KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengakui dirinya masih belum berada pada tahap kecergasan optimum selepas tersungkur pada aksi pusingan pertama di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, semalam.
Zii Jia berkata prestasinya dalam perlawanan pertama sejak tiga bulan lalu tidak mencapai tahap yang memuaskan kerana kondisi fizikalnya masih jauh daripada 100 peratus selepas sekian lama dibelenggu kecederaan.
“Saya rasa hari ini belum 100 peratus lagi dan memang tak begitu puas hati dengan prestasi saya, terutama dari segi fizikal yang masih belum cukup cergas.
“Saya boleh katakan tahap kecergasan saya sekarang sekitar 50 hingga 60 peratus sahaja,” kata Zii Jia kepada pemberita di sini, semalam.
Menurut bekas juara All England itu, aspek refleks dan reaksi di gelanggang juga masih perlahan, namun beliau tetap bersyukur dapat menamatkan perlawanan sepenuhnya tanpa sebarang kecederaan.
“Bagi saya, pergerakan saya agak lambat. Sejujurnya saya rasa kalau yang biasa tengok badminton memang akan nampak refleks saya masih banyak yang perlu diperbaiki dan masih tidak berpuas hati.
“Bagaimanapun, saya masih gembira mampu untuk menamatkan perlawanan dengan baik. Saya tiada rasa sakit-sakit pada badan saya,” katanya.
Semalam, Zii Jia yang menghuni ranking 144 dunia tewas kepada pemain perseorangan India, Ayush Shetty ke-32 dunia 21-12, 21-17 dalam masa 39 minit.
Selepas ini, peman berusia 28 tahun itu dijadualkan berlepas ke Delhi bagi menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka India menjelang pertemuan menentang pemain Denmark, Rasmus Gemke pada Selasa depan.
Untuk rekod, kali terakhir pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu beraksi di laman sendiri pada Malaysia Masters 2024 yang menyaksikan beliau meraih naib juara selepas tewas kepada bekas No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen. – UTUSAN










