Menghidupkan ilmu melalui khidmat masyarakat

Menghidupkan ilmu melalui khidmat masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELASA lalu berlangsungnya Simposium Universiti Bertindak Kelapan, sebuah simposium semesteran yang begitu penting dan sangat besar maknanya kepada setiap pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebagai kemuncak kepada kursus Usrah in Action (Usrah Bertindak), simposium ini menjadi sebuah pentas besar bagi memberi peluang kepada pelajar menampilkan projek-projek yang mereka jalankan.

Lebih penting lagi, projek-projek ini diadili oleh hakim-hakim yang terdiri daripada pakar-pakar dan peneraju industri seperti daripada bank, syarikat tersohor, serta agensi kerajaan.

Usrah In Action ialah sebuah kursus wajib yang mesti diambil selama dua semester berturut-turut di UIAM. Ia dimulakan pada  2021 dengan tujuan menanam sifat kebertanggungjawaban dalam jiwa setiap mahasiswa agar dapat membentuk insan sejahtera bersifat ihsan dan berbakti kepada masyarakat.

Ia dirangka rapi bagi menyediakan pelajar untuk masuk ke dalam masyarakat dengan menjalankan projek libat urus bersama komuniti tersebut supaya dapat mengenal pasti masalah dan bertindak menyelesaikannya.

Kursus ini memaknakan cogan kata UIAM sebagai Taman Ilmu dan Budi, yang mana ilmu yang diperoleh di dewan kuliah diguna pakai untuk menabur budi dan membantu masyarakat.

Menghadiri simposium tersebut membangkitkan kembali kenangan semasa simposium kelima dan keenam, ketika mana saya hadir sebagai antara pelajar Usrah In Action. Namun kali ini, selain bertugas sebagai ahli jawatankuasa simposium, saya juga hadir sebagai antara tenaga pengajar kursus ini, kerana bermula semester ini saya turut bersama mengajar dua kelas Usrah in Action.

Banyak pengajaran yang saya peroleh ketika mengambil kursus ini dua tahun lalu. Walaupun sebelum itu saya menjalankan program-program bersama kaum Mendriq dan kemudiannya kaum Kensiu di Kelantan dan Kedah, namun program untuk kursus Usrah In Action ini membawa cabaran dan pengalaman yang berbeza.

Projek yang kami jalankan menyasarkan satu kumpulan anak-anak kaum Rohingya yang terbiar, diabaikan dan bermasalah. Fokus kami adalah untuk memberi pendidikan asas tentang hal-hal seperti kebersihan, adab dan kesedaran tentang perbuatan betul ataupun salah.

Hal ini penting kerana jika mereka dibiarkan membesar dalam keadaan sebegitu tanpa sebarang bantuan, kita akan berhadapan dengan lebih banyak masalah sosial.

Namun realitinya, menyatakan apa yang dirancang jauh lebih kompleks dan mencabar. Melaksanakan tugas di lapangan dan berhadapan dengan mereka yang datang daripada latar belakang sangat berbeza memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kekuatan azam untuk mengatasi segala masalah yang timbul. 

Hakikatnya, bukan semua perkara boleh dipelajari secara teori di bilik kuliah. Kita juga belajar daripada pengalaman, cabaran dan rintangan dalam kehidupan sebenar. Membuat kajian dan mendalami teori semata-mata tanpa berhadapan dengan cabaran sebenar akan menjadikan kita hanya hidup dalam khayalan, semakin terpisah daripada kenyataan.

Malah, banyak juga kerja-kerja akademik seperti kajian yang hanya dilakukan untuk kepentingan pihak pengkaji, tanpa sebarang faedah kepada masyarakat sasar.

Sebagai contoh, bagi kedua-dua kelas Usrah In Action yang saya kendalikan, kami menjalankan projek untuk memperkasakan Orang Asli agar dapat memelihara budaya mereka sendiri secara digital. Apabila kami menjalankan lawatan untuk melihat keadaan sebenar, kami berjumpa dengan pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk melihat kesesuaian projek.

Antara soalan pertama yang kami ditanya ialah adakah orang kampung akan dapat menggunakan hasil projek ini? Rupa-rupanya, walaupun selama ini sudah banyak usaha memelihara budaya Orang Asli, namun hampir kesemuanya tidak memberi semula hasil kajian dan projek kepada golongan ini yang menyumbang kepada usaha tersebut.

Dapatan mereka hanya diterbitkan dalam jurnal-jurnal dan terbitan ilmiah yang memerlukan bayaran tinggi untuk dibaca. Akhirnya, bukan sahaja Orang Asli tidak dapat menerima manfaat daripadanya tetapi mereka juga tidak dapat menyemak semula sekiranya terdapat sebarang masalah.

Perkara ini telah kami sedari semasa pergi ke Kampung Kuala Lah di Kelantan dahulu, apabila menunjuk hasil kajian lampau berkenaan bahasa Mendriq kepada orang-orangkampung. 

Apabila orang-orang Mendriq sendiri melihat kajian tersebut, mereka mengatakan banyak perkataan yang disenaraikan dalam jurnal ilmiah itu langsung tidak wujud dan hanya rekaan penulis semata-mata.

Inilah masalah utama akademia yang terlalu tamak mengejar jumlah dan nama besar. Akhirnya, mereka langsung tidak membawa dampak kepada masyarakat tetapi masih dipuji kerana berjaya menerbit banyak kajian dan mendapat penarafan tinggi meskipun tanpa sebarang makna.

Apabila mengajar kelas Usrah In Action, tugas saya bukan untuk mengajar semata-mata, seperti kelas lain. Tenaga pengajar akan bekerjasama dengan mahasiswa yang mengambil kelas ini untuk merangka projek dan merancang pengurusan bagi memastikan dampaknya sampai ke hati pelajar dan ke masyarakat.

Mahasiswa tidak perlukan lebih banyak maklumat disuap ke dalam otak mereka. Kita perlu membina jiwa-jiwa yang akan mengubah dunia ke arah kemajuan dan kesejahteraan. Inilah semangat madani yang diambil agar dapat memastikan kehidupan mampan dan sejahtera dapat tercapai, dikuasai daya cipta bersifat hormat, keyakinan dan ihsan.

 

SIMPOSIUM Universiti Bertindak Kelapan yang berlangsung Selasa lalu menjadi wadah penting dan bermakna dalam membentuk kesedaran serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Usaha sebegini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ingin menggerakkan pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat yang disebut sebagai SULAM. Dengan ini, mahasiswa akan keluar dengan jiwa yang serba lengkap, bukan sahaja dengan ilmu tetapi juga kesediaan untuk berkhidmat.

Ini juga yang diajarkan Islam, di mana segala ilmu yang diberi kepada kita oleh Allah mesti kita amalkan pada jalan Allah. Itulah tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu, bukan sekadar menyimpan ilmu dalam diri tanpa faedah.

Hanya dengan ini dapat kita benar-benar menjayakan peranan pendidikan untuk membawa umat dunia ke arah kecemerlangan. Inilah yang cuba disampaikan melalui Simposium Universiti Bertindak baru-baru ini, serta usaha Usrah In Action umumnya, agar para mahasiswa tidak hanya memikirkan sudut material pendidikan, tetapi juga melihat kepada tujuan dan dampak ilmu demi masa hadapan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×