PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon menegaskan kejayaan mara ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bukan alasan untuk anak buahnya mendabik dada, sebaliknya mengingatkan pasukan agar terus merendah diri dan fokus cabaran seterusnya.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata, masih banyak aspek perlu diperbaiki, khususnya disiplin pemain dalam perlawanan antarabangsa yang disifatkannya jauh lebih mencabar dan berintensiti tinggi.
“Kami perlu belajar dan bertanggungjawab sebagai satu pasukan. Kesilapan boleh berlaku, tetapi yang penting ialah bagaimana pemain belajar daripadanya.
“Rekod tanpa kalah belum bermakna apa-apa. Ini baru satu langkah. Kami belum sampai ke tahap sebenar dan perlu terus bekerja keras,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Beliau juga berkata, keputusan seri 1-1 ke atas BG Pathum United sudah memadai walaupun Selangor beraksi dengan 10 pemain sekali gus membuktikan kekuatan sebenar pasukan bukan terletak pada aspek fizikal semata-mata tetapi mentaliti dan semangat juang yang tinggi.
“Perlawanan ini adalah ujian mental. Dalam situasi sukar, pemain perlu percaya kepada diri sendiri dan identiti kelab.
“Selangor merupakan kelab bersejarah dan pemain harus berbangga menyarung jersi tersebut,” katanya.
Beliau mengakui permulaan perlawanan tidak memihak kepada pasukannya susulan layangan kad merah, namun memuji reaksi pemain yang kekal tenang serta bersatu sebagai satu pasukan.
“Bermain dengan 10 orang bukan mudah, tetapi pemain menunjukkan keinginan yang kuat untuk layak. Mereka mahu mara lebih jauh dan itu yang saya lihat malam ini,” jelasnya.
Selangor FC kini bakal mengharungi jadual padat termasuk aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Paroi pada Ahad ini. – UTUSAN










