Pasukan bawah boleh jadi ‘pengacau’

Pasukan bawah boleh jadi ‘pengacau’

Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) menjalani rutin latihan sebagai persiapan menentang Selangor dalam saingan Liga Super Ahad ini. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC, Kuching City FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan kelompok bawah dalam pusingan kedua Liga Super ketika ketiga-tiga pasukan itu bersaing sengit merebut kedudukan kedua dan ketiga liga.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, saingan pusingan kedua dijangka lebih mencabar kerana jurang kualiti antara pasukan-pasukan teratas dan pasukan kelompok bawah liga tidaklah terlalu besar seperti yang sering digambarkan.

“Fokus sudah pasti tertumpu kepada Kuching, KL dan Selangor kerana kekuatan mereka agak seimbang.

“Namun kesilapan kecil dalam pusingan kedua boleh menyebabkan jurang mata menjadi semakin jauh.

“Pertemuan sesama sendiri antara tiga pasukan ini juga akan menjadi penentu siapa yang mampu memintas dan mengatasi satu sama lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini jauh meninggalkan pesaing lain, Wan Jamak mengakui kelebihan dimiliki juara bertahan itu sukar dicabar pada musim ini.

“Tidak boleh nafikan, sama ada di atas kertas atau di atas padang, JDT memang melangkaui pasukan lain dari segi kualiti pemain dan keseluruhan pasukan.

“Pasukan lain tidak boleh cemburu, sebaliknya perlu mencari solusi bagaimana hendak merapatkan jurang dengan JDT selepas ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Jamak menegaskan pasukan-pasukan di kelompok bawah berpotensi menjadi ‘pengacau’ kepada perebutan kedudukan kedua dan ketiga sekiranya tidak diambil serius.

“Pasukan bawah ini bukan tidak bagus. Mereka ada kualiti. Contohnya Negeri Sembilan yang bermula gah pada awal musim, tetapi kini agak goyah.

“Kalau pasukan-pasukan ini silap langkah, mereka boleh tewas. Sebab itu pasukan yang bersaing di atas tidak boleh ambil mudah,” katanya.

Mengulas isu beberapa jurulatih yang meletak jawatan serta masalah kecederaan dan penggantungan pemain, Wan Jamak berpandangan keputusan perlawanan menjadi ukuran mutlak di peringkat elit seperti Liga Super.

“Di Liga Super, tugas jurulatih adalah mendapatkan keputusan. Ia bukan lagi pasukan pembangunan. Keputusannya hanya tiga iaitu menang, kalah atau seri.

“Kalau menang, semua orang sanjung. Kalau kalah, jurulatih perlu terima akibatnya,” katanya.

Beliau turut menyentuh cabaran jurulatih yang terpaksa menggalas tanggungjawab walaupun kekurangan sokongan dari segi kekuatan skuad.

“Ada jurulatih melihat pasukannya tidak cukup ‘senjata’ untuk menang. Apabila minta tambah nilai daripada pengurusan, ia tidak dapat dipenuhi.

“Akhirnya jurulatih yang menanggung risiko. Perkara ini perlu dilihat secara adil antara pihak pengurusan dan teknikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN