau Selatan, Ajdin Mujagic, menghukum bekas pasukannya dengan dua gol pada minit ke-21 dan ke-39.

Pesta gol pelawat diteruskan oleh Oscar Arribas yang meledak dua jaringan masing-masing pada minit ke-24 dan ke-47, manakala satu lagi gol disumbangkan Manuel Hidalgo pada minit ke-45 untuk memastikan JDT selesa mendahului 6-0 sebelum tamat babak pertama dan awal separuh masa kedua.

Sabah yang enggan mengalah berjaya meraih gol saguhati pada minit ke-88 menerusi penyerang baharu mereka, Chris Marlon Ondong, sekali gus menutup perlawanan dengan keputusan 6-1.

Sementara itu, pengendali sementara Sabah FC, Alto Linus menyifatkan kekalahan besar ini berpunca daripada kesilapan anak buahnya sehingga mudah dihukum JDT.

Katanya, perkara itu perlu dipandang serius dan diatasi segera bagi memastikan kesilapan yang sama tidak berulang pada perlawanan berikutnya.

“Secara keseluruhan perlawanan malam ini kita lihat banyak yang harus kita perbaiki dari segi permainan kita terutama dalam jaringan yang kita kena disebabkan kesilapan sendiri pemain.

“Ini yang harus kita perbaiki dengan segera kerana kita ada perlawanan yang mendatang. Kalau kita tidak perbaiki, kesilapan sama mungkin berulang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN