Jangan jadikan perayaan topeng rasuah

Jangan jadikan perayaan topeng rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA ialah sebuah negara majmuk yang kaya dengan budaya, adat resam dan tradisi. Kepelbagaian kaum dan agama diraikan melalui pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Gawai, Kaamatan dan lain-lain sambutan keagamaan serta kebudayaan.

Setiap perayaan bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh keharmonian sosial, malah turut diserikan dengan amalan bertukar hadiah sebagai tanda penghargaan, simbol persahabatan dan lambang keikhlasan.

Namun, di sebalik kemeriahan ini, wujud persoalan besar yang berulang setiap kali musim perayaan menjelang. Apakah semua hadiah benar-benar sekadar hadiah atau menjangkaui makna tersebut dan berubah menjadi suapan?

Bagi penjawat awam, persoalan ini bukan sekadar isu etika peribadi tetapi melibatkan implikasi undang-undang, tatatertib dan maruah perkhidmatan awam secara keseluruhan.

Realitinya, satu bungkusan hamper yang dihantar ke pejabat, satu jemputan makan malam eksklusif atau sekeping sampul angpau yang diserahkan dengan senyuman, boleh menjadi ujian integriti yang amat besar.

Garis pemisah antara hadiah yang dibenarkan dan suapan yang dilarang sering kali kelihatan kabur, terutama apabila dibaluti dengan alasan ‘adat perayaan’, ‘sekadar tanda ingatan’ atau ‘tiada niat apa-apa’.

Jika kekeliruan ini tidak ditangani dengan kefahaman jelas boleh membuka ruang salah guna kuasa, konflik kepentingan dan akhirnya meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

Dalam kefahaman awam, hadiah lazimnya dianggap sebagai pemberian secara sukarela tanpa mengharapkan balasan. Namun, undang-undang tidak menilai hadiah semata-mata berdasarkan niat yang dizahirkan, sebaliknya melihat konteks, keadaan, hubungan antara pemberi dan penerima serta kesan pemberian tersebut terhadap tugas rasmi seseorang penjawat awam.

Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) mentafsirkan ‘suapan’ secara amat luas. Suapan bukan sekadar wang tunai tetapi merangkumi hadiah, derma, pinjaman, fi, ganjaran, harta alih atau tak alih, perkhidmatan, kemudahan, diskaun, komisen, jawatan, kontrak atau apa-apa bentuk manfaat dan kelebihan yang mempunyai nilai.

Lebih penting, Akta 694 tidak mensyaratkan berlakunya permintaan secara langsung.

Penerimaan suapan atau persetujuan untuk menerima, sudah memadai untuk membentuk kesalahan, sekiranya ia diberikan sebagai dorongan atau upah melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi.

Selain itu, Kanun Keseksaan melalui Seksyen 165 jelas melarang penjawat awam daripada menerima apa-apa benda berharga, tanpa balasan atau dengan balasan yang tidak mencukupi, daripada mana-mana individu yang mempunyai urusan rasmi dengan mereka.

Musim perayaan sering menyaksikan peningkatan ketara dalam pemberian hamper, set hadiah eksklusif, jam tangan, set golf, baucar mewah, angpau bernilai besar serta jemputan makan minum di lokasi bertaraf tinggi.

Persoalannya, adakah nilai hadiah ini munasabah dan setimpal dengan maksud pemberiannya? Sebagai contoh, hamper bernilai ribuan ringgit yang dihantar kepada seorang pegawai yang terlibat dalam proses kelulusan lesen atau kontrak tidak boleh dilihat sebagai sekadar adat perayaan.

Begitu juga dengan angpau atau hadiah tunai yang diberi di luar konteks hubungan kekeluargaan atau persahabatan rapat.

Dalam undang-undang, nilai hadiah bukan diukur secara mutlak semata-mata tetapi dilihat dalam konteks kuasa dan pengaruh penjawat awam tersebut. Semakin besar kuasa dan budi bicara seseorang pegawai, semakin tinggi risiko sesuatu hadiah itu ditafsirkan sebagai suapan.

Tidak dapat dinafikan wujud amalan biasa dalam perkhidmatan awam, khususnya ketika musim perayaan, seperti penghantaran hamper ke pejabat, aturcara makan minum bersama atau pemberian cenderahati. Dalam banyak keadaan, amalan ini dinormalisasikan sehingga dianggap tidak bermasalah.

Namun, normalisasi tidak bermaksud bebas daripada risiko. Apabila pemberian datang daripada pihak yang mempunyai kepentingan rasmi, seperti kontraktor, pembekal, pemohon lesen atau pihak yang sedang berurusan dengan jabatan kerajaan, maka risiko rasuah dan konflik kepentingan menjadi sangat tinggi.

Begitu juga apabila penjawat awam secara tersirat atau tersurat meminta hadiah atau mewujudkan suasana yang mendorong pihak luar untuk memberi.

Antara cabaran terbesar ialah kekeliruan penjawat awam dalam membezakan hadiah yang dibenarkan dan suapan yang dilarang. Kekeliruan ini sering timbul apabila hadiah diberi atas alasan perayaan, penghargaan atau selepas sesuatu keputusan dibuat. Hakikatnya, undang-undang melihat keseluruhan keadaan. Hadiah yang diberi sebelum, semasa atau selepas sesuatu keputusan rasmi tetap boleh dianggap suapan sekiranya wujud kaitan dengan tugas atau bertujuan mempengaruhi tindakan pada masa hadapan.

Trend rasuah masa kini menunjukkan peralihan daripada wang tunai kepada hadiah yang melambangkan gaya hidup mewah.

Media tempatan kerap melaporkan kes siasatan rasuah yang melibatkan penerimaan hadiah mewah oleh penjawat awam, yang akhirnya membawa kepada rampasan aset dan pertuduhan di mahkamah.

Walaupun butiran agensi tidak perlu disentuh, namun mesejnya jelas yang kemewahan tidak sepadan dengan pendapatan sah akan sentiasa mengundang syak wasangka dan siasatan.

Kerajaan menyediakan rangka kerja perundangan dan pentadbiran yang jelas untuk membimbing penjawat awam. Antaranya termasuk Akta 694, Kanun Keseksaan, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib), serta pelbagai pekeliling dan garis panduan berkaitan penerimaan hadiah dan konflik kepentingan.

Penjawat awam bertanggungjawab untuk mengisytiharkan sebarang hadiah yang diterima dan mendapatkan nasihat daripada ketua jabatan atau Unit Integriti. Kegagalan berbuat demikian boleh membawa tindakan tatatertib yang serius, termasuk penurunan pangkat atau pembuangan kerja.

Integriti bukan hanya tanggungjawab penjawat awam. Orang awam juga perlu memahami memberi hadiah yang tidak munasabah kepada penjawat awam boleh menyebabkan mereka terjerat dalam kesalahan rasuah.

Niat baik tidak menghalalkan perbuatan yang melanggar undang-undang. Budaya memberi hadiah untuk mendapatkan layanan istimewa atau kelebihan perlu dihentikan.

Sistem perkhidmatan awam yang bersih hanya dapat diwujudkan apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing.

 

MUSIM perayaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengaburkan batas antara hadiah dan suapan. – IMEJ JANAAN AI

MENJAGA MARUAH PERKHIDMATAN AWAM

Musim perayaan seharusnya menjadi ruang untuk mengukuhkan nilai murni seperti kejujuran, kesederhanaan dan amanah.

Bagi penjawat awam, menolak hadiah yang meragukan mungkin sukar tetapi itulah harga sebuah integriti.

Garis pemisah antara hadiah dan suapan mungkin kelihatan halus tetapi undang-undang dan prinsip integriti menetapkannya dengan jelas. Jangan biarkan hadiah hari ini menjadi beban di mahkamah pada masa hadapan.

Akhirnya, komitmen kita bersama adalah untuk memastikan #MalaysiaIntegriti membentuk #MalaysiaBebasRasuah, bukan sekadar sebagai slogan tetapi sebagai realiti demi maruah perkhidmatan awam dan masa hadapan negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN